BISNES, Ekonomi, NASIONAL

#MAHA2016 rekod pengunjung harian tertinggi

#MAHA2016 rekod pengunjung harian tertinggi
Sekitar pelancaran #MAHA2016 oleh Perdana Menteri pada 4 Disember. (MAHA)

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (#MAHA2016) yang sedang berlangsung telah mencatatkan 560,000 pengunjung pada hari Ahad lalu, jumlah pelawat harian yang tertinggi pernah direkodkan sejak bermulanya acara ini.

Sehingga petang Isnin, lebih daripada 1.5 juta pelawat telah berduyun-duyun melawat pameran pertanian tertua dan terbesar di rantau ini yang kini sedang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) sehingga 11 Disember, 2016.

Pengumuman ini telah dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, di #MAHA2016 semalam.

Seorang pengunjung bertuah, Suria binti Saad menerima sumbangan sagu hati apabila menjadi pengunjung pameran #MAHA yang ke 1.5 juta. Suri rumah berusia 25 tahun itu menerima satu unit pendingin udara serta sebakul produk Agro Mas pada satu upacara ringkas di Dewan A, MAEPS.

Beliau yang berkunjung dari Shah Alam bersama suaminya, Abdul Halim bin Baharudin, yang bekerja sebagai seorang juruteknik hotel, dan juga ditemani anak perempuan mereka yang berusia dua tahun.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita ini di pintu masuk, tetapi, merasa gembira kerana kunjungan pertama saya ini memberikan kenangan yang sangat manis,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Shabery berkata kedatangan para pengunjung dipantau di kesemua empat pintu masuk ke MAEPS.

MAHA tidak pernah gagal untuk menarik jumlah pelawat yang tinggi setiap tahun ia diadakan, dan apa lagi dengan tambahan program baru seperti Rhythm of The Farmers (ROTF), satu konsep agrotainmen baru untuk memikat orang ramai ke bidang pertanian melalui hiburan, yang telah berjaya menarik beribu-ribu orang ke kawasan pameran terutamanya golongan belia.

Siri konsert tersebut telah diadakan pada hujung minggu di salah sebuah cerun terletak di MAEPS, yang dikenali sebagai D’Lereng, dan akan menampilkan artis-artis terkenal seperti Ramli Sarip, Yazid dan Search, Khalifah, Sheila Amzah, Akin dan Majistret, Man Bai, Ali Terrarosa, projektor Band dan juga penyanyi Indonesia seperti Wali Band dan Ebiet G Adie.

Antara tarikan lain yang menanti pengunjung termasuk seminar perniaga pertanian, bazar agro, aktiviti agro-pelancongan, promosi agro-produk, persembahan kebudayaan, masakan tradisional dan demonstrasi masakan, pertunjukan haiwan peliharaan, pertandingan memancing, program kesihatan dan banyak lagi. Pelantikan Upin & Ipin sebagai maskot rasmi, pelaksanaan acara Kampung Durian Runtuh Upin & Ipin, penyediaan Tapak Perkhemahan untuk 5,000 peserta belia dan pengenalan sesi Kampung Mok Cun juga telah dirancang untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Pihak penganjur telah menyediakan perkhidmatan bas, trem, kereta dan gerabak untuk membawa pengunjung dari tempat letak kereta  dan dari mana-mana perhentian yang ditetapkan semasa 11 hari acara ini.   Mereka juga boleh menaiki bas pengantara dari IOI City Mall dan stesen KTMB di Serdang untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas terutamanya di pintu masuk MAEPS.

Bertemakan Makanan Kita Masa Depan Kita, #MAHA2016 merupakan satu hub pameran di mana semua produk dan bahan-bahan terbaik pertanian negara dipamerkan di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) dan akan berlangsung selama 11 hari sehingga Disember 11, 2016.

# MAHA2016 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, pada Ahad Disember 4, 2016.

Untuk maklumat lanjut dan maklumat terkini, sila layari www.maha.gov.my atau www.facebook.com/maha.gov.my.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...