Saintis Penyelidikan Kanan daripada kumpulan masa dan frekuensi Makmal Fizikal Nasional, United Kingdom, Peter Whibberley dalam satu kenyataannya kepada The Telegraph mengesahkan bahawa planet Bumi pada masa ini berputar dengan lebih cepat berbanding 50 tahun dahulu.

Menurut kajian yang dijalankan, didapati bahawa sebelum ini Bumi memerlukan masa selama lebih dari 24 jam untuk melengkapkan putaran pada paksinya, tetapi sejak tahun lalu, tempoh putarannya adalah lebih singkat sekaligus menunjukkan bahawa pusingan yang dilakukan adalah lebih laju.

Gambar Hiasan/Unsplash

Sebagai rekod, pada 19 Julai 2020 yang lalu, Bumi mengambil masa yang lebih singkat untuk melengkapkan putaran sehingga menyebabkan hari tersebut didapati kurang sebanyak 1.4602 milisaat daripada jumlah 24 jam penuh. Berikutan dapatan tersebut, tarikh tersebut telah dicatatkan sebagai hari terpendek sepanjang masa.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Whibberley menambah bahawa kiraan detik lompatan negatif (negative leap second) mungkin akan diperlukan jika putaran Bumi didapati semakin meningkat. Walau bagaimanapun, keputusan itu “masih terlalu awal untuk diperkatakan.”

Gambar Hiasan/Unsplash

Penemuan dapatan ini juga dalam masa yang sama turut menyebabkan ramai pengendali sistem masa berdebat sama ada sistem putaran jam dunia perlu diubah atau tidak untuk mendapatkan masa yang lebih tepat.

Sehubungan itu, para saintis menjangka bahawa setiap hari dalam tahun 2021 akan menjadi lebih pantas dengan perbezaan sebanyak 0.05 milisaat berbanding 86,400 saat yang biasanya membentuk jangka waktu 24 jam dalam sehari.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular