PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya menemui mutasi baharu virus COVID-19 yang dikenali sebagai A701V melalui hasil kajian terhadap sampel dari Sabah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mutasi baharu ini dikesan menerusi hasil ujian terhadap 60 sampel daripada kluster Benteng Lahad Datu di Sabah. Bagaimanapun, pihaknya masih belum mengesahkan sama ada mutasi virus itu bersifat ‘ganas’ atau memiliki tahap kebolehjangkitan yang tinggi.

“Ogos lalu, kita mengesan mutasi virus D614G di Kedah melalui kluster Sivagangga selain ia turut dikesan di Johor dan Sabah. Hasil ujian 60 sampel daripada kluster Benteng Lahad Datu pula mendapati terdapat juga mutasi A701V yang turut pernah dikesan di Afrika Selatan, Australia dan Belanda”.

Kata Hisham lagi, “Bagaimanapun, kita belum dapat pastikan impak kesihatannya sama ada mutasi A701V ini memiliki kebolehjangkitan yang tinggi atau bersifat ganas seperti D614G”.

Jelas beliau, virus mutasi D614G memiliki kebolehjangkitan sebanyak 10 kali ganda sepertimana varian baharu di United Kingdom yang dikenali sebagai VUI-202012/01 dan dikatakan mempunyai kebolehjangkitan sebanyak 70%.

“Kementerian Kesihatan sedang memantau kesan mutasi baharu A701V ini dari segi sama ada ia memiliki kesan pada keberkesanan vaksin, kadar kebolehjangkitan meningkat dan keganasan virus ini”.

Buat masa ini, kerajaan kekal dengan keputusan untuk melaksanakan tempoh kuarantin selama 10 hari kepada individu yang tiba dari luar negara meskipun terdapat penemuan mutasi baharu di United Kingdom. Hal ini demikian kerana kajian menunjukkan tidak banyak perbezaan dilihat antara tempoh kuarantin selama 10 hari atau 14 hari. Tambahan pula, kebanyakan kes dilaporkan boleh dikesan seawal minggu pertama.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular