Cuaca buruk dan hujan lebat yang berterusan di beberapa negeri di Malaysia telah menjejaskan kehidupan ribuan rakyat ekoran banjir besar dan tanah runtuh, yang mengundang bahaya dan mengancam keselamatan kepada penduduk kawasan terjejas.

Negeri paling teruk terjejas adalah Johor dan Pahang di mana hujan lebat dijangka berterusan sehingga 5 Januari.

Berikutan hujan lebat tanpa henti baru-baru ini, beberapa jalan di Pahang mengalami kerosakan yang teruk akibat hakisan tebing sungai dan tanah runtuh.

Paparan Skrin | Info Roadblock JPJ/POLIS/Facebook

Rakaman video yang dimuat naik oleh Info Roadblock JPJ / POLIS di Facebook menunjukkan sebahagian Jambatan Kampung Lechar berhampiran kawasan perumahan Lechar Dong di Raub, Pahang telah runtuh akibat arus deras sungai dan hakisan tanah.

Paparan Skrin | Info Roadblock JPJ/POLIS/Facebook

Seorang pengguna jalan raya yang berada di tempat kejadian telah merakam video insiden terbabit yang kelihatan sebahagian besar jalan raya telah mula retak dan hampir runtuh dari jambatan kerana ia telah terhakis dan dileraikan oleh arus air sungai yang deras.

Paparan Skrin | Info Roadblock JPJ/POLIS / Facebook

Kedengaran suara beberapa orang saksi lain berhampiran jambatan berkenaan ketika mereka melihat struktur jambatan telah runtuh dan hanyut ke sungai, meninggalkan jurang besar yang menyebabkan kenderaan tidak boleh melalui jalan tersebut.

JKR RAUB / Facebook

Ekoran insiden terbabit, Jabatan Kerja Raya Raub dalam satu kenyataannya di Facebook melaporkan struktur ‘abutment’ atau penampan sepanjang 3 meter dan 7 meter lebar dari jambatan tersebut telah runtuh dan dihanyutkan arus deras.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang pada 3 Januari telah menyebabkan jambatan berkenaan terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas.

JKR RAUB / Facebook

Kejadian berkenaan bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada para pengguna jalan raya kerana jambatan terbabit telah ditutup dengan segera.

Tonton video di bawah:

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular