Proses semakan permohonan baharu dan rayuan untuk Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) sedang dijalankan, dan pembayaran bagi mereka yang lulus akan dibuat dalam bulan Januari 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurut Tengku Zafrul, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (KITA PRIHATIN) pada setakat 4 Disember 2020, seramai 10.13 juta penerima telah mendapat manfaat daripada pembayaran pembayaran pertama BPN 2.0 melibatkan jumlah RM4.6 bilion, atau 97 peratus dari RM4.8 bilion yang telah diluluskan bagi fasa pertama.

Proses pembayaran melalui BSN masih diteruskan sejak 26 Oktober.

@BernamaTV/Twitter

“Bagi Geran Khas PRIHATIN (GKP) 2.0, setakat 4 Disember, sejumlah RM856.9 juta telah berjaya dikreditkan ke dalam akaun 285,626 PKS Mikro yang telah diluluskan. Proses rayuan juga telah dibuka dari 7 Disember hingga 21 Disember.”

“Kesemua rayuan akan melalui proses semak silang antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan, dan keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam pembentangannya mengenai laporan LAKSANA Ke-34, laporan terakhir untuk tahun 2020, melalui laman Facebook beliau pada 23 Disember.

Di bawah pakej KITA PRIHATIN untuk Program Subsidi Upah (PSU) 2.0, sebanyak RM239.73 juta telah disalurkan kepada 39,203 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 307,420 pekerja.

“Majikan yang memerlukan PSU 2.0 masih boleh memohon sehingga 31 Disember ini,” kata Tengku Zafrul.

Pakej KITA PRIHATIN yang diumumkan pada bulan September adalah bernilai RM10 bilion.

Tengku Zafrul berkata laporan LAKSANA telah menjadi medium penting untuk mendapatkan maklum balas balas daripada rakyat mengenai cabaran yang dihadapi dan apabila digandingkan dengan data raya, kerajaan mampu menambah baik atau melanjutkan inisiatif tertentu.

“Contohnya, penambahan bagi Bantuan Prihatin Nasional daripada RM11.5 bilion kepada RM18 bilion, Geran Khas Prihatin daripada RM1.64 bilion kepada RM2.55 bilion, subsidi bil elektrik kepada lebih RM2 bilion, program subsidi upah daripada RM10 bilion kepada lebih RM17 bilion pelbagai lagi – semua ini adalah antara lain, hasil pemantauan berterusan dan maklum balas yang diterima daripada rakyat dan perniagaan,” katanya.

Katanya, inisiatif PRIHATIN dan PRIHATIN PKS TAMBAHAN sudah mencapai kadar penyaluran sekitar 94 peratus bagi program jangka pendek seperti BPN dan GKP, diikuti hampir 89 peratus bagi program jangka sederhana seperti PSU dan skim pengekalan pekerjaan.

“Bagi program jangka panjang, kadar pengambilan masih rendah seperti program pembiayaan sekuriti makanan pada kadar 31 peratus dan ada yang tinggi seperti program pinjaman mikro kredit TEKUN pada kadar 99.8 peratus.”

“Bagi pakej PENJANA, bantuan jangka pendek sudah mencapai penyaluran 76 peratus, diikuti pencapaian antara 77 peratus dan 90 peratus bagi bantuan jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Menjelang 2021, Tengku Zafrul berkata ketika negara terus berhadapan dengan situasi COVID-19, kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan, termasuk pakej PENJANA dan KITA PRIHATIN yang masih berterusan serta inisiatif Belanjawan 2021 yang bakal dilaksanakan.

“Ini termasuk fasa kedua BPN 2.0 berjumlah RM2.2 bilion yang akan disalurkan pada Januari 2021, dan program i-Sinar KWSP,” katanya.

Paparan Skrin/hasil.gov

Selain itu, pelbagai program untuk golongan mudah terjejas, PKS dan perusahaan mikro, serta pekerja sambilan yang memerlukan pembiayaan juga telah dirancang di bawah Belanjawan 2021.

Bagi PKS, bantuan pembiayaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) boleh diakses melalui laman web BNM. Untuk maklumat lanjut, sila layari bnm.gov.my.

Tengku Zafrul berkata, kementeriannya akan terus memastikan pelaksanaan inisiatif yang berkesan untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ekonomi yang berdaya tahan.

“Agensi LAKSANA akan terus memantau 32 inisiatif di bawah pakej rangsangan ekonomi kerajaan yang masih diteruskan, bersama dengan sekurang-kurangnya inisiatif di bawah belanjawan yang akan bermula seawal bulan Januari 2021,” katanya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular