Biasanya jiran yang baik boleh memahami situasi apabila menyedari jiran mereka sedang membesarkan anak kecil dan ketika seorang bayi menangis dengan kuat contohnya, maka gangguan seperti itu sebenarnya ramai yang boleh tahan dan tidak berapa kisah.

Tetapi mungkin atas sebab tangisan bayi pasangan ini terlalu kuat, maka timbul perasaan bersalah dalam diri sehinggakan mereka terpanggil menulis sepucuk surat untuk jiran-jiran sebelah rumah.

Sepasang suami isteri yang menggelar diri mereka ‘tired and sorry neighbours’ telah menulis nota memohon maaf lebih awal kepada jiran-jiran ekoran bimbang sekiranya tangisan bayi mereka yang sangat kuat mungkin akan mengganggu ketenteraman jiran ketika waktu malam.

 

@KittyBeeJr/Twitter

Salah seorang jiran yang terkejut setelah menerima surat yang dikirim ke rumahnya telah memuat naik isi kandungan surat tersebut di lamanTwitter miliknya sehingga mendapat perhatian kalangan netizen yang rata-rata turut terkejut dengan sikap timbang rasa dan prihatin pasangan ini dengan perasaan jiran-jiran mereka.

Pasangan Matthew dan Kelee Ward, menulis dalam surat itu bahawa mereka tidak dapat tidur malam dengan baik kerana bayi mereka yang berusia 4 bulan kerap menangis. Mereka kini sedang cuba menggunakan kaedah ‘cry-it-out’ untuk membantu anak lelaki mereka supaya boleh tidur dengan lena. 

Mereka menjelaskan dalam surat itu, kini bayi mereka sedang dilatih dengan kaedah tidur tersebut dan meminta maaf sekiranya suara bising bayi mereka mungkin telah mengganggu jiran-jiran sebelah-menyebelah pada waktu malam.

Jiran itu @KittyBeeJr dalam kapsyen gambar surat itu di Twitter, “Jiran telah tinggalkan nota ini di hadapan pintu..saya kena buatkan mereka sedikit biskut.” 

Tweet tersebut telah mendapat perhatian lebih 1.2 juta warga Twitter yang suka dan hampir 100 ribu retweet, dengan ramai yang telah berkongsi gambar tersebut dan menzahirkan rasa terharu mereka dengan tindakan pasangan tersebut sambil ada yang berkongsi pengalaman dan memahami perasaan menjadi ibu bapa.

Dalam surat itu mereka menulis sekiranya mana-mana jiran yang terdengar bunyi  tangisan bayi, mereka boleh berdoa untuk si ibu kerana semua sudah pasti tahu barangkali si ibu juga sedang menangis dan jadi tidak keruan.

Pasangan itu turut menulis mereka akan cuba menjaga hubungan yang baik dengan jiran sekiranya bayi mereka masih lagi menangis pada waktu malam dan membangkitkan rasa tidak selesa atau tidak puas hati di kalangan jiran.

@KittyBeeJr/Twitter

Mereka juga berkata ini baharu sahaja tempoh percubaan yang akan memakan masa seminggu atau lebih dan mereka akan berhenti seketika sekiranya percubaan kaedah itu gagal. 

Pasangan itu turut mengingatkan jika terdapat jiran yang terdengar suara bising atau apa-apa yang menganggu, mereka boleh meningkatkan bunyi televisyen masing-masing atau ‘mengetuk pintu rumah dengan mesra’ untuk memberi amaran, jika tangisan bayi mereka masih kuat.

@KittyBeeJr/Twitter

Sebagai tanda semangat kejiranan tulus ikhlas, jiran @KittyBeeJr telah membalas surat itu dengan menghadiahkan ibu bapa tersebut dengan sedikit biskut serta set mandian bayi, manakala dia pula diberikan sebotol minuman oleh pasangan tersebut.

Tidak sangka pula tangisan kuat seorang bayi telah menyebabkan kalangan jiran menjadi mesra, terharu dan bertimbang rasa serta mahu pula saling membantu satu sama lain.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP Keluarga

Video Popular