Seorang lelaki yang baru-baru ini berhadapan dengan situasi rakan-rakannya dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Dengan meluahkan rasa tidak puas hati di media sosialnya kerana berpendapat bahawa kesalahan yang dilakukan oleh mereka adalah bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang dinyatakan di media tempatan.

Lelaki berkenaan, Wafi Shaik, dalam satu kirimannya yang dikongsikan semula oleh laman Oh! Media menceritakan bahawa pada hari kejadian, dia dan dua orang lagi rakan serumahnya telah pergi ke Puteri Harbour untuk bersiar-siar pada waktu malam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Johor pada 13 Januari 2021.

Oh! Media/Facebook

“Sampai sahaja di Puteri Harbour, keadaannya lenggang. Boleh kira berapa orang disitu, kami memakai pelitup muka seperti biasa,” tulis Wafi.

Walau bagaimanapun, “tragedi kompaun RM1,000” bermula apabila Wafi dan rakan-rakannya memutuskan untuk membeli belon buih dan bermain dengan permainan tersebut di satu sudut lapang di kawasan itu.

“Disebabkan YB Ismail Sabri pernah mengatakan (bahawa di) tempat awam yang bilangan (pengunjungnya) sedikit tidak perlu pakai pelitup muka, lagi-lagi kami (sedang) bermain belon air (dan) berlari sampai keluar peluh. Tak selesa langsung berlari pakai pelitup muka di muka, jadi kami bukalah (pelitup muka itu) buat sementara.

Kami memutuskan untuk menyimpan pelitup muka di (dalam) poket. Kecuali aku, aku memang selalu letak (pelitup muka) di leher,” cerita Wafi sebelum mereka didatangi oleh pihak berkuasa.

“Kami pun terus bermain dan ambil gambar bertiga. Iyalah, bila lagi (kami akan) dapat peluang sebegini memandangkan PKP bakal mengurung diri ini di rumah.

Oh! Media/Facebook

“Tiba-tiba datang satu susuk tubuh memakai baju kemeja T berkolar (mahu) menahan kami. Beliau mengeluarkan kad polis sebagai bukti dan terus tanpa memberi amaran mengatakan,

“Awak berdua (kecuali aku) dikompaun RM1,000 setiap seorang atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.”

Dengan rasa terkejut dan tercengang dengan situasi yang tidak disangka-sangka itu, Wafi mengatakan bahawa dia dan rakan-rakannya cuba untuk mempertahankan diri dengan menerangkan tentang SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Bagaimanapun, menurut Wafi, sebaik sahaja mendengar penerangan mereka, pegawai polis berkenaan telah memberikan jawapan yang langsung tidak masuk akal:

“Yang SOP cerita kat televisyen itu lain dengan peraturan dekat balai. Polis-polis ikut (peraturan) yang (ditetapkan di) balai.”

Oh! Media/Facebook

Mendengar jawapan daripada polis berkenaan, Wafi dan rakan-rakannya berasa sangat kecewa dan marah dengan perselisihan maklumat yang diterima oleh rakyat biasa dengan peraturan yang sebenarnya diguna pakai oleh pihak berkuasa.

“Tak rasa pelik ke kena ikut peraturan yang tidak pernah diberitahu. Cakap peraturan ikut balai-balai sahaja, jadi yang tular segala (peraturan di) media sosial itu hanya mitos semata ke? Lagi menyakitkan (hati) polis itu tidak memberi penerangan atau memberi amaran pun, terus (mengenakan) kompaun RM1,000 (kepada kami).”

Selepas diberikan kompaun, Wafi menceritakan bahawa rakan-rakannya kemudiannya dibawa ke balai polis sebelum mereka dibebaskan dan pulang ke rumah pada jam 1.30 pagi.

Walaupun terpaksa akur dengan arahan yang diberikan, Wafi menyatakan bahawa mereka tetap berasa kecewa dan marah kerana terpaksa berdepan dengan situasi malang itu.

Oh! Media/Facebook

Susulan itu, di akhir perkongsian, Wafi meluahkan pendapatnya kerana padanya, situasi ini sememangnya tidak masuk akal dan tidak sepatutnya berlaku.

“Sehingga sekarang perasaan amarah dengan ketidakadilan kepada insan seperti kami, aku dapat rasa mungkin ramai menghadapi situasi yang sama.

“Kepada pihak polis, aku tertanya-tanya (sama ada) memang kerja kamu (memberi) kompaun (kepada) orang (awam) ikut sesuka hati ke? Memang tidak pernah langsung memberi amaran dahulu ke?

“Pihak kamu marah jika kami rakyat biasa berdebat dengan fakta, terus label kami tak hormat polis. Kami ada hak bertanya, kenapa susah bagi kerjasama?”

“Aku penat dengan (sikap) tidak berperikemanusiaan ini, macam manalah nak bayar kompaun RM1,000 seorang ini. Bukan angka yang sedikit, buka pelitup muka semasa main sahaja pula tu. Setiap masa kami pakai. Dalam dua minggu wajib dibayar (kompaun), nanti dikenakan tindakan yang lain. Memang tidak berhati perut.”

Diharapkan selepas ini, semua orang boleh mengambil pengajaran daripada perkongsian ini dan sentiasa berwaspada ketika berada di tempat awam.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular