Fasa berpantang selepas melahirkan anak merupakan fasa yang sangat dititikberatkan khususnya kaum Melayu. Terdapat banyak pantang larang yang perlu diikuti merangkumi semua aspek, baik dari segi pemakanan, penjagaan luka jahitan bersalin, aktiviti seharian, cara menguruskan bayi, urutan bersalin dan banyak lagi.

Salah satu pantang larang yang biasa didengari adalah proses mengecutkan rahim. Kini, terdapat banyak produk perubatan yang dikatakan berfungsi untuk mengecutkan rahim agar kembali seperti normal. Selain itu, terdapat juga segelintir individu yang menawarkan perkhidmatan urutan rahim serta menjual bengkung khas bagi tujuan sama.

Hakikatnya, anda tidak perlu melakukan semua itu untuk mengecutkan rahim anda. Sebaliknya, tubuh manusia sememangnya telah diciptakan dengan sempurna di mana proses rahim mengecut ini akan berlaku secara semulajadi tanpa bantuan unsur luar.

PantangPlus.com

Baru-baru ini seorang pengguna Facebook yang juga seorang doktor dikenali sebagai Muhammad Izzat telah berkongsi beberapa fakta mengenai kejadian rahim mengecut ini. Perkongsian beliau menerima reaksi yang pelbagai daripada warganet dan sehingga kini telah dikongsi lebih daripada 2,600 dengan jumlah suka mencecah 7,000.

Menurut perkongsian tersebut, Dr Izzat telah menerangkan secara terperinci beberapa fakta tentang rahim wanita selepas bersalin. Jelasnya, perubahan rahim selepas tempoh bersalin akan berlaku secara sendiri tanpa bantuan sebarang produk.

“Tak perlu bazir duit ambil apa-apa produk atau ubatan yang tak berdaftar, katanya boleh kecutkan rahim selepas bersalin. Tak perlu juga urut-urut rahim untuk kecutkan rahim masa berpantang. Tak perlu pakai bekung untuk kecutkan rahim. Proses rahim mengecut ini adalah secara semula jadi, badan kita tahu apa yang perlu dibuat”.

Pickadots

Berikut merupakan beberapa fakta penting yang perlu anda tahu mengenai perubahan rahim wanita selepas bersalin:

#1 48 jam selepas bersalin

Rahim akan mengecut dengan sendirinya dan boleh dirasa kalau ditekan dalam sedikit pada bawah aras pusat.

#2 14 hari selepas bersalin

Rahim tidak lagi boleh dirasa memandangkan rahim telah mengecut dan mengecil serta kembali ke kedudukan asalnya di belakang tulang simphisis pubis.

#3 6 minggu selepas bersalin

Rahim akan kembali kepada keadaan asalnya seperti sebelum mengandung. Kemungkinan saiz rahim lebih besar daripada saiz sebelum mengandung.

#4 Berat rahim

Berat rahim dianggarkan sekitar 1kg sejurus sahaja melahirkan. Bagaimanapun selepas tempoh enam minggu, berat rahim akan berkurangan menjadi seperti berat asalnya iaitu sekitar 50g hingga 150g sahaja.

Justeru, dalam erti kata yang lebih mudah, anda tidak perlu menghabiskan wang ringgit semata-mata untuk mendapatkan produk dan rawatan bagi mengecilkan rahim. Anda cuma perlu menjaga pemakanan dan makan makanan yang sihat. Tidak perlu berpantang secara bersungguh-sungguh seperti yang kita fahami sebelum ini pun boleh mengecilkan rahim anda.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular