Rakyat Malaysia sememangnya memiliki sikap pemanduan yang sangat buruk. Meskipun bukan semua, tetapi kebanyakannya pasti pernah melakukan pelbagai kesalahan jalan raya. Antaranya menggunakan laluan kecemasan, melanggar lampu isyarat merah, mengekori rapat kenderaan di hadapan bagi mengelakkan membayar tol dan macam-macam lagi.

Satu lagi contoh sikap buruk pengguna jalan raya di Malaysia adalah meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan kepentingan pengguna jalan raya yang lain.  Baru-baru ini, Facebook Penang Kini telah memuat naik sebuah video menunjukkan sikap pemandu sebuah kereta Mercedes yang tidak bertanggungjawab.

Dalam video berkenaan, pemandu Mercedes berkenaan telah meletakkan kenderaan di persimpangan lampu isyarat sekali gus menyebabkan dua buah bas Rapid Penang mengalami kesukaran untuk membelok di ruang yang sempit itu.

Kejadian ini dilaporkan berlaku berdekatan restoran Nasi Kandar Beratur Original di mana dua buah bas cuba untuk membelok sambil mengelakkan daripada berlakunya pelanggaran dengan kereta Mercedes dan juga kereta-kereta lain di laluan bertentangan yang sedang menunggu lampu isyarat. Dapat dilihat para pemandu yang menunggu lampu isyarat mengalihkan kenderaan masing-masing bagi memberi ruang kepada pemandu bas.

Bas yang pertama berjaya membelok tanpa sebarang masalah namun bas yang kedua kelihatan agak bergelut sehingga terpaksa memberhentikan basnya. Ada satu ketika di mana pemandu bas tersebut cuba untuk mendapatkan perhatian pemandu Mercedes dengan membunyikan hon berkali-kali namun tidak berhasil. Video yang sedang menular ini membuatkan orang ramai mula bersuara serta mengkritik tindakan pentingkan diri sendiri pemandu Mercedes tersebut.

“Sikap pentingkan diri sendiri. Nak makan Nasi Kandar Beratur dengan senang, anda sanggup meletakkan kenderaan di tepi jalan, menyebabkan kenderaan besar sukar untuk membelok. Menyusahkan orang lain!”.

Semoga perkara ini menjadi iktibar buat semua pengguna jalan raya lain agar sentiasa mengamalkan toleransi dan mematuhi peraturan jalan raya.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular