Seorang wanita warga British menjadi tular gara-gara perkongsian di Facebook mengenai pengalamannya ketika menjalani proses kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang digambarkan sebagai ‘menjijikkan’. Menurut wanita yang enggan dikenali itu, pusat kuarantin virus COVID-19 di MAEPS tidak menepati aspek kebersihan dan kebajikan masyarakat sekali gus membuatkannya berasa tidak selesa sepanjang berada di sana.

Bekerja sebagai seorang pengajar di sebuah kolej swasta yang terletak di Cyberjaya, wanita ini telah menyenaraikan sebagai isu yang terpaksa dia hadapi sepanjang berada dalam pusat kuarantin berkenaan. Pada awalnya, wanita ini disahkan positif pada tanggal 4 Januari dan telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumahnya. Dakwa wanita ini, dia telah berusaha sebaik mungkin untuk menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan yang sihat, mengambil vitamin dan memastikan waktu tidur yang mencukupi.

Lantaran itu, dia didapati semakin sembuh daripada simptom-simptom ringan yang dialami. Namun demikian, wanita ini mendakwa atas sebab yang tidak dijelaskan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menghantar sebuah ambulans untuk menjemput wanita ini sebelum dibawa ke MAEPS.

“Saya tidak diberikan sebarang maklumat tentang ke mana saya akan dibawa. Pada awalnya saya diberitahu saya akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh, kemudian Hospital Serdang”.

Tidak berpeluang untuk melakukan persiapan, wanita ini juga mendakwa tidak mengetahui sebarang informaso berkenaan pusat kuarantin tersebut beserta prosedurnya. Pelbagai persoalan menjadi tanda tanya seperti makanan, perubatan, jenis rawatan serta tarikh dia dibenarkan keluar.

Setibanya di pusat kuarantin itu, wanita ini memaklumkan bahawa dia langsung tidak diberikan kemudahan seperti bantal mahupun selimut dan suhu alat pendingin hawa pada ketika itu dikatakan sangay sejuk. Lebih mengecewakan lagi, dia turut diarahkan oleh kakitangan untuk mengambil sendiri selimut dan bantal daripada katil pesakit yang telah dibenarkan pulang.

Selain keperluannya diabaikan, dia juga tidak menerima bekalan penting yang dikirimkan oleh keluarga dan rakan sekerja seperti sabun, pakaian, cecair pembasmi kuman, topeng muka dan ubat-ubatan. Malah, dia mendakwa bahawa layanan yang diberikan kepada warga asing sepertinya adalah jauh berbeza dengan layanan yang diberikan kepada rakyat tempatan. Tempat tidur bagi warga asing adalah katil kem yang diletakkan secara rapat antara satu sama lain manakala untuk pesakit tempatan pula diberikan katil beserta tilam.

“Di tandas, tisu dan sabun tidak disediakan. Bekalan air sikit dan ada kebocoran. Ratusan wanita menggunakan tandas basah yang sama. Lupakan tentang kebersihan”.

Tambahnya lagi, “Penyebaran penyakit sangat tinggi. Cecair pembasmi kuman tidak disediakan, tempat tidur tidak dibersihkan, sampah di dalam tong sampah tidak dibuang, topeng pelitup muka tidak diberikan dan tiada penjarakan sosial. Bagaimana kita mahu sembuh?”.

Di samping itu, wanita ini turut menyentuh tentang isu penyediaan makanan kepada para pesakit di pusat kuarantin berkenaan. Jelasnya, kakitangan yang terlibat tidak peka dengan permintaan pesakit dalam aspek makanan dan hal ini sedikit sebanyak telah menyebabkan rungutan daripada kalangan mereka. Lebih teruk lagi, ada segelintir pesakit yang dikatakan sanggup menyembunyikan simptom penyakit semata-mata untuk mempercepatkan tarikh tamat tempoh kuarantin mereka.

Meskipun berdepan dengan pelbagai isu, wanita ini bagaimanapun enggan menuding jari dan menyalahkan sebelah pihak memandangkan dia sedar bahawa para petugas barisan hadapan telah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebaik mungkin.

“Pakar perubatan juga bersetuju keadaan di sini (MAEPS) tidak ideal, namun mereka tidak menang tangab dan mencuba sedaya-upaya untuk menjaga semua pesakit. Saya sanjung tinggi jasa mereka”.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular