Pelumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang berjaya merangkul pingat emas di Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan Australia 2020 dalam acara keirin pada 20 Disember.

Rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut membanggakan negara apabila merangkul gangsa dan berada di tangga ketiga di belakang juara Sukan Komanwel dan jaguh Australia, Matthew Glaetzer dalam acara sama.

The Star melaporkan duo berbasikal itu bertanding di Velodrom Anna Meares di Brisbane dari 18 hingga 21 Disember sebagai tetamu kehormat di Kejohanan Kebangsaan Australia, sekaligus menjadikan Azizulhasni sebagai pemenang pingat emas pertama bukan warganegara Australia dalam kejohanan tersebut.

Reezal Merican Naina Merican/Facebook

Ini adalah pertandingan pertama duo berkenaan selama tempoh hampir 10 bulan tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif sejak Kejuaraan Dunia Berlin pada bulan Februari.

Azizulhasni dan Shah Firdaus berkata mereka berdua gembira dengan tahap prestasi masing-masing ketika ini, memandangkan masih dalam fasa latihan buat masa ini.

Kedua jaguh basikal kebangsaan ini juga bertanding dalam acara pecut di Kejohanan Kebangsaan Australia itu dengan masing-masing muncul di tempat keempat dan kelima.

“Secara keseluruhan, Shah dan saya gembira kerana kami telah mencapai persembahan yang sama dengan prestasi yang kami lakukan pada awal tahun ini di Kejohanan Dunia Berlin,” kata Azizulhasni, yang menjalani latihan di rumah berikutan pandemik.

“Saya dan Shah harus berterima kasih kepada Cycling Australia yang mengizinkan kami untuk bersaing, walaupun secara tidak rasmi kerana ini adalah pertandingan kebangsaan mereka,” tambah Azizulhasni kepada New Straits Times.

Reezal Merican Naina Merican/Facebook

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan tahniah kepada kedua-dua jaguh berbasikal negara ini.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada kedua-dua atlet negara ini. Walaupun setelah agak lama tidak beraksi di kejohanan berbasikal, hari ini mereka sekali lagi muncul sebagai juara di peringkat antarabangsa,” Datuk Seri Reezal Merican dalam catatannya di Facebook pada 20 Disember.

“Ini satu lagi kejayaan yang menjadi kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI SUKAN

Video Popular