Kita seringkali mendengar banyak kes kekejaman terhadap haiwan dilaporkan di dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Ada berita yang melaporkan kes haiwan dikurung selama berhari-hari tanpa diberi makanan dan minuman, disepak, disumbat ke dalam mesin basuh dan sebagainya.

Perkara ini ternyata menimbulkan pelbagai respon di mana rata-ratanya mempersoalkan sikap kemanusiaan yang semakin pudar dalam kalangan individu yang tidak bertanggungjawab itu. Terbaru, sebuah video yang menular di Facebook menunjukkan seekor anjing jalanan yang ditemui dalam keadaan lehernya diikat dengan dahan kayu dipercayai akibat penganiayaan oleh manusia yang kejam.

Menerusi video yang berdurasi 3 minit 33 saat itu, dilihat seorang lelaki yang dikenali sebagai Nahur Omar telah terserempak dengan anjing jalanan malang itu di sekitar Kuala Kubu Bharu. Ketika ditemui, anjing tersebut telah diikat dengan sebatang dahan kayu berukuran satu meter panjang pada lehernya. Hal ini telah menyukarkan pergerakan anjing itu dan menyebabkannya terpaksa berdiri di tepi jalan.   

Simpati dengan keadaan yang menimpa anjing tersebut, Nahur berusaha untuk melepaskan ikatan pada leher anjing itu namun gagal memandangkan ianya diikat bukan menggunakan tali tetapi dawai besi! Hal ini telah mengakibatkan anjing ini mengalami kecederaan ringan dengan kesan luka dan darah di sekitar lehernya.

Namun begitu, Nahur tidak keseorangan. Beberapa minit kemudian, sekumpulan individu berbasikal dan orang awam telah berhenti di tepi jalan bagi menghulurkan bantuan untuk melepaskan anjing malang itu. Salah seorang daripada saksi kejadian telah menggunakan pisau lipat untuk memotong dawai besi tersebut dan akhirnya membebaskan anjing berkenaan.

“Pengalaman pada hari ini. In shaa Allah, terima kasih kepada Khirunnizam Mohd Lani, kumpulan Cycling KL, Mohammad Zaki Ibrahim dan rakan-rakan dari Setapak kerana membantu. In shaa Allah, semoga Allah membalas budi anda semua dan anjing ini. Bersama kita bawa perubahan,” tulis Nahur menerusi akaun Facebook miliknya.

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular