KUALA LUMPUR – Persepsi yang berbeza timbul dalam kalangan warganet apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat bertindak memohon maaf kerana menyebabkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kemalangan ketika berbasikal.

Permohonan maaf dan tindakan segera pihak JKR membaik pulih kawasan jalan raya yang berlubang itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang menganggap JKR bersikap berat sebelah. Hal ini terjadi memandangkan sebelum ini, terdapat lambakan aduan dan laporan mengenai kejadian kemalangan yang berlaku akibat jalan berlubang namun tidak menerima jalan penyelesaian yang diharapkan.

Terdapat juga pengguna Twitter lain yang memuat naik beberapa gambar insiden kemalangan yang pernah berlaku di Malaysia sehingga mengorbankan nyawa ramai pengguna jalan raya akibat keadaan jalan yang tidak diselenggara dengan baik.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kuala Langat iaitu Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman turut mengkritik permohonan maaf JKR dan menyatakan bahawa kemalangan yang menimpa YB Khairy Jamaluddin adalah satu perkara yang tidak serius.

“Beliau mengalami luka dan tidak serius selepas terjatuh apabila basikalnya terlanggar lubang di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan. Saya beranggapan kemalangan tersebut berlaku dalam kawasan Kuala Langat kerana JKR Kuala Langat tampil membuat permohonan maaf kerana insiden itu,” kata Shah Rezza.
Tambah beliau lagi, “Menjadi tanda tanya mengapa harus berlaku double standard (pilih kasih) ke atas kemalangan kecil yang melibatkan menteri ini?”.
Pada masa yang sama, pihak JKR Kuala Langat turut menerima desakan daripada orang ramai untuk bersikap adil dengan membuat permohonan maaf terhadap semua pengguna jalan raya lain yang pernah terlibat dalam kemalangan sehingga ada kes yang menyebabkan nyawa melayang.

“Janganlah bersikap seperti pahat dan penukul, diketuk baru hendak jalan kerja. Lebih malang lagi diketuk berkali-kali masih tak jalan kerja,” kata Shah Rezza.
Terdahulu pada tanggal 27 Disember, YB Khairy Jamaluddin telah terlibat dalam kemalangan basikal apabila beliau tidak sengaja melanggar jalan yang berlubang sebelum terjatuh ke dalam parit. Sekitar lima jam kemudian, pihak JKR telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada beliau dan berjanji akan menyelesaikan isu tersebut dalam kadar segera. Keesokan harinya pada jam 3.30 petang, pihak JKR Kuala Langat telah menyiapkan kerja-kerja membaik pulih kawasan berkenaan dan terus menerima kecaman daripada rakyat menerusi media sosial.
Maybe you're interested :