Menunggu bungkusan yang dipos ke pintu rumah sememangnya satu pengalaman yang mengujakan dan boleh membuatkan kita berasa tidak sabar untuk menerimanya.

Bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang pengguna Facebook memuatnaik kiriman yang menunjukkan bahawa barangan yang diterimanya hampir hancur sebaik sahaja diterima daripada syarikat penghantaran barangan, DHL eCommerce Malaysia.

Zee Norman, yang berkongsi pengalaman peritnya pada 18 Disember lalu menyatakan bahawa walaupun kiriman barang yang diterimanya itu hanya dipos dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, namun proses penghantarannya memakan masa yang sangat lama dan bertambah malang lagi buatnya apabila bungkusan yang diterimanya telahpun rosak.

“Penghantaran juga ditangguhkan dan e-mel dan panggilan harus dibuat untuk memastikan bungkusan tidak hilang tetapi pada akhirnya bungkusan dihantar sedemikian rupa dan hasilnya sangat tidak masuk akal! Sama sekali tidak boleh diterima.”

Menceritakan tentang barangan yang rosak, Zee Norman juga tidak dapat menyembunyikan rasa kesalnya kerana barangan yang diterimanya itu adalah hadiah sambutan Hari Natal yang diberikan oleh seseorang kepadanya dan bukannya barangan yang dibeli secara atas talian.

“Barangan ini bukan barang yang rapuh dan barang ini adalah padat dan dibungkus dengan baik! Lihatlah kotak Apple ini, kotak ini telah terkoyak! Walaupun mempunyai beg udara plastik untuk melindungi kotak di dalamnya tetapi semuanya telah musnah. Lihat gambarnya sendiri.”

Disebabkan kondisi bungkusan yang remuk teruk, Zee Norman juga menyatakan bahawa AirPods Pro yang diterimanya itu juga telah rosak dan tidak berfungsi. Bukan itu sahaja, kotak pengecaj item tersebut juga dikatakan telah rosak akibat keadaan bungkusan tersebut.

“Apa yang mungkin berlaku yang menyebabkan kerosakan seperti ini? Adakah bungkusan ini telah dilanggar oleh trak? Tolong lihat gambar-gambar ini.”

Berikutan perkongsian yang mengejutkan ini, pihak penghantar barangan yang bertanggungjawab telah memutuskan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM1,099 kepada Zee Norman bagi menggantikan semula AirPods Pro yang telah rosak semasa proses penghantaran dilakukan.

Menurut laporan World of Buzz yang telah menghubungi DHL eCommerce Solutions, jurucakapnya memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi penerima bungkusan itu dan isu tersebut telahpun mendapat perhatian pihak mereka serta diselesaikan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP

Video Popular