Dua ekor gorila dari Zoo San Diego disahkan positif jangkitan COVID-19, yang merupakan kes pertama yang dikenal pasti dalam kalangan spesies mawas, pihak zoo berkenaan melaporkan.

San Diego Zoo Global mengumumkan bahawa dua ekor gorila di Taman Safari Zoo San Diego mula batuk pada 6 Januari, dan mereka memulakan proses menguji sampel najis daripada gorila tersebut melalui Sistem Makmal Kesihatan Haiwan dan Keselamatan Makanan California (CA HFS).

Keputusan ujian awal mendapati terdapat virus PKC yang menyebabkan penyakit COVID-19, dalam kumpulan gorila tersebut. Keputusan positif yang rasmi disahkan pada 11 Januari oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).

Ken Bohn/San Diego Zoo Global

“Keputusan ujian mengesahkan terdapatnya SARS-CoV-2 pada beberapa gorila dan tidak dapat dipastikan jangkitan virus tersebut kepada kumpulan haiwan lain,” jurucakap Zoo San Diego berkata.

Zoo berkenaan berkata pihak mereka mengesyaki gorila tersebut “mendapat jangkitan daripada kakitangan zoo yang tanpa gejala” walaupun kakitangan tersebut telah mematuhi semua langkah pencegahan COVID-19 yang disarankan oleh Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pusat Kesihatan Awam San Diego County, yang termasuk memakai alat pelindung diri ketika mengendalikan gorila.

“Selain mengalami sesak nafas dan batuk, keadaan gorila adalah baik,” kata Lisa Peterson, Pengarah Eksekutif Taman Safari Zoo San Diego, dalam satu kenyataan. 

“Kumpulan yang berada bersama telah dikuarantin, mereka makan dan minum dengan baik. Kami berharap akan pemulihan sepenuhnya,” tambah Peterson.

“Selama hampir satu tahun ahli pasukan kami telah bekerja keras, dengan tekad yang tinggi untuk saling melindungi diri dan hidupan liar dalam jagaan kami daripada virus yang cepat menular ini. Keselamatan kakitangan dan hidupan liar dalam penjagaan kami tetap menjadi keutamaan,” jelasnya.

Dalam kemas kini mengenai virus PKC di California, Gabenor Gavin Newsom berkata adalah tidak jelas adakah virus tersebut boleh menjangkiti antara haiwan, atau daripada manusia, dan perkara berkenaan sedang disiasat.

Virus PKC juga telah ditemui dalam spesies haiwan liar yang lain dalam kurungan di zoo, termasuk beberapa singa dan harimau di Zoo Bronx di New York dan empat ekor singa di Zoo Barcelona di Sepanyol.

Tetapi gorila di Zoo San Diego dipercayai menandakan kes jangkitan pertama yang dikenal pasti dan disahkan dalam kalangan spesies mawas. Virus ini juga telah menjangkiti sejumlah anjing dan kucing peliharaan di rumah.

Pada bulan lalu, USDA telah mengesahkan kes COVID-19 pertama yang diketahui menjangkiti haiwan liar, mink berikutan wabak itu telah membunuh 15,000 ekor mink dalam ladang ternakan di Amerika Syarikat.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular