KUALA PERLIS – Walaupun berdepan risiko mungkin dijangkiti COVID-19, ribuan pengunjung termasuk warga tua dan kanak-kanak yang ingin ke Langkawi seperti tidak mempedulikannya dan sanggup bersesak untuk menaiki feri.

Astro AWANI melaporkan dari Terminal Feri Kuala Perlis yang mendapati sebahagian besar penumpang yang ingin masuk ke terminal tidak mengamalkan penjarakan fizikal malah beratur dalam keadaan rapat antara satu sama lain.

Difahamkan, pengurusan terminal itu menempatkan kakitangan serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk mengawal keadaan, dan suasana menjadi luar kawalan ketika penumpang berada di pintu masuk bangunan.

@501Awani/Twitter

Keadaan ini dilaporkan berlaku hampir setiap hari berikutan pertambahan pelancong domestik yang ingin bercuti ke pulau peranginan berkenaan, lebih-lebih lagi sejak cuti hujung minggu yang bersambung dengan cuti Krismas.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata pihaknya menambah baik beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mencegah penularan wabak COVID-19.

“Ia termasuk mengehadkan individu yang berada di kawasan menunggu dalam terminal, dengan penumpang hanya dibenarkan memasuki kawasan berkenaan sejam sebelum masa pelepasan feri,” katanya.

“Kita juga menambah bilangan pekerja bagi tugas memantau di kawasan pintu masuk feri agar tidak ada kesesakan yang serius selain pengguna perkhidmatan feri wajib memakai pelitup muka sepanjang masa,” tambahnya.

Namun, menurutnya ada kalangan penumpang yang telah mula lupa bahawa mereka masih tertakluk kepada SOP dan tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Kita lihat penumpang-penumpang masih berebut-rebut untuk memasuki dan keluar dari feri,” katanya.

@501Awani/Twitter

Baharin berkata pihaknya turut bersedia menambah kekerapan perjalanan feri sekiranya mendapati permintaan khususnya pembelian tiket dalam talian dan fizikal di kaunter meningkat sekali gus dapat memilih orang ramai daripada bersesak pada satu-satu masa.

Katanya, pada 28 Disember, Ferry Lines Ventures membuat 10 perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi bermula jam 8 pagi hingga jam 9.30 malam yang melibatkan 4,790 penumpang.

Sebelum ini, Konsortium Ferry Line Ventures menyatakan kesediaan untuk menerima lebih 20,000 pengunjung dalam masa sehari dengan menambah kekerapan perjalanan dari terminal di Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular