Presiden Donald Trump meluluskan pengisytiharan darurat Daerah Columbia pada 11 Januari setelah permohonan dilakukan oleh Datuk Bandar Washington Muriel Bowser.

“Hari ini, Presiden Donald J. Trump mengisytiharkan keadaan darurat wujud di Daerah Columbia dan memerintahkan bantuan Persekutuan untuk melengkapkan usaha tindak balas daerah susulan keadaan darurat yang disebabkan oleh Hari Pelantikan Presiden ke-59 bermula 11 Januari hingga 24 Januari 2021,” kenyataan Rumah Putih pada 11 Januari dipetik.

Datuk Bandar Bowser sebelum ini telah memohon perisytiharan darurat menerusi surat kepada Trump, yang berbunyi, “Susulan serangan terhadap Capitol dan maklumat perisikan menunjukkan kemungkinan berlakunya keganasan lebih lanjut dalam tempoh Hari Pelantikan, pentadbiran saya telah menilai kembali sikap kesiapsiagaan kami ketika Hari Pelantikan Presiden, termasuk meminta lanjutan sokongan Pengawal Negara sehingga 24 Januari 2021”.

Presiden Donald Trump (Tasos Katopodis/Getty Images)

“Saya telah menentukan bahawa rancangan dan sumber yang sebelum ini ditetapkan untuk Hari Pelantikan tidak mencukupi untuk mewujudkan persekitaran yang aman dan selamat sebagai akibat langsung daripada tindakan keganasan yang berlaku pada 6 Januari. Berdasarkan peristiwa dan penilaian perisikan baru-baru ini, kita harus bersiapsiaga untuk kumpulan pelampau yang terlatih dan bersenjata untuk hadir ke Washington DC,” kata surat itu.

Pencerobohan bangunan Capitol pada 6 Januari oleh kumpulan yang tidak diketahui telah mengganggu proses penggubal undang-undang yang bersidang untuk mengira dan mengesahkan undi elektoral untuk Joe Biden yang kini dipilih sebagai Presiden. Tidak dapat dipastikan siapa yang menghasut untuk memecah masuk bangunan tersebut.

Dalam kejadian, kekacauan yang meletus pada hari tersebut di perkarangan Capitol menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terkorban — tiga disebabkan oleh alasan perubatan. Seorang wanita mati setelah ditembak di dalam bangunan Capitol dan seorang pegawai polis Capitol Amerika Syarikat disahkan meninggal dunia oleh jabatan itu pada 7 Januari kerana kecederaan yang dialami ketika bertugas sebagai tindak balas terhadap rusuhan.

Pada hari Isnin 11 Januari, Bowser menggesa rakyat Amerika untuk tidak melakukan perjalanan ke Washington ketika pelantikan presiden, sebaliknya mengambil bahagian dalam acara 20 Januari secara maya.

Sebagai tambahan, Bowser mengirim sepucuk surat pada hujung minggu lalu kepada Pemangku Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Chad Wolf, dengan meminta pihaknya melanjutkan masa langkah keselamatan negara bermula 11 Januari sehingga 24 Januari. Beliau meminta agar Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berkoordinasi dengan Pentagon, Jabatan Kehakiman, Kongres dan Mahkamah Agung dalam menetapkan rancangan untuk melindungi semua harta persekutuan dalam tempoh masa tersebut.

Bowser juga meminta Pemangku Peguam Negara Jeffrey Rosen untuk mengarahkan FBI  memberikan taklimat perisikan dan ancaman negara pada setiap hari bermula 11 Januari hingga 25 Januari kepada pegawai penguatkuasa undang-undang di Washington, dan Setiausaha Dalam Negeri David Bernhardt membatalkan dan menolak semua permit perhimpunan awam dalam tempoh masa itu.

Pete Gaynor, pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan telah menamakan Thomas Fargione sebagai pegawai penyelaras persekutuan untuk operasi pemulihan persekutuan di kawasan yang terjejas, menurut Rumah Putih.

Seramai 15,000 pasukan Pengawal Negara akan diberi kuasa dan berada di Washington menjelang 20 Januari, ‘untuk memenuhi syarat sokongan pelantikan semasa dan masa depan’. Jeneral Daniel Hokanson berkata demikian dalam satu kenyataan pada hari Isnin. 

“Sehingga kini, pasukan kami diminta untuk menyokong misi keselamatan, logistik, perhubungan dan komunikasi,” katanya.

“Sekarang ini, kami mempunyai kira-kira 6,200 Tentera Pengawal Negara dan Tentera Udara dari 6 negeri dan Daerah Columbia yang berada di lapangan di NCR (Wilayah Ibu Negara) yang menyokong pihak berkuasa awam,” katanya.

Jeneral Hokanson menambah beliau telah menerima permohonan dari Bahagian Perkhidmatan Perisikan, Polis Capitol dan Polis Taman Negara agar pengawal dikerahkan ke ibu negara tersebut.

Chad Wolf, yang pengundurannya berkuat kuasa pada akhir 11 Januari, dalam satu kenyataan pada hari Isnin berkata DHS akan memulakan operasi Acara Keselamatan Khas Negara untuk Hari Pelantikan 20 Januari yang berkuatkuasa pada 13 Januari dan bukannya pada 19 Januari. Perubahan tarikh adalah kerana ‘peristiwa dalam seminggu terakhir dan lanskap keamanan yang berkembang menjelang hari pelantikan’ yang merujuk kepada pencerobohan di Capitol pada 6 Januari, ketika kumpulan perusuh memasuki bangunan secara salah dan mengganggu sidang bersama Kongres yang diadakan untuk mengira dan mengesahkan undi elektoral.

Polis Capitol mengawal Capitol Hill di Washington bersama bantuan Pengawal Negara (Brendan Smialowski /AFP/Getty Images)

Joe Biden memberitahu wartawan pada 11 Januari bahawa beliau ‘tidak gentar’ untuk mengangkat sumpah jawatan di luar. 

“Sangat penting bahawa terdapat fokus yang serius untuk menahan orang-orang yang melakukan hasutan dan mengancam nyawa, merosakkan harta benda awam, menyebabkan kerosakan besar, sehingga mereka dapat dipertanggungjawabkan,” kata Biden.

Secara berasingan, Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat pada 11 Januari mengumumkan penutupan Monumen Washington yang akan berlanjutan hingga 24 Januari.  Penutupan tersebut adalah ‘sebagai tindak balas kepada ancaman yang dipercayai boleh memberi ancaman terhadap pengunjung dan sumber dalam taman’.

“Kumpulan yang terlibat dalam rusuhan 6 Januari 2021 di Capitol Amerika Syarikat mungkin akan terus mengancam untuk mengganggu pelantikan presiden ke-59 pada 20 Januari 2021. Ini termasuk mengganggu penyusunan dan pelaksanaan acara pelantikan, yang berlangsung di beberapa kawasan taman,” Perkhidmatan Taman Negara berkata dalam kenyataannya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular