Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat sindiket di Johor yang terbabit dengan kepakaran mereka yang secara khusus menyeludup daging import ke Malaysia dan mengedarkannya sebagai bertanda halal ke pasaran tempatan.

Sindiket itu disyaki telah merasuah beberapa pegawai kanan kerajaan dari sekurang-kurangnya empat agensi kerajaan bagi tujuan menutup kegiatan mereka supaya tidak dapat dikesan.

Harian Metro melaporkan bahawa kes terbabit sedang  disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana melakukan rasuah dan pemalsuan pelbagai dokumen kastam dan import.

Paparan Skrin/YouTube

Juga didedahkan bahawa kartel daging haram itu telah beroperasi di Malaysia selama lebih 40 tahun.

Sumber dalaman memberitahu New Straits Times dalam laporan eksklusif bahawa sindiket itu akan memberi rasuah kepada pegawai dan agensi kerajaan yang berpusat di pelabuhan tempatan untuk mengesahkan penghantaran, dengan tidak memeriksa sama ada produk tersebut telah memenuhi syarat halal dan standard kualiti yang ditetapkan.

Produk itu kemudian akan dibawa ke gudang tempatan, di mana ia akan dibungkus semula dengan logo halal yang palsu dan kemudian dicampurkan dengan bungkusan daging yang disahkan halal bagi mengelak daripada dikesan.

Paparan Skrin/YouTube

“Oleh itu, dengan menghapuskan proses pensijilan halal, kartel akan memperoleh keuntungan yang besar,” menurut sumber itu.

Juga dilaporkan daging yang dibawa masuk sering kali adalah daging kanggaru, daging kuda, dan daging lembu bermutu rendah, yang semuanya dijual kepada pembeli tempatan tidak dikenali dengan harga rendah yang menarik.

Oleh kerana siasatan masih berjalan, nama syarikat makanan sejuk beku yang terbabit dalam sindiket berkenaan belum dapat didedahkan kepada umum.

Paparan Skrin/YouTube

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata kepada Harian Metro, nama pembekal dan pengusaha itu hanya akan didedahkan setelah proses pendakwaan selesai.

Beliau berkata kes itu akan dibawa ke mahkamah pada awal minggu hadapan.

Selain SPRM, operasi yang telah mendedahkan sindiket ini telah diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Jabatan  Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan Kastam Diraja Malaysia.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular