Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Parler John Matze berkata syarikatnya ‘bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang dengan sepenuhnya’ setelah beberapa syarikat teknologi gergasi menggantung rangkaian media sosial itu dari perkhidmatan mereka, menurutnya menerusi e-mel.

John Matze, pengasas Parler, memberitahu The Epoch Times dalam e-mel tersebut bahawa beliau percaya Apple, Google, dan Amazon telah bertindak dengan niat jahat dan platform media sosial (Parler) itu sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Menjawab tuduhan bahawa Parler berkemungkinan mencetuskan ‘ancaman keganasan dan kegiatan menyalahi undang-undang’, Matze berkata syarikat-syarikat besar ini menggunakan insiden dan peristiwa yang berlaku baru-baru ini untuk ‘mengejar Parler’ walaupun ‘tiada bukti Parler digunakan untuk mengkoordinasi peristiwa tersebut’.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Parler, John Matze (Paparan Skrin/The Epoch Times)

“Parler tidak mempunyai ciri-ciri gaya kumpulan, dan Facebook adalah alat nombor satu untuk mengkoordinasi atau menyelaras pertemuan untuk acara itu,” kata Matze.

Penyelarasan yang disasarkan oleh syarikat-syarikat besar ini terhadap Parler berlaku setelah kekecohan sivil dan tindakan keganasan yang mencemarkan perhimpunan aman di Capitol Amerika Syarikat pada 6 Januari. Sekumpulan perusuh dan sebilangan kecil penunjuk perasaan mengibarkan bendera Amerika Syarikat dan sepanduk Trump telah menyerbu masuk bangunan Capitol secara haram ketika ahli dewan sedang mengira undi elektoral dalam sesi bersama Kongres. Kekacauan pada hari itu menyebabkan lima orang terkorban, termasuk seorang polis, dan puluhan pegawai cedera.

Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan di Capitol, beberapa syarikat teknologi yang berpusat di Silicon Valley telah meningkatkan polisi mereka berkenaan kenyataan dan komen daripada Presiden Donald Trump, ahli konservatif, dan suara lain yang mereka percaya boleh mencetuskan bahaya kepada keselamatan negara. 

Twitter pada 8 Januari secara kekal memadam akaun Trump di platformnya dan memberi justifikasi penapisan adalah perlu dengan menyatakan bahawa presiden telah melanggar ‘Polisi Memuliakan Keganasan’ setelah beliau menghantar mesej yang menggesa para penunjuk perasaan untuk kekal aman dan meninggalkan Capitol. Akaun Twitter kempen Trump turut telah dialih dan dipadam.

Parler yang telah menarik ramai pengguna liberal dan konservatif klasik, nampaknya telah menjadi sasaran kerana kekurangan sistem untuk “menerapkan penyelarasan yang teguh untuk kandungan yang benar-benar teruk.”

Apple dalam kenyataannya kepada outlet media pada 9 Januari menjelaskan bahawa mereka percaya Parler ‘tidak mengambil langkah yang memadai untuk mengatasi’ pengembangan ‘ancaman keganasan dan kegiatan menyalahi undang-undang’.

“Kami telah menggantung Parler dari App Store sehingga mereka dapat menyelesaikan masalah ini,” kata kenyataan tersebut.

Apple tidak segera menjawab soalan The Epoch Times mengenai pengharaman tersebut.

Amazon turut memaklumkan Parler bahawa mereka akan menutup pelayan Parler pada tengah malam 10 Januari, atas apa yang dikatakannya adalah pendekatan platform yang didakwa agak lemah terhadap kandungan ganas yang disiarkan oleh penggunanya. Parler mempertikaikan tuntutan ini.

Amazon juga tidak segera menjawab pertanyaan The Epoch Times mengenai penggantungan itu.

Matze berkata beliau percaya syarikat-syarikat ini juga beroperasi dengan sikap ‘double standard’.

“Twitter membiarkan trend ‘Gantung Mike Pence’ pada hari yang sama Parler diharamkan dari Google …’double standard’ ternyata jelas,” katanya.

Penggantungan oleh syarikat teknologi gergasi itu berlaku setelah Parler melonjak menjadi aplikasi nombor satu di kedai aplikasi Apple pada 9 Januari, berikutan penggantungan akaun peribadi Trump di Twitter. Matze mengatakan bahawa rangkaian media sosialnya mempunyai sekitar 20 juta akaun pada masa syarikat-syarikat itu menggantungnya.

Syarikat analisa aplikasi mudah alih Sensor Tower memberitahu The Wrap dalam satu kenyataan bahawa Parler menyaksikan kira-kira 182,000 muat turun buat pertama kali di Amerika Syarikat pada 8 Januari, yang meningkat sebanyak 355 peratus pada 7 Januari. Aplikasi ini menyaksikan sekitar 268,000 muat turun Parler di seluruh kedai aplikasi di Amerika Syarikat sejak 6 Januari, kata kenyataan itu.

John Matze berkata di akaun Parler miliknya pada akhir 9 Januari bahawa beliau percaya Amazon, Google, dan Apple berkoordinasi untuk ‘mencuba dan memastikan mereka tidak mempunyai persaingan’.

“Mereka TIDAK akan menang! Kami adalah harapan terakhir di dunia untuk kebebasan bersuara dan maklumat percuma,” katanya.

“Ini adalah pertempuran menentang kita semua. Pihak liberal, konservatif, ateis, Kristian, hitam, putih, dan lain-lain. Mereka mahu mengekalkan monopoli mereka terhadap kebebasan bersuara. Mereka mahu kita melawan. Mereka tidak mahu kita bekerja bersama. Mereka tidak mahu kita saling bekerjasama, mereka mahu kita saling membenci,” kata Matze.

Polisi kandungan pengguna yang tidak seimbang dan pandangan politik tertentu telah menimbulkan kebimbangan mengenai hak-hak ‘First Amendment’ dan kurangnya penekanan semak dan imbang terhadap keputusan yang dibuat oleh syarikat teknologi besar. 

Perbincangan mengenai mengehadkan atau menghapuskan perlindungan liabiliti di bawah ‘Section 230, Communication Decency Act of 1996’ untuk syarikat teknologi yang terlibat dalam penapisan atau tingkah laku politik telah banyak dibincangkan di Amerika Syarikat pada tahun lalu.

Langkah Twitter untuk mengalih dan memadam akaun Trump telah mendapat perhatian yang meluas. Setiausaha Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar Amerika Syarikat Ben Carson, Setiausaha Negara, Mike Pompeo, dan bekas Duta Besar PBB, Nikki Haley, menyamakan tindakan Twitter seperti ia telah dilakukan oleh rejim komunis di China.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Benua Amerika GLOBAL

Video Popular