Rejim Parti Komunis China mengeksploitasi kerentanan dalam jaringan telekomunikasi global untuk melakukan ‘pengawasan massa’ terhadap rakyat Amerika, menurut laporan baru-baru ini oleh sebuah firma penyelidikan siber.

Dengan menganalisis data isyarat, laporan Exigent Media yang berpangkalan di Washington mendapati bahawa Beijing, yang bekerja melalui syarikat telekomunikasi milik China Unicom, adalah sumber utama serangan terhadap pengguna mudah alih AS melalui rangkaian 3G dan 4G pada tahun 2018.

Rejim PKC mengeksploitasi kerentanan rangkaian terkenal, yang memungkinkannya untuk melacak, memantau, mengganggu, dan memintas komunikasi pengguna mudah alih A.S. semasa mereka melakukan perjalanan ke luar negara. Kerentanan berpusat di sekitar sistem isyarat SS7 mudah alih lama, yang digambarkan dalam laporan itu sebagai sistem ‘patchwork’ yang memungkinkan pengendali rangkaian di seluruh dunia berkomunikasi satu sama lain untuk perkhidmatan perayauan antarabangsa.

Serangan siber China menyasarkan puluhan ribu pengguna mudah alih AS sejak tahun 2018 hingga 2020, kata Gary Miller kepada The Guardian, pengarang laporan itu dan bekas eksekutif keselamatan rangkaian mudah alih.

“Sebaik sahaja anda mencapai puluhan ribu, serangan itu dianggap sebagai pengawasan massa – bertujuan untuk pengumpulan risikan dan tidak semestinya menyasarkan sasaran berprofil tinggi. Mungkin ada lokasi yang menarik minat mereka dan ini terjadi terutama ketika orang berada di luar negara”, kata Miller.

Tambahnya, serangan itu dilakukan melalui pengendali yang dikawal oleh negara menunjukkan kempen pengintipan yang dipersetujui oleh sesuatu negara.

Penganalisis juga mendapati bahawa pada tahun 2018, dua pengendali Caribbean juga terlibat dalam satu siri serangan ke atas pengguna telefon AS yang disasarkan oleh China Unicom, yang menunjukkan koordinasi antara rangkaian ini. Dua pengendali itu adalah Cable & Wireless Communications (Flow) di Barbados dan Syarikat Telekomunikasi Bahamas (BTC).

Syarikat China Unicom di Beijing pada bulan Ogos 2017/AFP

Laporan itu mendapati bahawa daripada tahun 2019, serangan dari China menurun, sementara serangan yang berasal daripada rangkaian Caribbean meningkat — menunjukkan bahawa Beijing berusaha menutupi kegiatannya melalui operator asing.

China mengurangkan jumlah serangannya, memihak kepada pengintipan yang lebih disasarkan, kemungkinan menggunakan rangkaian proksi di Caribbean dan Afrika untuk melakukan serangannya, yang mempunyai hubungan erat dalam perdagangan dan pelaburan teknologi.

Memetik perluasan pelaburan Beijing di Caribbean seperti perkongsian syarikat telekomunikasi China, Huawei dengan BTC pada pelancaran 4G Bahamas, laporan itu mempersoalkan adakah ini menunjukkan wujudnya “perikatan perisikan isyarat strategik antara China dan Caribbean”.

Laporan itu menambah kemungkinan operator Caribbean telah menjual atau menyewakan alamat rangkaian kepada entiti China, yang membolehkan mereka melakukan pengintipan, tanpa pengetahuan operator.

Cable & Wireless, syarikat yang memiliki Flow dan BTC, mengatakan dalam satu pernyataan melalui e-mel kepada The Epoch Times bahawa pihaknya “sedang meneliti maklumat dalam laporan media”.

Syarikat itu menambah bahawa ia terus memantau rangkaiannya di semua pasaran termasuk Barbados dan Bahama, serta mempunyai “polisi dan protokol keselamatan yang kuat untuk melindungi data pelanggan”.

China Unicom tidak segera mengembalikan permintaan oleh The Epoch Times untuk memberi komen; pegawai memberitahu The Guardian bahawa mereka “dengan tegas menolak tuduhan bahawa China Unicom telah melakukan serangan pengawasan aktif terhadap pelanggan telefon bimbit AS dengan menggunakan akses terhadap rangkaian telekomunikasi antarabangsa”.

Pada bulan April, Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan AS (FCC) memberi amaran bahawa operasi China Unicom dan dua telekomunikasi yang dikendalikan oleh negara lain di AS berkemungkinan ditutup atas sebab risiko keselamatan negara.

Ketua FCC, Ajit Pai mengatakan bahawa agensi persekutuan sangat prihatin terhadap kerentanan syarikat-syarikat terhadap eksploitasi, pengaruh dan kawalan Parti Komunis China.

Pengarang laporan, Miller mendapati bahawa serangan terhadap pengguna mudah alih AS berlanjutan pada tahun 2020, di mana ia berasal dari China dan Hong Kong, serta negara-negara lain.

“Malangnya, serangan ini akan berlanjutan di seluruh dunia antara pengendali mudah alih sehingga akauntabiliti penuh, pelaporan serangan, hukuman dan kawalan ‘rakan kongsi serta pelanggan’ luar yang diberikan akses terhadap rangkaian dilaksanakan”, kata Miller kepada The Epoch Times dalam e-mel.

“Ia perlu dilakukan segera”, tambahnya lagi.

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular