Beratus ibu bapa terpaksa hadir secara fizikal ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyelesaikan permohonan pertukaran sekolah anak mereka dan mendaftar masuk ke sekolah menengah ekoran ketiadaan sistem dalam talian yang baik, mengakibatkan barisan panjang sehingga ke luar pejabat PPD sehingga menyukarkan pelaksanaan penjarakan fizikal. 

Beberapa ibu bapa memaklumkan kepada MalaysiaNow bahawa mereka telah diminta untuk hadir ke PPD bagi mendapatkan cop pengesahan sebelum akhir bulan Januari ini untuk memindahkan anak-anak mereka ke sekolah menengah pilihan masing-masing.

Rata-rata ibu bapa menyatakan rasa kekesalan bahawa proses pertukaran sekolah pada tahun ini amat menyusahkan.

Ibu bapa terpaksa beratur panjang di luar pagar Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Seksyen 19, Shah Alam (MalaysiaNow)

Selain wajib mendapatkan pengesahan dari sekolah menengah pilihan untuk mendaftarkan kemasukan anak mereka yang boleh memakan masa hingga dua hari, para ibu bapa juga harus membawa salinan dokumen peribadi untuk disahkan di PPD.

Tinjauan di PPD Petaling Perdana di Shah Alam pada 31 Disember mendapati ramai ibu bapa terpaksa menunggu selama berjam-jam hanya untuk mengesahkan dokumen mereka.

Seorang ibu berusia 40 tahun, Malathi Palaniappan tiba seawal pukul 9 pagi untuk mengambil nombor giliran sebelum diberitahu oleh PPD pada waktu tengah hari bahawa mereka telah kehabisan nombor giliran untuk sesi pagi.

“Mereka keluarkan nombor sehingga 250, dan pada pukul 12.30 tengah hari beritahu kami suruh balik dan datang semula pukul 2 petang,” katanya yang mahu menukar sekolah anaknya dari Seksyen 24 ke Seksyen 2 di Shah Alam.

Malathi meluahkan rasa pelik apabila diberitahu untuk membawa borang yang sama yang sudah diisi dan dihantar secara dalam talian.

“Sebelum datang, kami diberitahu untuk membuat permohonan dalam talian tetapi mereka masih meminta kami untuk hadir ke sini. Borang yang sama yang kami sudah hantar secara dalam talian, tetapi kena isi dengan tulisan tangan dan hantar sekali lagi di sini,” katanya.

Manakala Cheong Kong Chen, seorang bapa berusia 43 tahun berkata dia tidak faham mengapa dokumen tersebut mesti disahkan sedangkan pihak sekolah sudah meluluskan pemindahan tersebut.

“Hairan juga kita semua hanya mahu dapatkan cop, tetapi terpaksa ambil masa yang lama,” katanya.

Pelajar baru dari sekolah rendah yang mendaftar masuk ke sekolah menengah ditempatkan di sekolah pilihan mereka, dengan mengambil kira jarak dari rumah dan kekosongan yang ada.

Namun menjadi kebiasaan apabila pelajar ditawarkan sekolah yang lebih jauh dari kediaman mereka.

Terdapat 50 buah sekolah menengah di daerah Petaling Perdana, yang melibatkan kawasan seperti Subang Jaya, Serdang, Puchong dan Shah Alam, telah disenaraikan sebagai penuh pada tahun ini.

Pada tahun sebelum ini, permohonan pertukaran sekolah boleh dilakukan secara dalam talian dan diproses oleh pihak sekolah, dengan ibu bapa dan penjaga hanya perlu menyerahkan dokumen kepada sekolah selepas mendapat pengesahan daripada pesuruhjaya sumpah atau penghulu di tempat kediaman masing-masing.

Dokumen yang diperlukan itu termasuk surat penempatan pelajar Tingkatan Satu, sijil kelahiran pelajar, slip keputusan UPSR serta kad pengenalan ibu bapa dan anak.

Sementara itu, kalangan ibu bapa menyuarakan kebimbangan mengenai SOP COVID-19 seperti penjarakan fizikal jelas kelihatan adalah sukar untuk dipatuhi.

Ibu bapa pelajar berkumpul di luar pagar PPD Petaling Perdana Seksyen 19, Shah Alam bagi mendapatkan pengesahan pertukaran sekolah anak mereka pada 31 Disember 2020 (MalaysiaNow)

“Kita boleh tengok sendiri, semua orang bersesak di sini, mana ada penjarakan fizikal,” kata salah seorang ibu bapa.

Seorang ibu, Mimi Ismail, 39 tahun berkata dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa bersesak bersama ibu bapa lain yang beratur di luar PPD di Shah Alam untuk menyelesaikan proses permohonan pertukaran ke sekolah menengah.

Katanya, walaupun permohonan dibuka hingga 20 Januari, banyak sekolah yang telah penuh.

“Jika datang lambat, tidak mungkin anak kita dapat bersekolah di sekolah pilihan kita,” kata ibu ini.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin melakukan lawatan mengejut ke PPD di Klang di mana keadaan dilihat lebih terkawal, dengan ibu bapa diberi kerusi di bawah tempat duduk berbumbung sementara menunggu giliran.

“Kementerian Pendidikan komited kepada usaha untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatannya kepada semua pihak.  Yakinlah kami akan terus berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi memperkasakan sistem pendidikan negara,” menurut Radzi di Twitter.

Namun Radzi belum memberi jawapan mengapa permohonan pertukaran sekolah memerlukan ibu bapa dan penjaga untuk hadir secara fizikal ke PPD selepas permohonan dalam talian telah dibuat.

Pelajar sekolah rendah, termasuk pelajar Tingkatan Satu, Empat, Lima dan Enam akan  memulakan sesi persekolahan pada 20 Januari, selepas sekolah di seluruh negara ditutup pada 9 November berikutan lonjakan baru kes COVID-19.

Sementara pelajar Tingkatan Dua dan Tiga akan memulakan kelas fizikal pada 8 Mac 2021.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular