34.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 19, 2025
Utama Blog Laman 132

Puteri bongsu comel anakanda Sultan Perak kini berusia 11 tahun, paras jelita persis bondanya sentiasa mencuri tumpuan

0

Apabila memperkatakan mengenai keluarga diraja yang terkenal di dunia, semua akan memikirkan United Kingdom dan Denmark di Eropah atau Thailand di Asia. Kerana hubungan rakyat yang kekal mempertahankan monarki dan sistem raja berperlembagaan, negara-negara ini sering memberi fokus dan perhatian kepada kerabat diraja mereka.

Keluarga Diraja Malaysia turut tidak terkecuali untuk menarik perhatian rakyat jelata terutamanya dari Perak yang dikenali sebagai kerabat diraja paling rupawan dan menawan.

Keluarga Diraja Perak sering menarik perhatian ramai dan menjadi perbualan hangat wargamaya di laman media sosial termasuk di luar negara selepas tular beberapa gambar cantik keluarga Diraja Perak ini yang memaparkan dua anakanda Sultan Perak terutamanya si comel Yang Mulia Raja Nazira Safya.

Gambar Twitter

Ramai wargamaya yang terpesona melihat wajah comel puteri kecil ini ketika mengiringi ayahanda dan bonda bersama kekandanya Raja Azlan Muzaffar Shah berangkat menghadiri majlis rasmi negeri Perak.

Raja Nazira Safya merupakan puteri bongsu kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Permaisuri Tuanku Zara Salim.

Gambar Pinterest

Dilahirkan pada 2 Ogos 2011, kini usia Raja Nazira Safya telah mencecah 11 tahun dan betapa cepat masa berlalu, puteri ini semakin meningkat remaja dalam beberapa tahun mendatang.

Untuk tatapan, apa kata kita lihat beberapa gambar puteri comel Raja Nazira Safya yang dikongsikan di laman sosial dan telah tular beberapa tahun lalu. 

Gambar Pinterest

Berjalan di atas permaidani merah dengan wajah yang serius tetapi baginda teramat comel.

Gambar Pinterest

Diperhatikan semua golongan dewasa dan media, puteri kecil yang kebosanan tetap lincah bermain di atas kerusi santapan diraja itu.

Gambar Pinterest

Tidak kira apa sahaja ekspresi wajah, puteri ini sentiasa comel untuk menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Gambar Pinterest

Berapa lama perlu mendengar titah baginda ayahanda? Puteri bosan mahu pulang..

Gambar Pinterest

Duduk tertib dan beradab mendengar titah dengan wajah serius di balai istana, puteri Raja Nazira Safya semakin meningkat remaja dan membesar dengan baik.

Gambar Pinterest

Namun tidak pernah lupa senyuman serta kecomelan puteri ini sentiasa mencairkan hati sesiapa sahaja dan mampu mengubah suasana menjadi ceria di luar mahupun dalam istana.

Gambar @tuankuzarasalim/Instagram

Puteri raja yang mahir dengan pelbagai ekspresi wajahnya untuk menghangatkan suasana!

Gambar Pinterest

Sama ada wajahnya yang tersenyum riang mahupun ketika ketiadaan mood, gambar-gambar ini tidak pernah gagal untuk mencetuskan perbincangan hangat wargamaya di dalam dan luar negara melalui media sosial. 

Gambar Pinterest

Masa yang cepat berlalu dan Yang Mulia Raja Nazira Safya kini telah genap berusia 11 tahun pada 2 Ogos lalu. Wajah puteri kesayangan ramai ini semakin matang dan matanya kini penuh bersemangat, dengan paras baginda juga semakin cantik persis wajah bonda Tuanku Zara Salim yang jelita dan rupawan.

Gambar @tuankuzarasalim/Instagram

Wajah yang memancarkan daya tarikan unik dan spontan mencuri tumpuan, puteri ini dikatakan gemar melakukan aktiviti lasak dan berpenampilan berani, untuk membuatkan ramai yang terus terpesona dan mengaguminya.

Gambar @tuankuzarasalim/Instagram

Puteri Raja Nazira Safya yang berwajah lembut dan menawan tetapi berkeperibadian kental dan penuh berkeyakinan.

Bakal menjadi puteri kesayangan rakyat jelata yang sentiasa dinanti-nantikan kelibat dan perkembangan terbaharunya.

Pilihan Editor:

Kali pertama mandi selepas enam dekad tidak mandi, ‘lelaki paling kotor di dunia’ meninggal dunia

0

Seorang petapa Iran yang digelar sebagai ‘lelaki paling kotor di dunia’ kerana tidak mandi selama lebih 60 tahun telah meninggal dunia pada usia 94 tahun. Agensi berita IRNA melaporkan lelaki yang dikenali sebagai Amou Haji itu (nama panggilan untuk orang tua) meninggal dunia pada Ahad, 23 Oktober lalu di kampung Dejgah yang terletak di wilayah selatan Fars.

THE GUARDIAN

Seperti yang dilaporkan oleh media tempatan, Haji yang dilitupi dengan jelaga tinggal di teratak blok sinder. Teratak tersebut dibina oleh mereka yang kasihan dengan nasib Haji.

Selain teratak tersebut, Haji juga tinggal di dalam lubang seluas kubur. Di situlah dia mengasingkan diri dan menikmati alam yang terbentang luas.

Pada tahun 2009, Hindustan Times melaporkan bahawa Kailash “Kalau” Singh, dari sebuah kampung di luar bandar suci Varanasi tidak mandi selama lebih 30 tahun. Dia bertindak sedemikian sebagai usaha untuk membantu menamatkan ‘semua masalah yang dihadapi oleh negara’.

Kisah tersebut tidak dapat menandingi rekod Haji yang tidak mandi dengan air atau sabun dalam tempoh lebih 60 tahun. Penduduk kampung berkata, Haji pernah mengalami ‘kegagalan emosi pada usia muda’ yang menyebabkan dia enggan mandi semenjak itu.

Pada tahun 2014, Tehran Times melaporkan bahawa Haji hanya makan bangkai haiwan (yang mati akibat dilanggar oleh kenderaan di jalanan). Dikatakan juga, makanan kegemarannya ialah bangkai landak dan apabila disuruh makan makanan dan minum minuman yang bersih, Haji menjadi marah.

Haji juga menyedut paip yang berisi najis haiwan dan bukannya tembakau.

Selain itu, Haji percaya bahawa sekiranya dia membersihkan dirinya, dia akan jatuh sakit. Disebabkan itu, dia pernah menolak pertolongan beberapa orang pemuda yang mahu memandikannya.

Beberapa tahun lepas, sekumpulan penduduk kampung pernah membawanya ke sungai berhampiran untuk dimandikan.

Namun, semasa dalam perjalanan, Haji mencampakkan dirinya keluar daripada kereta dan melarikan diri. Kerana hormat dengan pendirian Haji yang mengatakan dirinya akan jatuh sakit jika mandi, penduduk kampung membiarkan dan tidak memaksa Haji untuk mandi lagi.

Akhirnya beberapa bulan lalu, penduduk kampung telah berjaya memujuknya untuk mandi buat pertama kali. Namun siapa sangka, selepas 60 tahun itulah kali pertama dan terakhir Haji mandi kerana selepas itu dia meninggal dunia.

Dia telah dikebumikan pada Selasa, 25 Oktober lepas di bandar berdekatan Farashband. Difahamkan, Haji tidak pernah berkahwin.

Jika difikir-fikirkan, kehidupan Haji memang menyayat hati, namun dalam ketidaksempurnaan hidup itu, sebenarnya ada banyak perkara yang tidak perlu dia risaukan. Contohnya dia tidak perlu memikirkan tentang bil elektrik, bil air, sewa rumah dan lain-lain.

Dia tidak memerlukan bantal, selimut dan tilam empuk kerana sudah cukup baginya tidur bertilamkan tanah dan berbantalkan batu-batuan sambil melihat kerlipan bintang di langit malam.

Baginya, minum lima liter air setiap hari merupakan tabiat hidup yang menyihatkan berbanding manusia normal lain yang minum minuman manis daripada gelas kristal mewah.

Selamat jalan Amou Haji. Semoga kehidupan anda lebih bahagia di negeri abadi.

Pilihan Editor:

Peguam nasihat berwaspada beri komen dalam talian, saman fitnah menanti jika kenyataan anda dibukti menjatuhkan reputasi pihak lain

0

Setiap orang mempunyai hak dan kebebasan bersuara untuk menyatakan pendapat masing-masing dalam talian, tetapi walaupun begitu, adakah ia memberi anda hak untuk menyatakan secara sembarangan atau apa-apa sahaja yang berada dalam fikiran anda?

Seorang peguam berkongsi baru-baru ini mengenai pengalamannya mengendalikan kes yang melibatkan “komen dalam talian” dalam akaun Instagramnya, Lawyer Boy, di mana seorang lelaki berusia 20-an menghubunginya untuk mendapatkan nasihat kerana dia menerima saman secara tiba-tiba. Lelaki itu mengatakan dia tidak mengetahui apa kesalahannya, namun datangnya saman pastinya tidak berlaku secara tiba-tiba.

Peguam Boy meminta dokumen berkaitan untuk memahami kes ini dengan lebih lanjut, dan inilah yang berlaku kepada 2 lelaki yang dituduh dalam kes ini.

Pexels

Tertuduh 1

Tertuduh pertama telah menggunakan imej syarikat pengambilan pekerja tempatan tanpa kebenaran mereka untuk jawatan yang tidak berkaitan. Perlu diingat bahawa syarikat pengambilan pekerja tempatan adalah sah, dan objektif utamanya adalah untuk mengambil pekerja warganegara tempatan untuk syarikat asing.

Dia kemudian menggunakan imej lain yang berkaitan dengan mangsa penipuan kerja di luar negara dan menggabungkannya dengan imej syarikat tersebut bersama kapsyen yang dicap dengan nasibnya.

“Warga Malaysia mengkhianati warga Malaysia dengan menjualnya ke luar negara. Berhati-hati dengan syarikat ini, jangan terpedaya.”

Seperti kebanyakan orang sedia maklum, penipuan kerja di luar negara menjadi bualan ramai sejak kebelakangan ini, terutama selepas ia melibatkan kematian beberapa rakyat Malaysia.

Pexels

Tertuduh 2

Tertuduh kedua adalah rakan dalam talian tertuduh pertama, dan seolah-olah hantaran itu tidak cukup merosakkan, tertuduh kedua menyimbah minyak ke dalam api dengan mengulas hantaran yang telah dipadam:

“Pengkhianat rakyat Malaysia, mereka layak untuk mati.”

Sesetengah daripada anda mungkin bertanya kenapa berbahaya ulasan dalam talian. Selain daripada hujah dalam talian di bahagian komen, sesetengah komen itu secara kebiasaan tidak membawa akibat kepada tindakan lebih lanjut.

Tetapi mereka tidak tahu, kedua-dua tertuduh telah mencetuskan rangkaian peristiwa.

Syarikat menimbangkan untuk saman fitnah

Pixabay

Syarikat itu memutuskan untuk menyaman kedua-dua tertuduh kerana memfitnah, dan mereka menuntut RM350,000 bagi tujuan ganti rugi, membuatkan Peguam Boy sendiri terkejut.

Kedua-dua tertuduh bertanya kepadanya tentang langkah seterusnya yang perlu diambil, dan hanya satu perkara yang boleh mereka lakukan.

“Syarikat telah membawa perkara itu ke mahkamah, anda perlu mengupah peguam untuk menyelesaikan kes itu, atau untuk mewakili anda. Ia akan menelan kos sekitar RM15,000,” jelas Peguam Boy.

Tertuduh kedua, yang turut terkejut bertanya kepada Peguam Boy sama ada mereka boleh didapati bersalah untuk hantaran dan komen dalam talian semata-mata.

“Didapati bersalah atau tidak, itu adalah dalam keputusan mahkamah. Syarikat itu telah menyaman kamu berdua, dan kamu perlu membela diri, atau syarikat itu akan menang dengan samannya,” Lawyer Boy mengingatkan mereka.

Jadi beradab dan berhati-hati semua warganet dengan komen anda agar ia tidak membawa kepada unsur fitnah, menjatuhkan reputasi dan mendatangkan kerugian kepada pihak lain.

Instagram

Lawyer Boy memberitahu beliau berkongsi insiden ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati sebelum meninggalkan komen sembarangan dalam talian.

“Ambil kira kesahihan dan fikirkan akibat sebelum memuat naik sesuatu hantaran atau kandungan.”

Pada penghujung hantaran itu, Lawyer Boy berkata walaupun dunia maya itu adalah dunia yang bebas, ia tidak bermakna yang semua orang tidak perlu bertanggungjawab atas tindakan dan perilaku mereka.

Pilihan Editor:

Jambatan gantung runtuh di India: Angka kematian meningkat kepada 141

0

NEW DELHI: Angka kematian akibat runtuhan jambatan gantung di negeri Gujarat, India meningkat kepada 141 orang.

Beratus-ratus pengunjung menggunakan jambatan gantung yang dibina ketika era pemerintahan British di Sungai Machchhu di bandar Morbi itu sebelum ia tiba-tiba runtuh.

Pegawai kanan bomba daerah Morbi, Devendrasinh Jadeja memberitahu agensi Anadolu, operasi menyelamat diteruskan semalaman dan angka kematian mencecah 141 orang setakat pagi Isnin, 31 Oktober.

Facebook

“Operasi menyelamat masih diteruskan,” katanya.

Jambatan pejalan kaki sepanjang 232 meter itu merupakan sebuah lokasi popular yang baru dibuka semula pada minggu lalu selepas ditutup selama tujuh bulan untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Facebook

Pada awal pagi Isnin, Menteri Dalam Negeri Gujarat, Harsh Sanghavi berkata 132 orang telah disahkan meninggal dunia dan pasukan pegawai peringkat tinggi sedang menyiasat punca kejadian.

NDTV melaporkan semasa runtuhan, terdapat kira-kira 400 hingga 500 orang yang berada di atas jambatan gantung itu.

Facebook

Mangsa termasuk kanak-kanak yang sedang bersiar-siar bersama keluarga. Ramai mangsa dilaporkan masih hilang.

Pentadbiran tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan negeri telah memberi arahan untuk menyegerakan operasi menyelamat dengan bantuan tentera India.

Facebook

Perdana Menteri India Narendra Modi pada hari Ahad, 30 Oktober berkata beliau telah berhubung dengan Ketua Menteri Gujarat mengenai insiden itu.

“Perdana Menteri meminta pasukan bantuan digerakkan segera untuk operasi menyelamat. Beliau meminta agar keadaan itu dipantau dengan teliti dan berterusan, dan menghulurkan semua bantuan yang mungkin kepada mereka yang terjejas,” kata jurucakap Modi di Twitter.

Pilihan Editor:

Sekurang-kurangnya 151 orang maut dalam tragedi sambutan Halloween di Itaewon, Korea Selatan

0

Sambutan Halloween besar pertama di Korea Selatan sejak berakhirnya sekatan Covid-19 bertukar menjadi tragedi hitam apabila media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 151 orang maut dan lebih 82 orang cedera ketika menyambutnya di Itaewon, Yongsan-gu, Korea Selatan. Pihak berkuasa bomba mula menerima laporan mengenai mangsa yang mengalami jantung terhenti bermula jam 10.22 malam, pada 29 Oktober.

TWITTER

Dalam kejadian itu, lebih 100 orang mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital manakala mangsa yang telah meninggal dunia dilihat ditutup dengan kain dan lain-lain sementara menunggu bantuan untuk mengalihkan mereka ke tempat yang lebih selamat.

Kebanyakan mangsa berusia dalam lingkungan 20-an. Difahamkan, 19 orang yang maut merupakan warga asing yang terdiri daripada rakyat Iran, Uzbekistan, China dan Norway. Jumlah kematian tidak rasmi mencatatkan korban terdiri daripada 97 wanita dan 54 lelaki.

THE KOREA HERALD

Lebih 1,700 pasukan tindak balas kecemasan termasuk 517 anggota bomba, 1,100 anggota polis dan sekurang-kurangnya 70 orang pekerja kerajaan serta 142 buah ambulan dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa di lokasi kejadian.

CNN

Sekitar jam 11.30 malam, pekerja keselamatan melakukan CPR terhadap mangsa yang tidak menyedarkan diri berdekatan dengan Hotel Hamilton di Itaewon. Dikatakan lebih kurang 50 orang pesakit mengalami jantung terhenti di tempat kejadian.

Kira-kira 100,000 orang hadir ke lokasi kejadian untuk menyambut Halloween pada hujung minggu tersebut. Kebanyakan mereka yang hadir tidak menggunakan pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan sosial walaupun wabak Covid-19 masih belum reda.

THE KOREA HERALD

Ekoran kejadian malang tersebut, Presiden Yoon Suk-Yeol mengadakan mesyuarat tergempar dan mengisytiharkan Waktu Berkabung Kebangsaan sehingga kes kemalangan itu selesai. Yoon juga memerintahkan agar semua kementerian dan agensi berkaitan yang diketuai oleh menteri pentadbiran awam dan keselamatan untuk berusaha sedaya upaya memberikan bantuan segera kepada mangsa.

REUTERS

Tambah Yoon lagi, tragedi tersebut tidak sepatutnya berlaku di tengah-tengah Seoul ketika menyambut Halloween. Walau bagaimanapun, dia menitipkan doa buat mangsa korban dan berharap agar mangsa yang cedera segera sembuh.

THE KOREA HEARLD

Yoon turut menggesa untuk mempersiapkan langkah keselamatan bagi menangani kecemasan yang mungkin boleh berlaku pada acara Halloween yang berlangsung di seluruh negara. Menurut berita tempatan, Datuk Bandar Seoul Oh Se-Hoon juga telah memutuskan untuk segera pulang daripada lawatan perniagaannya di Eropah.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian tersebut, namun Choi Seong-Bum, ketua Jabatan Bomba Yongsan-gu berkata ia adalah ‘dianggap rempuhan’ dan ramai orang terjatuh sehingga mencederakan sekurang-kurangnya 82 orang.

Lebih 100,000 orang datang ke Itaewon yang terkenal sebagai daerah kelab malam untuk meraikan sambutan Halloween pada Sabtu malam. Banjiran orang ramai tersebut telah menyebabkan jalan yang sempit menjadi sesak hingga menyukarkan pergerakan.

Saksi yang dikenali sebagai Sung mengatakan dia nampak orang pergi ke sebelah kiri dan sampai ke seberang jalan. Namun, orang yang berada di tengah-tengah kesesakan tersebut tidak dapat meloloskan diri hingga menyebabkan mereka sukar bernafas. Dia mengumpakan kejadian tersebut seperti “kereta api bawah tanah yang tersekat”. Dia bernasib baik kerana sempat melepaskan diri daripada kesesakan tersebut namun satu jam kemudian, dia terdengar berita mengenai orang yang maut di situ. Dia percaya puncanya adalah rempuhan dan masing-masing tersekat antara satu sama lain.

Kata saksi lain, Park Jung-Hoon, 21 kepada REUTERS jumlah orang yang datang ke Itaewon kali ini adalah sepuluh kali ganda lebih ramai berbanding jumlah orang yang menonton pertunjukkan bunga api.

Polis menutup ruang tersebut bagi memudahkan petugas kesihatan melakukan tugas mereka. Namun video yang tersebar luas di media sosial memperlihatkan mangsa yang memakai kostum Halloween terbaring di jalanan sementara yang lain diberikan bantuan kesihatan.

Kerajaan bandar Seoul turut menerima laporan mengenai kehilangan orang ketika rakan dan ahli keluarga mendakwa orang yang mereka cari tersebut diketahui hadir ke sambutan tersebut dan tidak pulang ke rumah.

Pada pagi Ahad, anggota polis kembali ke lokasi kejadian untuk mencari barang peribadi dan cebisan pengenalan diri untuk menentukan jumlah sebenar mangsa yang maut dan cedera.

TWITTER

Berikut adalah antara video yang tular mengenai sambutan Halloween di lokasi kejadian.

Takziah kepada semua keluarga yang kehilangan ahli mereka dalam tragedi ini.

Pilihan Editor:

Kejadian tangki pecah di Taman Mas Puchong bukanlah pertama kali berlaku, namun kali ini lebih dahsyat

0

Lebih kurang enam buah kereta mengalami kerosakan akibat tangki pecah di Taman Mas Puchong yang berlaku pada 7.40 malam Khamis lalu. Tangki pecah yang terletak di blok A, Apartment Penaga Mas itu memperlihatkan air mencurah-curah seperti air terjun yang begitu deras sekali.

Kejadian itu sempat dirakam dan dikongsikan oleh pengguna TikTok @ameiraaaa. Menerusi video berdurasi kurang lima minit itu, kelihatan beberapa kenderaan yang diletakkan di perkarangan pangsapuri terkena curahan air deras tersebut.

Selepas beberapa minit, curahan air tangki itu berhenti dan orang ramai mula berkumpul di perkarangan pangsapuri. Akibat daripada curahan air tangki itu, enam kenderaan mengalami kerosakan teruk seperti cermin hadapan pecah, bumbung dan bahagian bonet kemek.

Rata-rata netizen yang melihat video tersebut mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terlibat.

Difahamkan rupa-rupanya kejadian tersebut bukanlah pertama kali berlaku. Ini kerana, seorang mangsa menceritakan pengalamannya yang pernah berhadapan dengan kejadian tangki pecah di pangsapuri yang sama pada tahun 2016. Menurutnya, semua barang di dalam rumahnya rosak dan rumahnya di tingkat sembilan itu turut banjir ketika tangki yang terletak di tepi rumahnya itu pecah.

Menurut ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof, serpihan tangki air tersebut turut terjatuh dan menimpa kenderaan di bawah blok pangsapuri itu. Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku.

Ekoran kejadian itu, lori tangki air dari Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Selangor Air) dihantar untuk membekalkan air bersih kepada 172 buah rumah yang terjejas.

Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Selangor turut memberi sumbangan berupa 100 karton air mineral untuk keperluan memasak dan minuman pada mangsa yang terjejas. Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata, bantuan awal tersebut diberikan sebelum pihak bertanggungjawab melakukan siasatan.

SUMBER KINI

Diharapkan semua mangsa yang terlibat bersabar dengan ujian yang menimpa dan semoga pihak bertanggungjawab menzahirkan rasa simpati dengan membayar ganti rugi yang sewajarnya kepada mereka.

Pilihan Editor:

Isteri janji belikan PS5, suami nekad sahut cabaran, berjaya kurangkan 10 kilogram dalam masa singkat

0

“Apabila isteri anda berkata, ‘hilang 10 kilogram dan saya akan belikan awak PS5’, empat bulan kemudian saya hilang 10 kilogram”. Begitulah yang ditulis oleh Prab Laoharojanaphan di Facebooknya. Dia berkongsi kegembiraan kerana memperoleh PS5 idamannya selepas isterinya berjanji membelikan mainan tersebut sekiranya dia berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 10 kilogram.

Menurut Prab, bagi menjayakan cabaran tersebut, dia melakukan diet sela bermula jam 4 petang hingga 8 pagi. Lama-kelamaan dia mengurangkan masa makan diet sela tersebut kepada jam 6 petang hingga 6 pagi dan seterusnya pada jam 8 malam hingga 4 pagi.

Selain mengawal cara pemakanan, Prab turut bersenam. Dia melakukan latihan kardio dan fizikal.

Untuk diet pemakanan, dia mengamalkan 80% keto, manakala 20% lagi bebas (pelepasan sekiranya keluar makan bersama rakan-rakan atau menghadiri jamuan istimewa tertentu).

PEXELS

Prab juga berkongsi buku yang perlu dibaca seperti The Obesity Code – Unlocking the Secrets of Weight Loss yang ditulis oleh Dr. Jason Fung. Ini kerana, menurut Prab kita perlukan ilmu pengetahuan untuk memahami penyebab obesiti dan menggunakan pengetahuan tersebut untuk mengatur strategi mengurangkan berat badan yang bersesuaian dengan diri dan kehidupan masing-masing.

Facebook

Jika anda mahu mencuba diet sela atau puasa berkala, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui terlebih dahulu. Antaranya ialah:

1. Bukan semua orang boleh mengamalkan diet sela atau puasa berkala. Antara mereka yang dicegah ialah:
* Wanita mengandung atau sedang menyusukan anak.
* Kanak-kanak atau remaja.
* Orang dewasa yang lemah tubuh badan.
* Penghidap demensia.
* Sedang atau pernah menghadapi gangguan makan.
* Pernah mengalami kecederaan otak.
* Pesakit kencing manis.

2. Jenis diet sela atau puasa berkala.
* Kaedah 16/8: Anda perlu berpuasa selama 16 jam sehari, contohnya makan antara jam 12 tengah hari dan 8 malam sahaja.
* Kaedah Makan-Rehat-Makan: Sekali atau dua kali seminggu, jangan makan apa-apa daripada makan malam hari pertama hingga makan malam keesokan harinya (24 jam berpuasa).
* Diet 5:2: Dalam masa dua hari seminggu, anda hanya makan kira-kira 500 hingga 600 kalori sahaja.
* Puasa berselang: Satu hari berpuasa, satu hari tidak berpuasa secara selang-seli.
* Warrior Diet: Makan sedikit buah-buahan dan sayur-sayuran mentah pada waktu siang dan makan satu hidangan berat pada waktu malam.

PEXELS

3. Keburukan diet sela atau puasa berkala:
* Lapar yang melampau.
* Loya.
* Mudah marah.
* Sakit kepala.
* Keletihan.
* Pengsan.

4. Kebaikan diet sela atau puasa berkala:
* Membantu menurunkan berat badan dan memperbaiki proses metabolisme.
* Boleh menjadi perubahan gaya hidup yang mampan.
* Sesuai untuk mendapatkan diet makanan lengkap yang berkhasiat.

PEXELS

Jika anda merasakan diet sela atau puasa berkala sesuai untuk anda, dapatkan teknik yang betul. Namun, sekiranya anda berterusan mengalami kesan-kesan buruk seperti yang dinyatakan di atas, sila berhenti kerana mungkin badan anda tidak sesuai dengan teknik diet sela atau puasa berkala ini.

Kisah Prab untuk mendapatkan habuan sambil mengurangkan berat badan ini sungguh memberi inspirasi. Namun harus diingatkan bahawa PS5 itu hanyalah ‘alat’ untuk memberi semangat kepadanya untuk mengurangkan berat badan. Tidak semestinya anda juga perlu meletakkan hadiah mahal sebagai cagaran. Mungkin percutian tiga hari dua malam di pulau sekitar Malaysia boleh dijadikan hadiah untuk anda mencapai berat ideal.

RADARPENA

Tidak kira mahal atau murah nilai habuan tersebut, yang penting anda berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan berat ideal demi menjaga kesihatan diri anda. Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Ayam dan kentang McD khas untuk upacara perpisahan mendiang anak, tindakan McDonald’s penuhi tempahan bapa sebelum 9 pagi menyentuh hati

0

“Ini adalah makanan kegemaran anak saya!” kata seorang bapa yang mengadakan upacara perpisahan untuk mendiang anaknya, yang telah menempah ayam goreng, nuget ayam dan kentang goreng di McDonald’s kerana kanak-kanak ini menggemari makanan segera itu sebelum kematiannya.

Tetapi oleh kerana hidangan itu hanya disajikan pada waktu makan tengah hari, jadi bapa ini bertanya secara spesifik kepada pengurus McDonald’s jika dia boleh membantu. 

Tanpa menyangka restoran McDonald’s berkenaan spontan bersetuju tanpa banyak soal, membuatkan bapa pilu ini berasa amat bersyukur dan tersentuh hati.

Facebook

Bapa ini berkongsi hantaran dalam kumpulan Facebook Taiwan “Blasting and Waste Commune Public Edition”, anaknya paling suka makan McDonald’s sebelum kematiannya, dan dia ingin membawa makanan segera itu ke dalam upacara sembahyang dan perpisahan untuknya.

“Saya ke restoran McDonald’s beberapa hari lepas bertanyakan sama ada ayam goreng, nuget dan kentang goreng boleh ditempah sebelum pukul 9 pagi supaya saya boleh membawanya ke upacara perpisahan anak, dan restoran makanan segera itu berjanji untuk membantu!” tulis bapa ini.

Pada hari itu, McDonald’s benar-benar menyediakan menu makanan yang hanya dibuka pada waktu makan tengah hari seperti yang mereka dijanjikan kepada bapa ini.

“Terima kasih kepada Restoran McDonald’s Banqiao Yunong kerana membuat ayam goreng, nugget ayam, dan kentang goreng sebelum pukul 9 pagi. Untuk upacara sembahyang anak saya dan memenuhi permintaan si ayah,” tulis bapa ini yang terharu bersama muat naik gambarnya.

Gambar itu memaparkan meja sembahyang kepada anaknya dengan beberapa makanan kegemaran mendiang kanak-kanak itu, menunjukkan terdapat ayam goreng, nugget ayam, kentang goreng McD, selain sup jagung, manisan puding, kek, madu, coklat, kerepek kentang pelbagai perisa dan beberapa botol teh susu. Yang kesemuanya biasa menjadi makanan ringan paling digemari kanak-kanak.

Facebook

Sebaik sahaja hantaran Facebook bapa ini yang menyayat hati dimuat naik, ramai netizen meninggalkan mesej berasa tersentuh dan memuji tindakan bertimbang rasa serta menyentuh hati restoran makanan segera itu:

“Takziah buat anda sekeluarga, mendiang anak anda sudah pasti sangat gembira.”

“Semoga perjalanan anak itu baik-baik sahaja, dan saya harap anda dapat keluar daripada kesakitan akibat kehilangan anak tersayang secepat mungkin.”

“Takziah, terima kasih McDonald’s atas layanan mesra terhadap anda dan memenuhi permintaan khas anda.”

“McDonald’s yang menghangatkan hati anda..” 

“Restoran makanan segera penyentuh hati..”

“Takziah untuk anda. Restoran yang memenuhi keinginan anak anda, M yang sangat baik hati..”

Pilihan Editor:

Dua kanak-kanak dibiar bermain di balkoni tidak berpagar luar tingkap kondominium, polis soal siasat ibu bapa disyaki cuai

0

Sifat ingin tahu kanak-kanak tidak bersalah dan tidak dapat berfikir dengan baik seperti mana orang dewasa yang sepatutnya memberi bimbingan, kadangkala boleh membawa kepada situasi tidak dijangka yang berbahaya.

Seperti contoh, satu video mendebarkan yang menunjukkan dua orang kanak-kanak bermain di atas balkoni tidak berpagar di luar tingkap sebuah kondominium di Taman Setapak, Kuala Lumpur telah menjadi tular di media sosial sejak 25 Oktober.

Facebook

Dalam video itu, kelihatan kanak-kanak berusia dua dan empat tahun sedang berehat dan bermain di atas belebas tingkap. Pada satu ketika, salah seorang kanak-kanak itu berdiri kemudian duduk semula sehingga mencemaskan jiran sedang merakam video itu, serta jiran-jiran lain yang memerhatikan mereka.

Video itu juga menimbulkan kebimbangan orang ramai dengan keselamatan dua kanak-kanak itu.

Facebook

Ibu bapanya didapati melakukan kecuaian ketika menjaga kanak-kanak itu.

Susulan insiden, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan mendapati ibu bapa kanak-kanak itu berada di dalam rumah ketika kejadian.

“Mereka mendakwa tidak menyedari kejadian itu,” kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah.

Facebook

Justeru, polis menahan pasangan suami isteri itu kerana disyaki melakukan kecuaian ketika menjaga anak-anak mereka.

“Laporan polis dibuat oleh pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (2001),” katanya.

“Pasangan itu telah disoal siasat dan dibenarkan pulang manakala pegawai penyiasat telah melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya,” jelasnya.

Facebook

Menurut Ashari, jika sabit kesalahan pasangan itu akan didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa sama, polis turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak membiarkan anak-anak bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu merupakan satu kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak.

Pilihan Editor:

Pelajar tampil dengan pelbagai topi anti-penipuan pada hari peperiksaan, rakan sekelas tiada peluang mengintai jawapan

0

Mary Joy Mandane-Ortiz, pensyarah di Bicol University College of Engineering, Filipina meminta pelajarnya untuk membuat topi anti-penipuan untuk dipakai pada hari peperiksaan. Ortiz memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelajarnya untuk menyediakan topi tersebut. Pada hari peperiksaan, para pelajar tampil dengan pelbagai perisai bagi mengelakkan daripada ditiru rakan sekelas. Melihat pada penampilan mereka, nampaknya rakan sekelas memang tiada langsung peluang untuk mengintai jawapan.

Dikhabarkan, Ortiz mendapat inspirasi untuk melakukan pendekatan tersebut daripada sebuah universiti di Thailand yang sebelum ini meminta para pelajar memakai ‘topi keledar anti-menipu’ semasa peperiksaan mereka. Idea tersebut merupakan cadangan salah seorang pelajar universiti berkenaan.

Ortiz begitu terharu dengan sambutan yang ditunjukkan oleh para pelajarnya yang tampil dengan pelbagai gaya menarik. Ini kerana, peperiksaan pertengahan penggal kejuruteraan boleh memberi desakan dan tekanan namun para pelajar masih mampu menceriakan suasana peperiksaan tersebut.

Ortiz mengambil gambar para pelajar dan memuat naiknya di Facebook miliknya. Tidak disangka, hantaran tersebut mendapat maklum balas positif daripada orang ramai termasuklah media tempatan.

Ada pelajar yang memakai topi yang dihasilkan mengikut kreativiti masing-masing dan ada juga pelajar yang menggunakan apa sahaja yang mereka ada.

Contohnya seperti pelajar ini. Dia hanya berpayung! Biasanya orang-orang tua pasti akan marah kalau kita buka payung dalam rumah kerana katanya nanti ular akan masuk. Tetapi bagi pelajar ini, payunglah perisai paling mudah bagi mengelakkan dirinya ditiru pada hari peperiksaan.

Tiada idea untuk membuat topi anti-penipuan? Guna sahaja topi keledar seperti pelajar ini. Selesai masalah!

“Nak tiru tak boleh, nak lolipop boleh.”

Mengambil semangat untuk mendapat keputusan cemerlang, replika sijil dan topi segi empat siswazah menjadi perisai anti-penipuan buat pelajar ini.

Boleh nampak ke tu?

“Mak, jangan buang beg kertas. Saya nak buat topi anti-penipuan.”

“Peperiksaan memang memberi tekanan, tapi saya mesti terus tersenyum!”

“Saya bukannya nak pergi ke ladang lebah. Saya nak pergi jawab peperiksaan ni.”

Walau bagaimanapun, Ortiz mengingatkan agar pelajar seharusnya belajar dan mengulangkaji pelajaran dengan bersungguh-sungguh dan bukannya menipu ketika peperiksaan.

Mungkin para guru dan pensyarah di negara kita boleh menggunakan idea topi anti-penipuan pada pelajar mereka. Selagi tidak menyusahkan dan tiada unsur penipuan, apa salahnya? Pasti para pelajar akan kurang berasa tertekan untuk menghadapi peperiksaan. Apa-apa pun, jujurlah pada diri sendiri ketika menjawab soalan peperiksaan. Usaha tangga kejayaan.

Pilihan Editor: