Seramai 50 petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang telah disahkan dijangkiti COVID-19, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman mengesahkan dalam kenyataannya, berkata 50 petugas kesihatan itu kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Siasatan oleh pasukan JKNS dan HTAR tidak dapat mengenal pasti punca jangkitan di kalangan petugas kesihatan, sama ada berlaku sebelum pesakit dimasukkan ke hospital atau semasa pesakit berada dalam tempoh inkubasi 14 hari, tetapi situasi terkawal,” katanya.

“Kesemua kontak telah menjalani ujian swab dan diletakkan di bawah ‘Home Surveillance Order’ (HSO) dan malah semua pesakit yang kontak dengan kes ini juga telah diambil ujian swab yang sama,” tambahnya.

“Pengurusan rawatan pesakit di HTAR masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal,” kata Dr Sha’ari memberi jaminan.

Dr Sha’ari menambah pihak hospital sentiasa berwaspada dalam memastikan Pprosedur Operasi Standard (SOP) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) sentiasa dipatuhi.

“Lokasi daerah Klang, yang berada di zon merah, serta peningkatan kes ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) yang menerima rawatan di HTAR mungkin mengakibatkan peningkatan jumlah kes COVID-19,” katanya.

Beliau menambah orang awam dinasihatkan supaya tidak mengunjungi hospital sekiranya tiada urusan penting.

“Orang awam juga diminta untuk tidak menyebarkan berita tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan di dalam kalangan masyarakat,” tambahnya lagi.

Menurut Dr Sha’ari, JKNS akan sentiasa memastikan bahawa langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan di kalangan petugas kesihatan dan pesakit di kawasan hospital.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular