Seorang bayi perempuan berusia 5 bulan cedera pada belakang tubuhnya setelah dicakar oleh monyet liar yang memasuki rumah.

Insiden itu berlaku di Taman Nusa Damai, Johor Bahru apabila bayi tersebut, Aisyah Nur Zara diletakkan di atas katil dalam bilik sementara ibunya sedang membuat susu di dapur.

Menurut ibu mangsa, Siti Nur Asikin, bayinya itu juga nyaris dilarikan monyet liar tersebut. “Tiba-tiba saja Zara menjerit dan menangis. Saya terus bergegas ke bilik untuk mendapatkannya”.

Siti Nur Asikin kemudian terkejut selepas melihat seekor monyet liar masuk memasuki tingkap bilik dan duduk di belakang Zara dan mencakarnya.

“Apabila cuba menghalau termasuk menggunakan batang penyapu, monyet itu seakan menarik tangan Zara dan membawanya keluar”.

Jiran di sebelah rumahnya turut membantu menghalau monyet liar tersebut. Zara kemudian cuba ditenangkan dan didukung ibunya.

Pada ketika itulah, Siti Nur Asikin mula menyedari baju belakang Zara koyak manakala terdapat darah pada badannya.

Zara kemudian segera dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan, sementara aduan telah dibuat oleh jirannya berhubung insiden itu pada laman web Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Doktor menjelaskan bahawa Zara perlu ditahan selama 14 hari ekoran bimbang jangkitan dan turut diberikan dos vaksin rabies untuk rawatan.

Tambah Siti Nur Asikin, ketika kejadian, dua orang anak lelakinya yang berumur 15 dan 8 tahun ada di rumah dan sedang menonton televisyen.

Manakala suaminya tiada kerana bekerja. Ekoran insiden itu, Zara tidak boleh terlentang dan sering menangis kesakitan.

Pihak PERHILITAN walau bagaimanapun sudah membuat pemantauan dan mengambil tindakan segera dengan memasang perangkap.

Haiwan itu difahamkan akan diburu dan dilupuskan kerana sudah mendatangkan ancaman keselamatan kepada orang awam.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular