27.5 C
Kuala Lumpur
Monday, July 21, 2025
Utama Blog Laman 128

Lynx si kucing liar muncul di depan mata, tergamam dan terpesona dibuatnya

0

Pada suatu hari, ketika Sam Griffiths sedang memandu dia terlihat kemunculan lynx si kucing liar. Griffiths sangat terkejut. Dia menyangka hanya ada seekor lynx sahaja, rupa-rupanya anak-anak lynx turut muncul disebalik semak.

THE DODO

Griffiths yang ditemani teman wanitanya ketika memandu di sepanjang jalan luar bandar di Newfoundland, Kanada tidak menyangka akan melihat kejadian yang luar biasa itu. Mereka terlihat seekor lynx menlitas jalan dan dalam sekelip mata kucing liar itu hilang daripada pandangan. Rupa-rupanya ia tidak berakhir di situ.

Griffiths memutuskan untuk memberhentikan kenderaannya, berharap dapat melihat kucing liar tersebut dengan lebih jelas. Tidak lama kemudian muncul seekor lynx dari hutan bersama empat ekor anak yang membuntutinya.

Griffiths

Seakan terpukau, Griffiths dan teman wanitanya tergamam melihat sekumpulan spesies kucing yang sangat jarang ditemui itu.

Menurut Griffiths kepada The Dodo, sepanjang hidupnya, dia hanya pernah terlihat dua atau tiga ekor lynx sahaja, bersendirian. “Memang saya terkejut sebab saya tahu betapa luar biasanya fenomena lynx berjalan secara ramai-ramai itu,” kata Griffiths.

Kumpulan kucing liar tersebut berlari melintasi jalan. Sepantas mana ia datang, sepantas itu jugalah ia pergi. Griffiths tahu dia mungkin tidak berpeluang menyaksikan lagi kehadiran haiwan liar itu.

Ini kerana, lynx Kanada biasanya mengelak untuk bertemu dengan manusia, jadi fenomena seperti ini memang sangat luar biasa dan mengagumkan. Sungguh bertuahlah sesiapa yang terserempak dengan lynx.

Lynx sangat sukar difahami sebenarnya sehinggakan Persekutuan Hidupan Liar Kebangsaan menyifatkan haiwan tersebut sebagai ‘seperti hantu kelabu di Utara’.

“Ia satu pengalaman yang menakjubkan,” kata Griffiths mengakhiri temu bual.

PEXELS

Fakta mengenai lynx:

  • Lynx adalah kucing liar bersendirian yang banyak ditemui di hutan utara terpencil di Amerika Utara, Eropah dan Asia.
  • Dilitupi dengan bulu tebal yang cantik, lynx kekal hangat biarpun pada musim sejuk. Kaki besarnya juga berbulu, berfungsi sebagai kasut salji semula jadi.
  • Mungkin disebabkan manusia kadangkala memburu untuk mendapatkan bulunya yang cantik itu, kucing senyap ini sentiasa mengelakkan diri daripada bertembung dengan manusia.
  • Lynx memburu pada waktu malam. Dengan menggunakan pendengaran yang hebat dan penglihatan yang sangat tajam, lynx mampu melihat seekor tikus sejauh 250 kaki.
  • Selain tikus, tupai dan burung, snowshoe hare (sejenis arnab) adalah makanan lynx. Rusa dan mangsa lain yang lebih besar juga turut menjadi haiwan buruan lynx.
  • Lynx mengawan pada awal musim bunga atau lewat musim sejuk. Kira-kira dua bulan kemudian, lynx betina akan melahirkan anak antara satu hingga empat ekor.
  • Lynx Iberia merupakan populasi lynx yang terancam. Populasi ini berjuang untuk bertahan di pergunungan Sepanyol, jauh dari hutan utara yang sejuk di mana kebanyakan lynx tinggal.

Pilihan Editor:

Jarak usia 23 tahun, lelaki ini bahagia berkahwin dengan ibu tunggal kerana niatnya ikhlas mahu membantu keluarga

0

Kisah wanita yang memilih lelaki muda untuk dijadikan pasangan hidup sudah pasti akan mendapat perhatian dan diperkatakan dalam masyarakat, walaupun pada hakikatnya ia bukanlah perkara yang luar biasa, kerana soal jodoh itu bukan masyarakat yang menentukan.

Seorang lelaki berusia 24 tahun yang berkahwin dengan ibu tunggal anak lima tidak kisah diejek rakan kerana niatnya ikhlas untuk menolong wanita berkenaan.

TikTok

Mohd Azmirullah Mohd Azan yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga dengan Wan Nazihah Wan Awang, 47 tahun, mengakui pada mulanya dia merahsiakan perkahwinan mereka daripada rakan-rakan.

“Apabila saya beritahu mengenai perkahwinan kami,  ada yang mengejek. Tapi, saya tak kisah dan ambil hati pun sebab niat saya bukan mahu bercinta sebaliknya saya ikhlas hati mahu membantu,” jelasnya.

Apatah lagi kesemua anaknya masih bersekolah ketika itu. Selepas berkahwin, ada juga yang tersalah anggap isterinya itu adalah ibunya jika mereka keluar bersama. 

“Mereka cakap depan-depan pula tu. Tetapi saya okay saja,” katanya kepada Berita Harian.

TikTok

Menurutnya, sepanjang empat tahun berkahwin, isterinya banyak memberi tunjuk ajar terutama ketika berdepan orang sekeliling.

“Ini kerana ada saja yang toksik, tetapi pekakkan telinga. Dalam kalangan kedua belah keluarga, Alhamdulillah okay saja,” katanya.

Kata Azmirullah, pada awal perkahwinan suasananya memang kekok, apatah lagi anak sulung isterinya adalah sebaya dengan umurnya. 

Manakala anak lelaki isterinya yang bongsu, kini amat rapat dan manja dengannya.

TikTok

“Ketika ayahnya meninggal dunia, dia baru berumur setahun. Tidak merasa lagi kasih sayang daripada ayah. Alhamdulillah, semua anak menghormati saya dan mereka panggil saya papa,” katanya.

Lima anak isterinya berusia antara 24, 20,17,14 dan sembilan tahun.

Menurutnya, dia kini meneruskan perniagaan yang pernah diusahakan Allahyarham suami isterinya iaitu menjual gas.

“Menjual gas ini adalah perniagaan isteri. Selepas kematian suami, macam-macam perkara berlaku. Jadi, selepas berkahwin saya teruskan perniagaan ini. Saya sendiri buat kerja, bawa lori dan menaikkan semula perniagaan ini.

“Sebelum ini pun saya kerja kampung juga. Tidaklah senang. Kiranya, apabila bersama isteri kami sama-sama susah dan sama-sama senang. Hampir 24 jam saya bawa isteri bersama,” jelasnya.

TikTok

Selain meneruskan perniagaan, Mohd Azmirullah yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan melaksanakan amanat Allahyarham untuk menghantar semua anak ke pusat tahfiz.

“Arwah pesan, semua anak-anak kena masuk tahfiz. Alhamdulillah, yang sulung dan nombor dua sudah tamat pengajian. Sekarang, yang ketiga dan keempat masih belajar.

“Sementara yang bongsu, Insya-Allah tahun depan. Anak sulung juga bakal berkahwin tahun depan,” katanya.

Terdahulu, kisah Mohd Azmirullah yang juga dipanggil abang sado oleh netizen menjadi tular di TikTok hingga mencecah 1.7 juta tontonan kerana berkongsi cerita perkahwinannya dengan seorang wanita berusia 43 tahun yang memiliki lima orang anak.

Pilihan Editor:

Pasukan kompang membuat persembahan, ‘birthday boy’ terkedu!

0

Umum mengetahui kompang biasa dimainkan dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Namun kali ini persembahan pasukan kompang sedikit berbeza. Pasukan tersebut menyanyikan lagu hari jadi untuk birthday boy. Bukan dalam bahasa Inggeris sahaja tetapi dalam bahasa Cina juga. Memang meriah!

Seorang lelaki berbangsa Cina kelihatan terpesona dengan sekumpulan lelaki Melayu yang masuk sambil memukul kompang. Walaupun berasa pelik tetapi dia kelihatan begitu menikmati paluan kompang tersebut. Apatah lagi pasukan kompang tersebut lengkap bersongkok dan berbaju melayu, makin terpesona jadinya!

pasukan kompang
FACEBOOK

Kawan-kawannya mula mengusik. Tetapi nampaknya birthday boy itu masih tidak dapat menangkap apakah makna disebalik persembahan tersebut. Ini kerana pasukan kompang belum lagi menyayikan apa-apa lagu iringan pada irama kompang yang dimainkan itu.

Tiba-tiba seorang kawan datang dengan membawa kek hari jadi. Lelaki tersebut mula malu-malu.

Suasana mula meriah apabila pasukan kompang menyanyikan lagu hari jadi dalam bahasa Inggeris. Semua orang yang menghadiri majlis sambutan hari jadi itu turut menyayikan lagu tersebut dengan penuh semangat. Kelihatan birthday boy itu sudah mula berasa terharu dengan kejutan yang disediakan oleh kawan-kawannya itu. Tetapi ia tidak berakhir di situ.

Pasukan kompang terus memainkan dendangan kompang namun kali ini dengan iringan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi dalam bahasa Cina. Wah, makin meriah!

Tentunya lelaki berkenaan tidak menyangka bahawa sambutan hari jadinya kali itu lain daripada yang lain. Bukan dia sahaja yang terkejut, kami pun terkejut juga. Rasanya belum ada lagi sesiapa yang menyambut hari jadi dengan paluan kompang seperti ini.

Seronok betul ada kawan-kawan yang mempunyai idea luar biasa seperti ini. Apatah lagi jika kejutan yang dilakukan itu adalah perkara yang kita sukai.

Untuk pengetahuan anda, kompang dipercayai berasal dari Timur Tengah. Kompang dimainkan oleh pedagang Arab yang datang berdagang ke Nusantara. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian pembeli terhadap barang dagangan mereka.

Antara fungsi kompang ialah:

  • Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau berkumpulan secara nasyid, marhaban.
  • Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, berkhatam Al-Quran dan mengiringi ketibaan pembesar dalam upacara rasmi.
  • Menjadi elemen persembahan muzik lain seperti orkestra, lagu etnik kreatif, caklempong dan gamelan.
  • Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding, contohnya pasukan bola sepak.

Sehingga ke hari ini, persembahan kompang terus diadakan. Semoga budaya ini akan diteruskan oleh generasi akan datang.

Pilihan Editor:

Dulu kedai makannya kurang pelanggan, sejak kumpulan bermotosikal singgah makan semuanya berubah

0

Seorang peniaga di Negeri Sembilan meminta pengguna Facebook melalui kumpulan ‘Edit Apa Hari Ini‘, menyunting gambar kedai makannya. Dia mahu gambar yang disunting itu kelihatan seakan-akan ramai orang datang makan di kedainya. Sebagai tanda sokongan, sekumpulan lelaki bermotosikal singgah makan di kedainya sekali gus menukarkan angan-angan peniaga kepada realiti.

Menurut peniaga tersebut, dek kerana kekurangan pelanggan dia hampir berputus asa. Memandang itu sahaja kemahiran yang dia miliki, perniagaannya tetap diteruskan. Tambahnya lagi, pernah pada suatu hari dia memperoleh RM47 sahaja selama berniaga dari pagi hingga petang. Meskipun begitu, dia tetap bersyukur kerana masih ada pelanggan yang sudi menjamu selera di kedai makannya.

Terpanggil untuk memberi sokongan, sekumpulan lelaki bermotosikal singgah makan di kedai peniaga tersebut. Syabas dan terima kasih diucapkan kepada pasukan Zuriat Yat kerana menjadi antara mereka yang terawal menyokong perniagaan kedai makan Mehwan GULAI KAWAH ini.

Menurut Zuriat Yat, makanan di sana sedap-sedap belaka. Dia turut mengajak orang ramai untuk berkunjung ke kedai makan tersebut bagi menikmati sendiri kelazatan makanan yang disediakan.

Selepas kunjungan pasukan Zuriat Yat, ramai orang mula berkunjung ke kedai makan Mehwan GULAI KAWAH itu. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai sendiri kelazatan makan yang disediakan.

Antara menunya ialah Nasi Putih Gulai Kawah Daging, Nasi Minyak Gulai Kawah Kambing, Gulai Gearbox dan lain-lain.

Bagi peminat ikan patin, anda bolehlah mencuba menu Patin Tempoyak yang disediakan di sana. Harga pun berpatutan. Tidak rugi mencubanya.

Jika anda berkelapangan dan mahu mencuba masakan daripada air tangan mereka, bolehlah berkunjung ke kedai makan mereka. Alamatnya adalah No. 1. Medan Selera, Felda Jaya Selatan, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Menurut tuan punya kedai, mereka tidak berniaga pada setiap hari Rabu. Jadi, rancang perjalanan anda.

Rakyat Malaysia memang baik hati. Sikap saling bantu-membantu antara satu sama lain sudah sebati dalam jiwa kita. Pantang lihat orang di dalam kesusahan, biarpun sedikit pasti ada yang sudi menghulurkan bantuan.

Semoga rakyat Malaysia terus hidup aman damai bersatu padu.

Pilihan Editor:

Empat tumbuhan hiasan yang boleh menghilangkan kulapuk dalam rumah, cara semula jadi untuk mengawal kelembapan

0

Tumbuhan hiasan bukan sahaja baik untuk menghias ruang rumah, tetapi juga baik untuk mengurangkan kelembapan di dalam rumah. Perkara utama dalam memilih jenis tumbuhan yang bersesuaian untuk kawasan tertentu ialah dengan tidak memerlukan perhatian berterusan. Tetapi, anda perlu memahami keperluan cahaya, tanah dan air, terutamanya apabila mencari tumbuhan yang bersesuaian dalam bilik mandi. 

Namun, tidak semua tumbuhan tumbuh subur dengan baik di dalam bilik mandi, dan kebanyakan bilik lain di rumah anda sebenarnya mempunyai tahap kelembapan yang lebih tinggi.

Gambar Express.co.uk/Getty Images

Menurut pakar dari Gardening Express, “Menggunakan tumbuhan untuk membantu mengelakkan kulapuk adalah cara yang praktikal dan semula jadi untuk mengawal kelembapan di dalam rumah anda. Kehebatan tumbuhan dalam mengurangkan kelembapan adalah berkaitan dengan keupayaannya untuk menyerap embun, kabut dan kelembapan lain melalui daunnya. Kelembapan ini kemudiannya bergerak ke akarnya.

Keindahan penyelesaian semula jadi ini ialah anda akan dapat melihat keberkesanannya dalam mengawal kelembapan sambil mempunyai tumbuhan yang cantik untuk dilihat dan dinikmati.

Berikut adalah empat tumbuhan hiasan yang anda boleh cuba meletakkannya di ruang yang mempunyai kadar kelembapan tinggi di dalam rumah

1.Ivy Inggeris

PropertyGuru

Pokok Ivy Inggeris sangat berkesan dalam menyaring pencemaran udara yang berbahaya dan bau tidak menyenangkan yang menjadikannya sebagai aksesori tambahan terbaik di bilik mandi.

Pakar berkata ia “tumbuh paling baik dalam cahaya terang, dan tidak memerlukan penyiraman biasa” tetapi perlu diingat untuk menjauhkan tumbuhan ini daripada haiwan peliharaan kerana daunnya adalah toksik kepada mereka.

Atas sebab ini, Ivy Inggeris amat baik dan sesuai diletakkan di dalam bekas gantung atau diletakkan di atas kabinet.

2. Lili Damai atau Bakung Damai

PropertyGuru

Bunga lili atau bakung damai “sukakan tempat teduh dan tumbuh subur dalam kelembapan yang tinggi, menjadi pilihan yang tepat untuk kawasan yang terdedah kepada kulapuk”.

Tumbuhan ini menyerap lembapan dari udara melalui daunnya dan tidak memerlukan cahaya matahari langsung atau terhad untuk mekar dan ia boleh tumbuh di bawah pencahayaan pendarfluor.

Ia juga bagus untuk mereka yang mengalami alahan atau asma, dan tumbuhan itu menghasilkan bunga yang cantik, tetapi ia adalah tumbuhan toksik kepada haiwan peliharaan jadi jauhkan ia dari jangkauan.

3. Pokok Ular atau Lidah Mak Mentua

PropertyGuru

Juga dikenali sebagai lidah ibu mertua, tumbuhan ini adalah tumbuhan yang tahan lasak dan boleh disesuaikan, juga salah satu yang terbaik untuk pemeluwapan atau kelembapan.

Tumbuhan ini tumbuh paling baik dalam cahaya terang dan suhu hangat dengan penjagaan yang cukup minimum, di mana memerlukan penyiraman setiap minggu atau dua, menjadikannya tumbuhan permulaan yang bagus untuk anda yang baru bermula untuk menanam tumbuhan.

Tumbuhan ini datang dalam pelbagai bentuk dan warna, yang kebanyakannya mengingatkan kepada kulit ular, dan sebab itu juga ia dipanggil pokok ular. Bukan sahaja daunnya menyerap kelembapan berlebihan, tetapi ia juga menapis toksin di udara, menyerap pelbagai pencemaran udara dan bau, yang sekaligus meningkatkan kualiti udara secara menyeluruh.

4. Pokok Palma

Pexels

Pokok Palma dikatakan sebagai “pilihan yang baik untuk membantu mengawal kelembapan dan mengelakkan kulapuk” kerana ia menyerap kelembapan melalui daunnya.

Terdapat beberapa jenis palma untuk dipilih, tetapi pokok pinang, pokok buluh, pokok palma hidup, pokok kurma kerdil dan pokok mensiang adalah yang terbaik untuk pemeluwapan.

Tumbuhan lain yang menikmati kelembapan ialah orkid, pakis Boston dan pokok labah-labah.

Pilihan Editor:

Kanak-kanak selamatkan diri sebelum menghubungi bomba ketika dapur rumah terbakar

0

Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun setengah bertindak bijak ketika dapur rumahnya terbakar. Dia menyelamatkan diri dan adiknya sebelum menghubungi bomba untuk meminta bantuan.

FACEBOOK

Pada 9 November lalu, jam 5.54 petang, balai bomba Kota Nanning, Guangxi, China menerima panggilan kecemasan daripada seorang kanak-kanak yang mendakwa bahawa kebakaran telah berlaku di rumahnya. Kebakaran tersebut berpunca daripada dapur gas yang tidak dimatikan.

Pada hari kejadian, nenek kanak-kanak tersebut sedang memasak di dapur. Namun, ketika dia keluar rumah dan pergi ke kebun sayuran, nenek itu terlupa mematikan dapur gas. Akibatnya, dapur gas tersebut terbakar.

PEXELS

Tidak lama kemudian, kanak-kanak tersebut terhidu bau asap. Dengan pantas, dia mencari sumber bau tersebut. Melihatkan periuk di atas dapur gas tersebut telah terbakar, dia menutup periuk tersebut dengan tudung periuk.

Disebabkan pintu rumah sudah terkunci dari luar, kanak-kanak perempuan tersebut membawa adiknya masuk ke dalam bilik. Dia menutup pintu bilik dan meletakkan selimut tebal dibahagian bawah pintu untuk menghalang asap masuk ke dalam bilik.

Kemudian dia membuka tingkap untuk mengeluarkan asap yang terperangkap. Dia juga mengajak adiknya mendekati tingkap bilik untuk menghirup udara segar.

Walaupun berhadapan dengan situasi bahaya, kanak-kanak tersebut sangat bijak dan mampu mengawal keadaan.

Mujurlah sebelum si nenek keluar rumah, dia ada meninggalkan telefon bimbitnya pada cucunya itu untuk bermain di ruang tamu. Dengan menggunakan telefon bimbit tersebut, kanak-kanak perempuan itu menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan dan memberikan alamat rumah dengan tepat.

Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba terus memadamkan api kebakaran dengan menggunakan pam air dan menyelamatkan dua orang kanak-kanak yang terperangkap itu.

PEXELS

Pihak bomba turut memuji kanak-kanak perempuan tersebut atas keberanian dan kebijaksanaannya dalam menghadapi situasi yang bahaya seperti itu.

Netizen turut sama memuji sikap kanak-kanak yang dilihat begitu matang. Pasti dia telah dididik untuk bertindak sedemikian sekiranya berlaku apa-apa kecemasan. Syabas adik kerana telah melakukan perkara yang betul.

Sebagai orang dewasa, kita juga perlu mengajarkan kanak-kanak menggunakan telefon dengan betul serta beberapa nombor penting agar mereka tahu siapa yang perlu mereka hubungi sekiranya berlaku kecemasan.

Pilihan Editor:

Nahas kereta rempuh belakang treler, 5 beradik termasuk bayi kembar kehilangan ibu

0

Seorang wanita maut, selepas kereta yang dinaiki bersama enam ahli keluarga merempuh belakang sebuah treler berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di Sungai Buloh, pada pagi Isnin, 14 November.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memaklumkan seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.10 pagi.

Facebook

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dinaiki tujuh sekeluarga telah melanggar bahagian belakang sebuah treler,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Norazam berkata, kemalangan itu mengakibatkan seorang wanita berusia 38 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Facebook

“Suami mangsa berusia 50 tahun dan anak perempuan mereka berusia 11 tahun dilaporkan cedera parah, manakala empat lagi anak mereka termasuk bayi kembar lelaki berusia antara lapan tahun hingga lapan bulan dilaporkan turut tercedera dalam kemalangan tersebut.

“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Pilihan Editor:

Bergelut dalam hujan lebat siapkan kerja sekolah, kesungguhan budak perempuan gelandangan ini belajar amat memilukan hati

0

Demi menuntut ilmu, kanak-kanak gelandangan ini sanggup menahan hujan lebat demi membuktikan ilmu dan pendidikan itu penting sebagai jaminan masa depan yang cerah.

Rakaman yang tular beberapa tahun lalu ini memaparkan seorang budak perempuan dari Filipina menyiapkan kerja sekolah ketika berada di dalam hujan lebat.

Kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, Elaine Dolfo terpaksa menyiapkan kerja sekolahnya dalam keadaan hujan lebat memandangkan keluarganya tiada tempat perlindungan dan terpaksa menjadi gelandangan.

Facebook

Elaine dilihat bersusah payah menyiapkan kerja sekolahnya dan pada masa itu kebetulan seorang warga Manila yang juga pengguna Facebook bernama Rolando Villanueva berada di kaki lima di luar blok pangsapuri di situ. 

Dia telah merakam aksi Elaine yang bergelut berada di dalam hujan lebat pada jam 7 pagi untuk menyiapkan kerja sekolahnya yang amat menyedihkan.

Rolando kemudian telah memuat naik video itu sehingga mendapat perhatian ribuan netizen yang amat tersentuh hati dan menjadi pilu.

Facebook

Menurut Rolando, ketika Elaine sedang bergelut dalam hujan lebat dan bersungguh-sungguh menyiapkan kerja sekolahnya, dapat dilihat ibunya, Ellen dan adik perempuannya, Alexandra sedang tidur bersebelahan dengannya.

Difahamkan keluarga ini tidak mampu lagi membayar sewa rumah kerana bapa Elaine, Jerry yang bekerja sebagai pemandu tuk tuk sedang sakit dan tidak dapat bekerja. Beberapa hari sebelum Rolando merakam video itu, mereka telah dihalau keluar oleh tuan rumah.

Dalam video itu, dapat dilihat angin kencang dan hujan lebat terus meniup halaman buku sekolah dan jaket pelindung Elaine sehingga kanak-kanak ini dilihat kelihatan basah kuyup menahan air hujan.

Facebook

Namun Elaine tidak berputus asa, sebaliknya dia terus gigih menyiapkan kerja sekolahnya sambil berkali-kali membetulkan jaket yang diletakkan di atas kepalanya dan terus membongkok sambil menulis dalam keadaan yang tidak selesa.

Elaine yang bersekolah di Sekolah Rendah Aurora Quezon di Manila memberitahu Rolando Villanueva yang dia mahu menjadi pelajar cemerlang dan oleh itu akan mendapat pekerjaan yang baik bagi membantu keluarganya.

“Saya mahu siapkan kerja rumah ini dan mendapat keputusan yang baik di sekolah. Baru boleh dapat kerja yang baik untuk menjaga diri saya sendiri dan keluarga saya,” katanya kepada Rolando.

Gambar ihsan GoFundMe

Susulan video tular yang menyedihkan ini, seorang pelajar universiti dari Tennessee di Amerika Syarikat, Marlene Garcia telah menubuhkan tabung GoFundMe khas untuk membantu Elaine dan keluarganya.

“Saya benar-benar tersentuh hati melihat kecekalan dan kesungguhannya belajar ketika dia berkali-kali membetulkan jaket di atas kepalanya yang ditiup angin untuk melindungi diri dan bukunya daripada terkena hujan,” kata Marlene yang telah menyerahkan sumbangan orang ramai bernilai ribuan dolar kepada Elaine dan keluarganya.

Gambar ihsan GoFundMe

Elaine dan keluarganya telah menggunakan wang sumbangan itu untuk menyewa pangsapuri, membiayai persekolahan Elaine dan adik perempuannya, serta membeli tuk tuk baru untuk bapa Elaine bekerja kembali setelah dia sembuh daripada penyakitnya.

Elaine dan keluarganya kini berada di tempat tinggal yang selamat dengan tidak lagi menjadi gelandangan, dan dia juga dapat belajar dengan baik dan sempurna demi mencapai cita-citanya.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Bayi dihempap pokok ru ketika berkelah meninggal dunia

0

MELAKA: Bayi lelaki berusia setahun lima bulan yang dihempap pokok ru bersama ibunya dilaporkan meninggal dunia setelah lebih enam jam bertarung nyawa di Hospital Melaka, pada jam 12.38 tengah malam Ahad, 13 November.

Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Puteri, Tuminah Kadi bahawa bayi Muhammad Zahfran Ilman Mohd Syazawan telah meninggal dunia.

Menurutnya, beliau dihubungi pihak hospital pada jam 1.30 pagi yang memaklumkan berita sedih tersebut dan berharap ibu bapa serta keluarga mangsa tabah dengan dugaan yang menimpa.

Twitter

“Adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada sang penciptanya sebentar tadi.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam insiden yang berlaku pada petang Sabtu, kegembiraan lima beranak berkelah di pantai bertukar tragedi dan berita duka selepas dua daripada mereka termasuk bayi berusia setahun lima bulan cedera dihempap sebatang pokok ru di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Berita Harian melaporkan kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang ketika bayi lelaki yang didukung ibunya dihempap pokok yang tumbang ketika mereka sedang memerhatikan ahli keluarga lain sedang mandi.

Pokok ru itu secara tiba-tiba tumbang dengan dahan bahagian tengah pokok menghempap belakang ibu bayi berkenaan sehingga mengakibatkan kedua-dua mereka tersembam ke pasir.

Pilihan Editor:

Sunfish seberat 2,700 kilogram cipta rekod dunia baharu untuk ikan bertulang terbesar pernah ditemui

0

Seekor sunfish raksasa seberat 3 tan yang ditemui berhampiran pulau di Portugal telah mencipta rekod dunia baharu Guinness World Records untuk ikan bertulang paling berat pernah direkodkan, menurut kajian terbaharu.

Raksasa bersisik, yang dikenali sebagai sunfish gergasi atau nama saintifik Mola alexandrini, ditemui pada 9 Disember 2021 ketika ia terapung tanpa bernyawa di luar pantai Pulau Faial, di Azores, di Portugal, kumpulan pulau yang terletak di Lautan Atlantik Utara. 

Pihak berkuasa tempatan mengambil bangkai ikan besar itu dan membawanya kembali ke pelabuhan supaya ia boleh dikaji dengan lebih teliti, menurut satu kenyataan daripada Atlantic Naturalist Association, sebuah organisasi pemuliharaan dan penyelidikan bukan berasas keuntungan yang berpangkalan di Pulau Faial.

Gambar oleh Atlantic Naturalist.org

Penyelidik menjalankan nekropsi ke atas sunfish gergasi itu dan memperincikan keputusan dalam kajian terbaharu, yang diterbitkan pada 11 Oktober 2022 dalam Journal of Fish Biology.

Ikan besar itu berukuran 3.6 meter tinggi dan 3.5 meter panjang, dan ia mempunyai berat 2,744 kilogram (6,049 paun) atau lebih kurang 3 tan (2.7 tan metrik). Para penyelidik juga menganalisis kandungan perut ikan sunfish berkenaan dan mengambil sampel DNAnya, menurut laporan kajian itu.

Ikan yang telah mati itu adalah “spesimen majestik”, kata pengarang utama kajian José Nuno Gomes-Pereira, ahli biologi marin di Atlantic Naturalist Association, lapor Live Science. Gambar-gambar bangkai ikan itu tidak memberi keadilan untuk menunjukkan betapa luar biasanya ‘Sunfish’ ketika kelihatan di dalam lautan luas, kata Pereira.

Gambar oleh Australian Museums

Rekod dunia sebelum ini untuk ikan bertulang paling berat dipegang oleh satu lagi sunfish gergasi yang ditangkap di Jepun pada tahun 1996, yang mempunyai berat 2,300 kilogram (5,070 paun), menurut Guinness World Records.

Sunfish dinamakan bukan daripada bentuk badan bulat mereka tetapi kerana mereka suka berjemur di bawah sinar matahari di permukaan laut, yang saintis percaya adalah bagaimana mereka memanaskan semula diri selepas lama menyelam di laut dalam yang sejuk dan gelap untuk mencari makanan, menurut jurnal itu.

Ikan sunfish gergasi sebelum ini telah disalahklasifikasi sebagai ikan yang luar biasa besar daripada spesies sunfish laut yang lebih biasa atau Mola mola, yang membesar kira-kira separuh saiz ikan juggernaut yang ditemui baru-baru ini. 

Gambar oleh Atlantic Naturalist.org

Sunfish M. alexandrini telah diklasifikasikan sebagai spesies unik pada 2018, hasil kajian penyelidik marin dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Ichthyological Research.

Sunfish gergasi boleh ditemui di seluruh dunia, tetapi bilangan sebenar ikan bertulang terbesar ini tidak diketahui.

Pada bulan Jun, nelayan di Kemboja bergelut ketika menemukan ‘ikan air tawar paling berat di dunia’, ikan pari air tawar gergasi sepanjang 4 meter (Urogymnus polylepis) yang mempunyai berat 300 kilogram (661 paun).

Pilihan Editor: