KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disabitkan bersalah atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM2 juta untuk dirinya daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di CIMB Bank Berhad di cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Keputusan itu disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang mengatakan bahawa pihak pembelaan yang diketuai Datuk Tan Hock Chuan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Menurut Mohamed Zaini, tiada bukti kukuh yang menyokong alasan Tengku Adnan bahawa wang itu diterimanya bagi pihak Ibu Pejabat UMNO untuk membiayai Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bukti pemberian dana berupa resit Ibu Pejabat UMNO yang dikemukakan Chai juga bersifat meragukan kerana ia tidak dikeluarkan mengikut turutan nombor siri buku resit.

“Saya telah meneliti resit dengan penuh teliti, apabila melihat ia seperti resit baharu, sangat luar biasa. Sedangkan ia didakwa dikeluarkan empat tahun lepas iaitu pada 14 Jun 2016 dan disimpan di dalam beg duit Tuan Sri Chai”.

Tambah beliau lagi, tarikh dan nombor siri yang tertera pada resit itu juga tidak mengikut turutan dengan resit sebelum dan selepasnya.

 Ini kerana tarikh resit yang dikeluarkan sebelum resit kepada Chai itu ialah pada 12 November 2018 dan resit selepasnya pula adalah pada 16 November 2018.

Selain daripada itu, wang itu juga disalurkan terus kepada syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd. Sedangkan resit itu dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO.

Kapasiti Tengku Adnan sebagai Menteri dan Setiausaha Agung UMNO serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan juga tidak memberi asas kukuh untuk beliau menerima wang yang kononnya untuk pilihan raya kecil.

Ahli Parlimen Putrajaya tersebut didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular