Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita bencana banjir besar yang berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia seperti Pahang dan Johor. Dan, dengan bencana yang berlaku ini, ribuan penduduk telah terjejas dan terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, bencana alam yang berlaku ini nampaknya tidak sedikitpun menggoyahkan hubungan masyarakat yang terbukti saling bantu-membantu sesama sendiri supaya semuanya dalam keadaan yang selamat dan cukup makan serta minum.

@farysnordyn/Twitter

@farysnordyn/Twitter

Farys, atau nama sebenarnya Muhammad Faris bin Mohamed Nordin, 26, pada 5 Januari lalu ada berkongsi pengalaman peribadinya yang menjadi mangsa banjir setelah bas jenis dua tingkat yang dinaikinya gagal merempuh kawasan banjir di sebuah kampung di Raub, Pahang.

Menurut Farys, pada waktu itu dia bersama seorang rakannya sedang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur apabila bas yang mereka naiki terpaksa mengharungi jalan yang banjir di Pahang.

Pada jalan banjir yang pertama, pemandu bas yang mereka naiki berjaya melepasi halangan dengan jayanya sebelum mereka tiba di sebatang lagi jalan yang dinaiki air. Bagaimanapun, untuk halangan yang kedua, pemandu bas berkenaan memutuskan untuk membuat pusingan U dan mencari jalan alternatif yang lain.

Tetapi, tidak lama kemudian, mereka sekali lagi dipertemukan dengan sebatang jalan yang dinaiki air dan untuk kali yang ketiga, pemandu bas berkenaan mula yakin bahawa bas mereka mampu untuk melepasi air banjir berkenaan.

“Dengan keyakinan yang kami miliki semasa halangan jalan banjir yang pertama, bas kami memutuskan untuk melepasinya sekali lagi. Dan tada!!! Kami tiba-tiba telah terapung!” tulis Farys dalam kiriman di laman Twitternya.

Menceritakan tentang pengalamannya pada waktu itu, Farys mengatakan bahawa penumpang yang berada di dalam bas itu mula panik sebaik sahaja enjin bas tiba-tiba terpadam dan lampu serta pendingin hawa di dalam bas itu juga tiba-tiba berhenti berfungsi. Tidak cukup dengan itu, air mula masuk ke dalam ruang bawah bas sehingga menyebabkan semua penumpang terpaksa naik ke tingkat atas bas untuk menyelamatkan diri.

Tetapi syukurlah, pihak bomba tidak mengambil masa yang lama untuk sampai menghulurkan bantuan dan semua penumpang diselamatkan melalui pintu kecemasan di tingkat dua bas berkenaan.

“Kami bernasib baik kerana bomba muncul dengan segera untuk menyelamatkan kami. Mereka memang sudah bersiap sedia di kawasan yang berhampiran! Dan kami sekali lagi bernasib baik, bas kami telah tenggelam berdekatan dengan sebuah masjid tempatan! Jadi kami ada tempat berteduh, alhamdulillah,” tulis Farys.

@farysnordyn/Twitter

Menurut Farys, walaupun masjid yang ditumpang itu telah terputus bekalan elektrik dan kemudiannya bekalan air, namun semua mangsa yang terlibat telah dipertemukan dengan penduduk kampung yang sangat baik.

@farysnordyn/Twitter

Penduduk kampung di situ, Kampung Jeram Besu, sama-sama berganding bahu menyediakan segala makanan dan minuman untuk semua mangsa yang terkandas di masjid itu. Mereka malahan terpaksa memasak sebanyak empat kali untuk menampung bilangan mangsa yang terlalu ramai.

“Inilah makanan tengah hari saya! Makanan ini sangat berharga!!! Terima kasih!

Saya rasa ini adalah makanan kali keempat yang mereka hantarkan. Kami perlu mengutamakan pemberian makanan kepada orang yang lebih tua, bayi, kanak-kanak dan keluarga. Pada waktu ini, kami hanya ada masing-masing kan?” kirim Farys sambil mengepilkan gambar makanannya.

@farysnordyn/Twitter

Selepas air  banjir mula surut, semua penumpang bas dibenarkan untuk mengambil beg-beg yang sebelum ini ditinggalkan di dalam ruang simpanan bas yang telah tenggelam dan mereka kemudiannya dibawa ke sebuah lagi bas yang menunggu di kawasan yang selamat untuk meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

@farysnordyn/Twitter

@farysnordyn/Twitter

Tidak cukup dengan bantuan makanan semasa terkandas, penduduk kampung itu juga turut memasak makanan untuk diberikan kepada Farys dan penumpang bas yang lain sebagai makan malam semasa dalam perjalanan pulang.

@farysnordyn/Twitter

Sayu betul membaca kisah yang dikongsikan oleh Farys ini. Sememangnya, tiada apa yang lebih manis dan indah berbanding kisah bantuan sesama manusia yang sedang dalam kesusahan seperti ini.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular