Proses berkhatan adalah pembersihan diri seperti yang telah diwajibkan dalam ajaran agama Islam dan juga diharuskan dalam beberapa agama lain. 

Berkhatan adalah memotong kulit di hujung kemaluan lelaki yang biasanya dipanggil kulup atau foreskin, sebenarnya memberi banyak manfaat dan faedah kepada kesihatan.

Kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun ke bawah di Malaysia biasanya akan menjalani proses berkhatan di musim cuti persekolahan pada hujung tahun seperti waktu ini. Biasanya luka berkhatan kanak-kanak lelaki akan pulih seperti sedia kala dalam tempoh 10 hingga 14 hari.

Namun, satu insiden ketika berkhatan telah menimpa seorang kanak-kanak apabila dia mengalami kecederaan serius akibat kecuaian seorang doktor yang menjalankan proses berkhatan itu di sebuah klinik swasta di Seri Manjung pada 13 Disember lalu.

Harian Metro melaporkan ibu kanak-kanak berusia 8 tahun berkenaan, Rosnah Musa berkata doktor di klinik swasta itu menggunakan kaedah ‘klamp’ atau penggunaan klip yang telah menyebabkan alat sulit anak keduanya itu mengalami bengkak yang serius.

Rosnah sebelum itu telah memuat naik satu posting yang tular di Facebook, yang meluahkan rasa kesedihan dan rintihan anak lelakinya, Muhammad Adly yang terpaksa menanggung kesakitan akibat kecederaan dan bengkak pada alat sulitnya.

“Selepas berkhatan di klinik berkenaan, saya dan suami terus membawa anak pulang ke rumah. Pada hari pertama dan kedua, kami dapati terdapat perubahan pada alat sulit Muhammad Adly iaitu saiznya pendek berbanding asal serta kepala zakar kelihatan senget ke kiri.”

“Selain itu, anak saya sering mengadu sakit, berasa takut dan menangis setiap kali mahu membuang air kecil,” katanya.

Keadaan tersebut telah membimbangkan Rosnah dan suaminya kerana ia bukan sesuatu yang normal apabila mendapati alat sulit anak lelakinya semakin membengkak pada malam hari ketiga selepas klip ditanggalkan pada 16 Disember di klinik swasta berkenaan.

Rosnah berkata, doktor di klinik berkenaan ada memberi ubat namun keadaan alat sulit anaknya menjadi semakin membengkak dan berdarah.

“Pada waktu itu, saya dan suami menyedari alat sulitnya tenggelam jadi tanpa berlengah, kami terus membawanya ke Hospital Seri Manjung (HSM),” katanya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati alat sulitnya tenggelam dan bahagian kulit (alat sulit) habis dipotong serta anak saya terpaksa dibius bagi membolehkan doktor membersihkan darah beku di wad pembedahan pada 17 Disember,” jelas Rosnah.

Berikutan luka yang tidak sembuh, Muhammad Adly kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ipoh untuk pembedahan menampal kulit alat sulit.

Rosnah berkata doktor pakar memaklumkan jika sembuh sekalipun, Muhammad Adly kemungkinan perlu menjalani pembedahan dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi bergantung kepada keadaannya.

“Satu lagi kemungkinan adalah alat sulitnya cacat kekal dan sudah tentu kami bimbang memikirkan masa depannya apabila dewasa nanti. Kami sudah pergi bersemuka dengan doktor berkenaan namun dia hanya berdiam tanpa memberi alasan dan jawapan meyakinkan,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini Muhammad Adly, Rosnah berkata, anaknya dalam keadaan sedar tetapi masih trauma dengan apa yang berlaku.

Katanya, Muhammad Adly telah menjalani satu lagi pembedahan pada 21 Disember dan berikutan apa yang terjadi, suaminya sudah membuat laporan di Balai Polis Sitiawan pada 20 Disember.

“Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, tujuan dia memuat naik posting mengenai kisah anaknya di Facebook bukan untuk memburukkan sesiapa tetapi sekadar meluahkan rasa sedih dan kecewa sahaja.

“Diharap, perkongsian itu memberi pengajaran kepada ibu bapa di luar sana untuk berhati-hati terutama ketika musim berkhatan ini supaya tidak menerima nasib yang sama,” kata Rosnah.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular