Rejim tentera China kini sedang mempersiapkan anggotanya yang ditempatkan di Tibet dengan topi keledar yang dilengkapi dengan butang pemusnah diri. Sebaik sahaja butang tersebut ditekan, ia akan meletupkan bom sekali gus mengorbankan anggota tentera yang memakai topi keledar berkenaan.

“Dalam sesebuah batalion, komander mengawasi tentera yang berada pada kedudukan jauh dengan menggunakan sistem navigasi. Komander boleh mengaktifkan fungsi pemusnah diri pada topi keledar tentera tersebut sekiranya dia tidak dapat dihubungi,” memetik laporan media China, Observer pada 27 Disember yang lalu.

Askar Tentera Pembebasan Rakyat mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di Gunung Pamir, Kashgar, wilayah Xinjiang

“Sekiranya anggota mengalami kecederaan parah dan tidak mahu ditangkap, dia boleh mengaktifkan sendiri fungsi pemusnah diri itu. Tindakan ini akan menaikkan maruahnya sekali gus mengelakkan pihak musuh daripada memiliki sistem berkenaan”.

Topi keledar yang juga dianggap sebagai ‘sistem kombat digital tentera’ ini telah diagihkan kepada para tentera yang ditugaskan di Tibet. Di sana, mereka berhadapan dengan tentera India yang baru-baru ini mencatatkan kes pertelingkahan berkenaan wilayah Ladkh. Sistem tersebut turut meliputi antena, bom, kanta pelbagai fungsi untuk penglihatan malam dan terminal kawalan digital yang boleh dipakai pada lengan.

Tentera wanita mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di Gunung Pamir, Kashgar, wilayah Xinjiang

Tentera yang sudah dilengkapi dengan sistem ini boleh berkomunikasi dengan komander yang berada di pusat kawalan manakala komander pula boleh melihat anggotanya menerusi rakaman video yang dirakamkan oleh kamera di dalam jaket setiap tentera. Dengan berpandukan kepada rakaman video juga, komander boleh memerintahkan anggotanya untuk melancarkan tembakan kepada askar India.

Bukan sahaja itu, rejim komunis China juga diberikan kebenaran untuk meletupkan sendiri bom itu apabila menghampiri skuad tentera India. Dalam erti kata lain, sistem ini akan memastikan pihak China memenangi sebarang bentuk konflik dengan askar India. Justeru, semua anggota tentera termasuk dalam unit khas, skuad pejalan kaki (infantri), penerbangan dan bahagian perisai akan diberikan kelengkapan sistem baharu ini.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas Observer menerbitkan laporan itu, isi kandungan berkenaan bom dan serangan pembunuhan diri telah dipadamkan dalam kadar segera. Namun, laporan asal telah berjaya disimpan oleh banyak laman sesawang lain sebelum ianya dipadam.

Sementara itu, pengulas hal ehwal China yang menetap di Amerika Syarikat iaitu Tang Jingyuan berkata, penghasilan alat baharu ini merupakan bukti bahawa People’s Liberation Army (Tentera Pembebasan Rakyat) sedang bergelut dalam menguruskan anggota tenteranya. Oleh demikian, mereka terpaksa menggunakan pendekatan yang lebih ekstrem bagi memastikan anggotanya tidak mengabaikan arahan komander masing-masing.

Sejak tahun 2018, rejim China telah melaksanakan pelbagai hukuman berat kepada individu yang enggan berkhidmat dalam tentera. Antara hukuman yang dikenakan adalah larangan penggunaan pengangkutan awam, larangan hadir ke sekolah, larangan menjalankan perniagaan, larangan permohonan paspot dan lain-lain.

Seorang anggota tentera dilengkapi dengan pakaian seragam, topi keledar dan kanta pelbagai fungsi 

“Kini, tentera China dikerah untuk bertarung dengan memakai topi keledar itu. Jika tidak, mereka akan dibunuh oleh komander mereka,” kata Tang.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular