Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar buat semua individu. Penularan wabak yang menyerang seluruh dunia telah menjejaskan kedudukan ekonomi negara sekali gus menyebabkan ramai pekerja yang terpaksa diberhentikan kerja atau pendapatan dikurangkan. Justeru, ramai individu yang kehilangan punca pendapatan ini mula menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan bagi meneruskan kehidupan.

Namun, langit tidak sentiasa cerah. Ada juga yang kehilangan rezeki dalam sekelip mata di saat sedang bertungkus-lumus mencari rezeki. Baru-baru ini telah tular di media sosial mengenai sebuah keluarga yang terpaksa menanggung kerugian akibat kecuaian orang lain.

Menerusi perkongsian itu, sebuah keluarga yang sedang dalam perjalanan ke tapak perniagaan mereka hampir mengalami kemalangan apabila kenderaan di hadapannya secara tiba-tiba menekan brek kecemasan sekali gus menyebabkan peniaga yang dikenali sebagai Zai ini terpaksa membrek secara mengejut. Insiden ini telah menyebabkan hasil jualan nasi lemak dan kuih-muih bertaburan di dalam kenderaannya.

“Kejadian pagi tadi kat Kampung Paya. Kereta hadapan yang secara tiba-tiba berhenti tengah jalan kita terpaksa brek kecemasan dan habis semua sambal tumpah dan kuih serta nasi lemak berterabur,” kongsi Zai dalam satu akaun Facebook.

Lebih menyedihkan lagi, pemandu kereta hadapan tersebut langsung tidak memberhentikan kenderaan untuk meminta maaf sebaliknya terus memecut laju meninggalkan lokasi kejadian. Zai dan keluarga amat kecewa dengan tindakan pemandu tersebut dan telah menyebarkan nombor pendaftaran kenderaan pemandu itu di media sosial serta meminta jasa baik warganet untuk mencari pemandu berkenaan.

Bagaimanapun, menerusi kemas kini terbaharu mendapati bahawa kes antara kedua-dua pihak telah berjaya diselesaikan dan Zai memaklumkan bahawa dia menerima kejadian yang berlaku kepada dirinya dengan hati terbuka dan redha meskipun tidak dapat mencari rezeki pada hari tersebut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES GAYA HIDUP

Video Popular