SUNGAI PETANI – Sekumpulan remaja perempuan berjaya diberkas setelah cubaan mereka untuk memecah masuk sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Tikam Batu gagal.

Kelima-lima remaja yang dipercayai berusia antara 15 hingga 17 tahun itu ditahan oleh pemilik stesen minyak berkenaan sekitar jam 2.30 pagi. Ketika ditanya mengenai motif kejadian, kesemua suspek mendakwa bahawa mereka bertindak sedemikian kerana berada dalam keadaan terdesak dan perlu menjelaskan bayaran sewa kereta.
Menurut pemilik stesen minyak yang dikenali sebagai Azzurin Hassan, 32 tahun, dia berjaya menghidu perbuatan kelima-lima gadis itu selepas melihat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang menampakkan suspek sedang mengumpil pintu. Azzurin yang turut menetap berhampiran stesen minyak terbabit dikatakan sangat terkejut apabila mendapati suspek yang cuba memecah masuk pintu belakang premisnya merupakan remaja perempuan.

“Saya dan beberapa orang jiran kemudian mengepung kawasan stesen minyak itu sebelum menahan dua remaja manakala seorang sempat melarikan diri bersama dua lagi rakannya yang menunggu di dalam kereta,” kata Azzurin.
Dua remaja yang berjaya ditahan dilaporkan berasal dari daerah Baling dan Sik telah mengakui perancangan mereka untuk memecah masuk premis dengan menggunakan sebilah gergaji kayu dan sebatang besi.
“Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk mendapatkan wang bagi menjelaskan bayaran kereta jenis Perodua Viva yang disewa melebihi tempoh sejak beberapa hari lalu. Remaja yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Tikam Batu dan selepas dihubungi tiga lagi rakan mereka datang menyerah diri di balai itu,” katanya lagi.

Hasil temubual mendapati kesemua remaja perempuan ini tidak bersekolah dan tidak menetap bersama keluarga masing-masing atas sebab ingin hidup bebas. Azzurin bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya enggan membuat laporan polis dan sekadar memberi nasihat sebelum melepaskan mereka memandangkan dia tidak mengalami sebarang kerugian.
Maybe you're interested :