Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan akan Pengisytiharan Proklamasi Darurat di seluruh negara.

Ia akan dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin  memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu.

Atau berlangsung sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan.

KENYATAAN MEDIA 12 JANUARI 2021

Posted by Istana Negara on Monday, 11 January 2021

 

Istana Negara

Cadangan kerajaan untuk membentuk pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan turut diperkenan Al-Sultan Abdullah.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan itu telah mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

Tambah beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ketika menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 5.30 petang 11 Januari.

Beliau berkata Seri Paduka memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

The Star/Facebook
Perkenan Al-Sultan Abdullah berkenaan turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri.

Menurut statistik, 15 hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 70%.

Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100%, manakala di Hospital Sungai Buloh pula, 83%.

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula melebihi 70%.

Astro Radio News/Facebook

Dalam perutusan khas Perdana Menteri pada 12 Januari, beliau mendedahkan bahawa perintah darurat di negara ini tidak akan membabitkan sebarang bentuk rampasan kuasa tentera atau pelaksanaan perintah berkurung.

Sebaliknya, urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa.

“Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, majlis kerajaan negeri akan terus berfungsi ikut Perlembagaan Persekutuan.

“Malah saya beri jaminan jentera perkhidmatan serta pentadbiran awam, kerajaan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat ini”, katanya.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan COVID-19 di negara ini.

Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ia akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan dan kepentingan bersama.

Selain turut menitahkan rakyat agar berdisiplin mematuhi SOP dan semua arahan yang ditetapkan oleh kerajaan dan agensi berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan PKP.

Setakat 11 Januari 2021, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia adalah 28,554 kes menjadi jumlah kes positif  sebanyak 138,224. Sebanyak 2,232 kes baharu dilaporkan semalam.  

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular