Benua Amerika, GLOBAL

Donald Trump dipilih personaliti tahunan majalah Time

Donald Trump dipilih personaliti tahunan majalah Time

WASHINGTON – Majalah Time pada hari Rabu yang lalu telah menamakan bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebagai personaliti tahunan majalah itu bagi tahun 2016, lapor agensi berita AP.

 “Ianya satu penghormatan besar. Ianya amat bermakna bagi saya,” jelas Trump pada satu temu bual melalui telefon dengan rancangan televisyen NBC’s Today.

Sementara itu, editor majalah Time, Nancy Gibbs, menjelaskan bahawa calon presiden parti Demokrat Hillary Clinton yang tewas pada pilihan raya yang lalu merupakan finalis kedua untuk anugerah tersebut. Pemilihan Trump, walau bagaimanapun, adalah keputusan yang sangat ketara.

“Bila lagi pernah kita lihat seorang individu yang telah menjangkaui jangkaan ramai, melanggar peraturan undang-undang, mencabar norma-norma sosial, politik, dan ekonomi, mengalahkan bukan satu, tapi dua parti politik di dalam memenangi pilihan raya?” kata Gibbs.

Kapsyen “Donald Trump: Presiden kepada Amerika yang Berpecah-belah” terpampar di kulit majalah tersebut yang turut dihiasi imej bakal presiden itu sedang duduk di kediaman peribadinya di bangunan Menara Trump.

Menurut agensi berita AP lagi, pada temu bualnya dengan rancangan NBC, Trump memberi penjelasan tentang kapsyen yang terpapar di kulit majalah tersebut. “Bukan saya yang memecahbelahkan mereka,” katanya. “Kami akan menyatukan negara ini dan sesudah itu kita akan mempunyai sebuah negara yang sembuh sepenuhnya.”

Gibbs menjelaskan lagi bahawa pemilihan personaliti tahunan majalah itu dibuat berdasarkan kepada pengaruh individu tersebut tanpa mengambil kira sama ada ianya “baik atau buruk.”

Finalis ketiga bagi anugerah personaliti tahunan majalah Time pula jatuh kepada para penggodam komputer, “The Hackers,” yang mana Gibbs berkata ianya merujuk kepada “ancaman keselamatan siber baru yang kita lihat tahun ini di mana terdapat ramai kumpulan penggodam yang dibiayai negara-negara luar untuk menggugat pilihanraya di Amerika.” Beliau menambah lagi bahawa situasi ini adalah “sesuatu yang baru dan sangat merisaukan.”

Era Baru

 

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor