Satu pengumuman khas diutarakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejurus sahaja pihak Istana Negara mengeluarkan kenyataan pada pagi 12 Januari.

Ia berhubung dengan pelaksanaan Proklamasi Darurat pada pagi ini yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Perdana Menteri, jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan Negeri tidak akan terganggu dengan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan untuk memerangi wabak COVID-19.

Langkah itu juga membolehkan kerajaan membendung penularan COVID-19 tanpa terikat dengan sekatan pentadbiran dan birokrasi.

Selain itu, ia juga tidak memberi kesan secara langsung kepada pentadbiran dan sistem politik bagi mengekang penyebaran COVID-19.

Tambah Perdana Menteri, badan kehakiman akan terus berfungsi bagi menegakkan hukum dan keadilan sepanjang tempoh darurat dikuatkuasakan.

Berita Harian

Semua pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan dalam tempoh darurat berkuatkuasa.

“PRU diadakan sebaik saja jawatankuasa bebas ini memperakui wabak sudah reda dan PRU selamat untuk diadakan”.

“Masa itu terpulang kepada rakyat, pilihlah kerajaan yang layak dan boleh menjaga rakyat sekalian. Ini aku janji yang akan saya tunaikan”, katanya.

Malah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak akan bersidang, menurut beliau. Sementara Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti akan terus main peranan sebagai pemudah cara pasaran.

Satu jawatankuasa bebas akan ditubuhkan menerusi kuasa Ordinan yang akan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi meneliti keperluan dan masa sesuai untuk diadakan PRU.

“Bagi menghalang sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang yang keterlaluan, boleh dimasyhurkan oleh baginda, dengan hukuman lebih berat boleh dibuat”.

“Semua ordinan yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong ini akan diwartakan dan diketahui oleh rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, ordinan itu juga boleh dimasyhurkan baginda bagi tujuan membendung wabak merangkumi tindakan berkaitan hal penggunaan aset hospital swasta serta pengambilalihan semula tanah dan harta alih hospital swasta.

“Ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memberi kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk kuasa sedia ada di bawah polis menerusi tatacara kanun jenayah, dengan ATM juga boleh diperuntukkan kuasa membantu melaksana kawalan berhubung kesihatan awam”.

Tambah beliau lagi, pengisytiharan darurat di negara ini tidak akan membabitkan sebarang bentuk rampasan kuasa tentera atau pelaksanaan perintah berkurung.

Beliau sebaliknya memberi jaminan bahawa urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa.

“Malah saya beri jaminan jentera perkhidmatan serta pentadbiran awam, kerajaan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat ini”.

Ujar beliau lagi, tindakan tegas juga akan menanti mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat usaha memerangi penularan COVID-19 ini.

Beliau turut meminta agar para pemimpin agama dapat mendoakan kesejahteraan Malaysia dan agar semua dilindungi daripada sebarang bala bencana.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular