KUALA TERENGGANU – Dakwaan seorang lelaki yang mengatakan dirinya adalah kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyebabkan seorang kerani kerugian RM11,000.

Mangsa dipercayai telah diperdaya oleh suspek yang menyamar menjadi kakitangan LHDN dari Cyberjaya menerusi panggilan telefon.

Suspek difahamkan telah memberitahu bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai LHDN sebanyak RM38,600 sebelum menghantar pautan borang yang perlu diisi menerusi mesej.

Mangsa kemudian diarahkan untuk melengkapkan borang itu selain turut meminta mangsa memberikan nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank yang aktif.

Borang tersebut segera dilengkapkan mangsa yang berasa takut sebelum ia dihantar menggunakan aplikasi mesej kepada nombor yang sama, tanpa mangsa mengesyaki apa-apa.

Selepas itu, mangsa mula menerima mesej daripada bank yang memaklumkannya ada membuat beberapa transaksi ke akaun lain.

Terkejut menerima mesej itu, mangsa segera melakukan semakan dan mendapati bahawa jumlah wang simpanannya berkurang sehingga RM11,000 kurang daripada 30 minit.

Mangsa yang berasa dirinya merupakan mangsa penipuan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superitendan M Zambri Mahmud mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan.

Siasatan lanjut menurutnya sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular