Ekoran peningkatan kes serta kes baharu positif tertinggi dicatatkan pada 6 Januari, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar dilaksanakan.

Ia adalah bertujuan untuk mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan yang sedang dialami oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada ketika ini.

Tambah beliau, sistem penjagaan kini sedang berjuang dengan pertambahan jumlah pesakit dan sedang ‘hampir tenat’ dan genting (breaking point).

“(Ini) kerana kes meningkat setiap hari. Kami mungkin tidak dapat menampung pesakit di kemudahan kami”.

@KKMPutrajaya/Twitter

“Kami melihat bagaimana kami dapat meningkatkan sistem penjagaan kesihatan kita. Tetapi yang terbaik adalah bukan hanya meningkatkan sistem penjagaan kesihatan kita… tetapi untuk mengurangkan beban”.

Ujar beliau, ‘pemutus litar’ (circuit breaker) diperlukan negara ketika ini dan usul untuk menerapkan versi PKP bersasar adalah untuk menurunkan jumlah kes.

Versi kali ini menggunakan pendekatan lebih bersasar dan tidak melibatkan seluruh negara seperti apa yang dilakukan pada bulan Mac tahun lalu, menurutnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Twitter

“Sekarang saya rasa strategi kita akan berubah. Kita akan lebih (melihat keadaan) setempat dan disasarkan daripada segi pelaksanaan”.

Perbincangan menurutnya sedang berlangsung dan mungkin mereka akan membuat beberapa keputusan secepat mungkin.

Beliau turut menjelaskan strategi baru yang disarankan itu, di mana ia melibatkan peraturan yang berbeza untuk negeri berlainan.

“Kami sedang melihat keadaan di negeri hijau dan kuning untuk melihat bagaimana kami dapat melindungi mereka, dan mengawal kes daripada meningkat. Ini sangat penting”.

Untuk negeri zon merah, tindakan lebih drastik akan diambil – mungkin melaksanakan tindakan lebih disasarkan di negeri-negeri itu dengan melihat kluster.

“Kami juga akan memperketatkan kawalan sempadan dengan melarang orang melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah berdasarkan perkembangan trend kes terbaru”.

Sungguhpun begitu, keputusan terletak di tangan kerajaan namun beliau yakin kerajaan akan membuat keputusan yang tepat.

“Kita perlu menyusun strategi dan melihat perincian lanjut kluster, negeri dan daerah yang disasarkan”.

Dan diharapkan dengan strategi ini, tindakan yang wajar dapat dilakukan selain menerima hasil yang baik di kemudian hari.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular