Beijing ‘terlibat secara besar-besaran’ dalam Pilihan Raya Amerika Syarikat 2020 pada beberapa peringkat dan tahap, demikian menurut penganalisis China, Gordon Chang yang menggambarkan penyerapan masuk Parti Komunis China (PKC) dalam kalangan ‘elit’ Amerika dilihat sebagai ‘darurat perisikan’.

“Saya rasa China jelas campur tangan,” kata Gordon Chang yang merupakan penulis buku ‘The Coming Collapse of China’ kepada Focus News terbitan NTD.

Gordon Chang, yang menghabiskan beberapa dekad dalam kajiannya tentang China dan menulis mengenai ancaman PKC, menjelaskan bagaimana menjelang Pilihan Raya Presiden pada 3 November, trend propaganda China adalah bekas Naib Presiden Joe Biden harus menerima pencalonan Parti Demokrat mengatasi Senator Bernie Sanders (I-Vt.). Propaganda negara kemudian memihak kepada Joe Biden berbanding Presiden Donald Trump, kata Chang.

Pekerja pilihan raya mengimbas kertas undi pos di Jabatan Pilihan Raya Clark County di Las Vegas pada 7 November 2020 (Ethan Miller/Getty Images)

“Kita juga mengetahui China cuba menimbulkan kekacauan. Jaringan besar saluran milik China seperti ‘Spamouflage Dragon’ tanpa henti menyerang presiden di YouTube, Facebook, dan Twitter,” kata Chang yang merujuk kepada rangkaian spam pro-Beijing yang menyasarkan Trump menjelang pilihan raya.

“Kita turut mengetahui platform media sosial telah mengeluarkan sejumlah besar akaun palsu warga China dalam Twitter pada bulan Jun sahaja yang mencatat 174,000 akaun palsu, jadi kita boleh tahu mereka ini terlibat secara aktif, dan jumlah ini menjadi petunjuk bahawa ia tidak membantu presiden,” kata Gordon Chang.

Menjawab pengumuman terbaru oleh Pejabat Pengarah Perisikan Negara (ODNI) bahawa komuniti perisikan tidak dapat memenuhi tarikh akhir 18 Disember yang ditetapkan oleh perintah eksekutif untuk melaporkan ancaman asing semasa pilihan raya 3 November, Chang mencadangkan bahawa mungkin terdapat perselisihan pendapat dalam jawatankuasa perisikan mengenai sifat meluas berkenaan penglibatan PKC. 

Berdasarkan perintah eksekutif Trump pada 2018, DNI dijangka akan menyampaikan laporan dalam menentukan “sejauh mana yang dapat dipastikan” sama ada terdapat percubaan campur tangan telah berlaku, dan sifat campur tangan tersebut, kaedah yang digunakan, dan siapa yang terlibat dan memberi perakuan ke atas usaha tersebut.

Perintah eksekutif tersebut juga mengarahkan kerajaan Amerika Syarikat untuk melaksanakan sekatan automatik kepada negara asing, individu, dan entiti yang didapati terlibat untuk campur tangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Jurucakap DNI, Amanda Schoch dalam satu kenyataan pada minggu lalu berkata, “Agensi masih belum selesai dalam menyelaraskan produk berkenaan.”

“Saya rasa mungkin terdapat beberapa perselisihan yang jujur, tetapi kecenderungan secara keseluruhannya adalah China banyak terlibat dalam pilihan raya kita. Mereka melakukan ini dengan kempen memberi salah informasi berniat jahat di permukaan, dengan operasi ‘troll and bot’ di bawah permukaan,” komen Chang berkenaan penundaan itu.

“Mereka terlibat, dan mereka sudah sekian lama terlibat,” tambah Chang.

Penulis itu juga menekankan akan bahayanya penyerapan masuk PKC dalam kalangan elit Amerika Syarikat, sambil mencadangkan bahawa semua institusi di seluruh negara menjadi sasaran Beijing.

“Bukan hanya kolej dan universiti, tetapi juga sekolah persediaan, sekolah tinggi, yayasan dan NGO. Sekiranya terdapat institusi di Amerika Syarikat, China akan mensasarkannya. Pengaruh China di sini sangat luas, yang bermakna kita harus melakukan banyak usaha untuk membuang PKC daripada mempengaruhi masyarakat kita, kerana mereka pasti tidak akan memberi manfaat,” kata Chang.

“Bahayanya amat jelas dan nyata, maka kita harus bertindak segera kerana kita tidak mempunyai banyak waktu untuk terus kehilangan. Xi Jinping tidak bercakap tentang persaingan dengan kita dalam sistem antarabangsa. Dia mengemukakan idea-idea ini bahawa China diberi mandat syurga ke atas seluruh syurga, dan China sebenarnya bertindak seperti maharaja zaman dahulu kala, yang mempercayai bahawa mereka adalah satu-satunya penguasa di dunia ini, yang pada dasarnya bermaksud bahawa orang Amerika Syarikat juga harus tunduk. Kita tidak mempunyai negara, kita tidak mempunyai kedaulatan,” katanya.

“Saya tahu kenyataan ini terdengar seperti tidak masuk akal, tetapi kita harus mendengar apa yang sebenarnya dikatakan oleh pemimpin China. Mereka memberikan petunjuk bahawa mereka harus dianggap sebagai satu-satunya raja di dunia. Mereka menjelaskannya dengan terang, dan kita tidak boleh sekadar mendengar atau tidak mendengar,” tambah Chang.

“Sekiranya kita tidak berubah arah, maka nescaya kita akan kehilangan negara sendiri, kerana China mengenakan risiko eksistensialisme kepada kita. Sekiranya kita tidak memahami hakikat asas daripada cabaran itu, maka kita akan kalah, dan kita akan kehilangan negara kita,” jelas Chang.

Paparan Skrin/ YouTube

Awal tahun ini, Pengarah Perisikan Negara Amerika Syarikat John Ratcliffe menyatakan ancaman terbesar terhadap keselamatan pilihan raya di Amerika Syarikat adalah PKC.

“China menimbulkan ancaman keselamatan negara yang lebih besar buat Amerika Syarikat berbanding negara lain, dalam ekonomi, ketenteraan dan teknologi. Itu termasuk ancaman pengaruh dan campur tangan dalam pilihan raya,” kata Ratcliffe.

Kata Ratcliffe lagi, Beijing menyatakan kebimbangan sekiranya Trump akan menang dalam pilihan raya semula, sambil menambah bahawa komuniti perisikan telah memberi taklimat kepada ‘ratusan ahli Kongres’ untuk meningkatkan rasa kewaspadaan mereka berkenaan ‘China dan mempertingkatkan usahanya untuk mempengaruhi iklim dasar pentadbiran Amerika Syarikat’.

Ratcliffe memberitahu CBS pada awal bulan ini bahawa terdapat campur tangan pilihan raya asing oleh China di Iran dan Rusia dalam pilihan raya 2020.

“China adalah ancaman ekonomi dan ancaman teknologi. Dan itu adalah sesuatu yang belum pernah dihadapi serta ditangani oleh Amerika Syarikat sebelum ini,” kata John Ratcliffe.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Benua Amerika GLOBAL

Video Popular