Tidak dapat dinafikan, walaupun kini sudah ramai yang tahu mengenai bahaya jangkitan COVID-19, namun masih ada lagi segelintir masyarakat yang menolak untuk mempercayai kewujudan virus berbahaya ini. Malah, mereka dengan beraninya menjalani kehidupan seperti biasa tanpa mengamalkan norma baharu.

Walau bagaimanapun, perkongsian seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan, Dr. Ahmad Zakimi Abdullah atau lebih mesra disapa sebagai Dr. Zek melalui laman Facebooknya, ternyata boleh membantu memberi kesedaran kepada orang ramai.

Ahmad Zakimi Abdullah/Facebook

Menceritakan pengalamannya berdepan dengan seorang pesakit warga emas yang disahkan positif COVID-19 dan sudah berada di tahap 4-5, Dr. Zek memulakan perkongsiannya dengan luahan rasa gementarnya setiap kali beliau harus berhadapan dengan pesakit yang sah dijangkiti COVID-19.

“Setiap kali aku berkelengkapan dengan PPE penuh, namun hati ini tetap (berasa) kurang senang. Iya lah, kita berdepan dengan satu virus COVID-19 (yang) seolah-olah halimunan.

“Setiap kali, hati ini mesti berdebar-debar. Inikan pula berdepan dengan pesakit sah positif COVID-19 yang sedang bertarung nyawa,” tulisnya.

Bagaimanapun, sebagai pengamal perubatan, Dr. Zek perlu menunaikan tanggungjawabnya. Rawatan yang tepat tetap harus diberikan sebaik mungkin kepada para pesakit.

Sebaik sahaja Dr. Zek mula memeriksa keadaan pesakit berkenaan, pesakit itu mula membuka cerita tentang pengalamannya yang sebelum ini tidak mempercayai kewujudan virus berbahaya ini.

“Asalnya pak cik tak percaya (kewujudan) COVID ni tau. Sebab ada orang kata COVID ni iluminati lah, tak wujud lah, konspirasi lah. (Jadi) pak cik ambil lewa sahaja lah,” kata pesakit itu kepada Dr. Zek.

Gambar hiasan. (Mufid Majnun/Unsplash)

Tambah pesakit itu lagi, sebelum ini dia hanya menganggap bahawa jangkitan virus ini adalah sama seperti gejala selsema yang biasa sahaja. Namun, anggapannya ternyata salah.

“Rupanya begini bahaya ya (virus ini),” tambah pesakit itu.

Sambil memberi kata-kata semangat kepada pesakit dan meminta pesakit untuk tidak banyak bercakap kerana masalah pernafasan yang dialami, Dr. Zek tetap tidak henti-henti memeriksa keadaan semasa pesakitnya itu.

“Demi Allah. pak cik mengaku, pak cik salah. Sebelum ini tak percaya doktor. Pak cik menyesal tak pakai pelitup muka,” tambah pesakit itu lagi.

Sebelum melangkah keluar dari bilik isolasi yang menempatkan pesakit berkenaan, pesakit itu juga sempat meminta Dr. Zek untuk menyampaikan pesanannya kepada orang ramai.

“Nanti apa-apa doktor (tolong) beritahu (kepada) orang lain semua (untuk) percaya (tentang kewujudan) COVID, kemudian suruh (mereka) pakai pelitup muka ya doktor,” katanya.

Begitulah pengalaman peribadi yang dikongsikan sendiri oleh Dr. Zek ketika memberi rawatan kepada salah seorang pesakit COVID-19.

Oleh itu, orang ramai diingatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dan elakkan dari berada di tempat yang sesak. Patuhilah prosedur operasi standard pada setiap masa.

Ingatlah, kita sama-sama perlu membantu para barisan hadapan kita yang “hampir maksima,” kerana tanpa mereka, nasib kita pasti akan menjadi lebih buruk.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular