Peguam Negara Amerika Syarikat William Barr dalam kenyataannya pada 21 Disember berpendapat bahawa beliau tidak fikir kerajaan persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menyita mesin pengundian di tengah-tengah dakwaan penipuan pilihan raya.

Ketika beliau ditanya sama ada Presiden Trump harus melaksanakan rancangan untuk menyita mesin pengundian yang digunakan dalam pilihan raya, Barr berkata beliau tidak mempercayai  tindakan itu harus dilakukan. Barr memberikan komen itu dalam pengumuman sempena ulang tahun ke-32 memperingati pengeboman Pan Am Flight 103 di Lockerbie, Scotland yang mengorbankan 259 orang pada tahun 1988.

“Saya melihat tiada asas buat masa sekarang ini untuk menyita mesin pengundian oleh kerajaan persekutuan,” kata Barr sebelum menjelaskan bahawa ia adalah berkaitan dengan ‘penyitaan secara borong mesin pengundian’ oleh kerajaan.

Peguam Negara William Barr, kiri, dan Presiden Donald Trump (Getty Images)

Barr juga menyatakan pendiriannya bahawa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tidak menemui bukti penipuan pilihan raya yang akan membatalkan pilihan raya presiden. Langkah itu membangkitkan kemarahan Presiden Donald Trump dan pasukan perundangannya, yang menyatakan bahawa mereka telah menunjukkan banyak bukti sebaliknya, sambil menuduh Barr menjalankan penyiasatan yang perlahan mengenai asal-usul siasatan kes Rusia-Trump oleh FBI.

Namun begitu, Peguam Negara itu berkata beliau mempercayai bahawa ‘terdapat penipuan dalam pilihan raya ini’ pada 3 November.

“Biar saya katakan bahawa terdapat penipuan dalaman, yang malangnya dalam kebanyakan pilihan raya sebelum ini, dan saya rasa kita terlalu bertimbang rasa terhadapnya,” tambah Barr.

“Saya mengulas berkenaan sejauh mana kita telah melihat cadangan atau tuduhan penipuan sistemik atau penipuan besar-besaran yang akan mempengaruhi keputusan pilihan raya dan saya sudah bercakap mengenainya dan saya akan tetap menyokong kenyataan itu,” katanya yang merujuk kepada kenyataannya sebelum ini.

Peguam Negara itu turut ditanya mengenai tuntutan bahawa Trump perlu melantik seorang pendakwa raya khas untuk memeriksa mesin pengundian, atau menyiasat tuduhan penipuan pilihan raya, dan Barr menjawab beliau tidak dapat melihat alasan untuknya.

Barr berkata, “Sekiranya saya berpendapat perlunya peguam khas pada tahap ini adalah alat yang bertepatan dan bersesuaian, saya akan menamakannya tetapi saya tidak melakukannya, dan saya terus tidak akan melakukannya.”

Hari terakhir William Barr bertugas di DOJ adalah pada 23 Disember (Rabu) dan Presiden Donald Trump telah mengumumkan peletakan jawatan Barr sebagai Peguam Negara pada minggu lalu.

Pada hujung minggu lalu, peguam Presiden Trump, Rudy Giuliani mengisytiharkan bahawa pasukannya perlu mendapat keizinan untuk memeriksa mesin pengundian di Arizona.

“Mereka itu tidak mengandungi maklumat perubatan,” kata Giuliani kepada Steve Bannon dalam program ‘War Room’.

“Mereka tidak mengandungi maklumat haram. Kami tidak dapat melihat siapa yang anda pilih. Ia maklumat awam. Ia juga bahkan bukan milik anda. Satu-satunya sebab anda menolak kami ialah untuk memeriksa mesin berkenaan kerana anda tahu, anda melakukan sesuatu yang menyeleweng,” tambah peguam Rudy Giuliani.

Rudy Giuliani berkata pegawai di Arizona, termasuk di Pennsylvania, Michigan, dan Georgia perlu memastikan puluhan mesin pengundian ‘tersedia ada’, supaya pasukannya ‘dapat melakukan pemeriksaan secara terbuka’.

“Anda boleh menghantar media di sana, untuk pastikan bahawa kami tidak melakukan sebarang kerosakan kepada mesin. Beri kami lapan jam. Lakukan itu di Georgia, lakukan di Arizona, lakukan di Michigan, dan lakukan di Pennsylvania,” kata Giuliani.

Salah satu pengeluar mesin pengundian, Dominion Voting Systems menyatakan bahawa mesinnya tidak dapat menukar undi dari satu calon ke calon yang lain, tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kerajaan asing, mesin tersebut meninggalkan jejak kertas undi, dan menegaskan bahawa pekerjanya tidak boleh mengakses mesin ketika proses pengiraan dan penjadualan undi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular