MOSCOW – Aplikasi mesej terkod, Telegram bakal mengenakan bayaran kepada penggunanya untuk mengakses beberapa ciri tertentu menjelang tahun 2020.

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat iaitu Pavel Durov, Telegram perlu mula menjana pendapatan bermula tahun hadapan bagi memastikan perniagaan syarikat dapat meneruskan kelangsungan. Hal ini demikian kerana Telegram dilaporkan bakal menerima hampir 500 juta pengguna aktif dan pihak syarikat memerlukan dana bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Tetapi sekarang, syarikat ini berkembang dengan berbilion pengguna aktif. Jadi ia memerlukan dana yang mencukupi,” jelas Durov yang memaklumkan telah membiaya perbelanjaan syarikat tersebut menggunakan wang simpanan peribadinya.

Jelas Durov lagi, “Kami akan melakukannya sesuai dengan nilai-nilai dan janji yang telah kami buat selama tujuh tahun terakhir. Terima kasih kepada pengguna semasa kami. Kami akan melakukannya dengan kaedah yang tidak mengganggu. Malah, sebilangan besar pengguna hampir tidak akan menyedari perubahannya”.

Walau bagaimanapun, Durov menegaskan bahawa pelanggan akan tetap menikmati ciri sedia ada secara percuma tanpa dikenakan caj tambahan. Di samping itu, pengguna juga bebas menghantar mesej antara pengguna lain yang bebas daripada sebarang iklan. Ciri baharu yang akan ditambah adalah untuk pemilik perniagaan atau pengguna premium.

“Pengguna biasa akan dapat terus menikmati Telegram secara percuma, selama-lamanya,” katanya yang juga merancang untuk tidak menjual Telegram seperti pengasan WhatsApp.

“Dunia memerlukan Telegram untuk berdikari sebagai tempat pengguna dihormati dan perkhidmatan berkualiti tinggi terjamin. Telegram perlu terus melayani dunia sebagai contoh syarikat teknologi yang berusaha untuk kesempurnaan dan integriti”.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular