KUALA KRAI – Seorang remaja lelaki dilaporkan meninggal dunia akibat lemas sewaktu terlibat dalam usaha membantu memindahkan penduduk kampung daripada kawasan banjir.

Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Manjor sekitar jam 8.30 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohammad Hakimin Rahim, 20 tahun sedang membawa dua penumpang menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan menggunakan perahu.

Mohammad Hakimin, ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam sungai sewaktu mendayung perahu ketika membawa dua mangsa banjir ke PPS

Walau bagaimanapun, mangsa telah pengsan secara tiba-tiba sebelum terjatuh ke dalam air dipercayai kerana keletihan selain mengalami kekejangan akibat cuaca sejuk memandangkan mangsa telah membantu penduduk kampung sejak awal pagi. Keesokan paginya, mayat mangsa kemudian ditemui oleh ahli keluarganya sendiri di dasar sungai berhampiran dengan lokasi di mana dia dilaporkan terjatuh.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan jam 10.07 malam dan telah mengerahkan seramai lima anggota untuk ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan ditamatkan jam 12.31 tengah malam berikutan keadaan gelap, selain hujan dan air juga mula menaiki beberapa kawasan rendah. Bagaimanapun ketika pihak kami bersiap untuk menyambung operasi SAR mangsa pada pagi, dimaklumkan mangsa sudah dijumpai oleh ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui di BBP Kuala Krai.

Setiap kali banjir, mangsa sering turun padang untuk membantu memindahkan para penduduk Kampung Manjor

Mayat Hakimin telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu menurut ibu mangsa, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik itu hanya sempat menjamah nasi sejuk pada waktu tengahari sebelum bergegas membantu penduduk kampung.

“Inilah pertama kali dia makan nasi sebegitu. Sejak kecil dia memang suka membantu dan mesra dengan orang Kampung Manjor, setiap kali banjir dia selalu membantu mangsa dan membawa barangan dipindahkan menggunakan perahu untuk ke PPS berdekatan. Sehari sebelum penempatan kami dinaiki air, arwah yang baru pulang daripada bermain futsal terus mengejutkan penduduk kampung supaya berkemas untuk berpindah ke PPS apabila melihat air mula naik mendadak,” kata ibu mangsa, Norazilah Mohamad.

Mangsa hanya sempat menjamah nasi sejuk (nasi semalam) ketika makan tengahari kerana ingin mengejar masa

Menurut ibu mangsa lagi, ketika dalam perjalanan, dua rakan mangsa yang turut berada di dalam perahu tidak menyedari kehilangan mangsa. Rakannya segera memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa, Mohamad Rahim dan bersama-sama dengan dua lagi abang kembar mangsa, mereka memulakan misi pencarian.

Bapa mangsa turut meluahkan rasa sedih kerana Mohammad Hakimin tidak sempat untuk menghadiri temu duga sebagai anggota polis yang dipohon pada tahun lalu. Jenazah anaknya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manjor selepas solat Asar semalam (7 Januari 2021).

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular