Satu laporan mendedahkan bahawa terdapat perisik China yang menghabiskan bertahun-bertahun mencari ahli politik Amerika Syarikat (AS) di peringkat tempatan mahupun nasional.

Menurut pakar usaha itu adalah bagi membolehkan Beijing untuk menyusup ke dalam politik AS, hinggakan mereka melabur secara signifikan dalam operasi pengintipan jangka panjang.

Sepanjang tahun 2011 hingga 2015, Christine Fang, seorang pelajar China di California State University – East Bay telah menjalin hubungan erat dengan ahli politik tempatan di Bay Area dengan menjadi sukarelawan dalam aktiviti kutipan dana selain menghadiri acara politik.

Pegawai perisik AS percaya bahawa Fang bekerja di bawah arahan agensi perisik tertinggi China, Kementerian Keselamatan Negara (MSS), menurut siasatan baru-baru ini oleh Axios.

Christine Fang bersama anggota Majlis Bandaraya Eric Swalwell pada acara pelajar Oktober 2012. (Paparan Skrin/Media Sosial)

Fang menjalin hubungan erat dengan Eric Swalwell, yang merupakan anggota Jawatankuasa Tetap House of Intelligence pada awal tahun 2015. Fang pertama kali mengenali Swalwell ketika lelaki itu menjadi anggota dewan bandar raya tempatan.

Fang kemudian mengumpulkan dana untuk pemilihan kongres 2014, sebelum ditempatkan di pejabat Swalwell sebagai pelatih.

Wanita itu juga turut menjalinkan hubungan istimewa dan seksual dengan dua Datuk Bandar Midwestern yang tidak didedahkan namanya.

“Operasi itu telah ‘ditangani dengan baik’ menerusi penggabungan kedua-dua pengumpulan maklumat dan juga pengaruh politik”, kata bekas pegawai perisik kanan AS dan juga pengarang buku ‘Chinese Intelligence Operations’, Nicholas Eftimiades.

Tambahnya, ia menunjukkan bagaimana rejim China bersedia untuk melabur dalam ‘permainan’ tersebut – menyasarkan pegawai tempatan yang mungkin merupakan wakil peringkat negeri mahupun kebangsaan. “Ia adalah strategi dan boleh membawa kehancuran pada negara lain”, ujar beliau.

Sasaran Mudah

Dengan menyasarkan ahli politik, Fang memperoleh akses kepada mereka yang mungkin membentuk dasar AS terhadap China.

“Apabila anda dapat mengaksesnya, mengapa anda memerlukan maklumat rahsia?”, soal Eftimiades.

“Pada dasarnya anda telah mendapatkan akses terhadap kerahsiaan dan kemudian bergerak untuk mengawal negara. Dan infrastruktur (negara) ini secara ironinya tidak dilindungi”.

Anggota kongres yang tidak memiliki kebenaran keselamatan, sangat rentan terhadap pengaruh rahsia dan usaha intipan selama beberapa dekad.

Pada tahun 2018, Politico melaporkan bahawa seorang pegawai iaitu Senator Dianne Feinstein disyaki memberi maklumat risikan politik selama bertahun-tahun kepada staf konsulat China di San Francisco.

Kakitangan itu adalah pemandu Feinstein dan juga berfungsi sebagai penghubung bagi masyarakat Asia-Amerika di Bay Area, menurut San Francisco Chronicle.

Feinstein, yang merupakan ketua Jawatankuasa Perisikan Senat daripada 2009 hingga 2015, tetap menjadi anggota jawatankuasa hingga ke hari ini.

Pada ketika itu, beliau ada mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan FBI telah memberi penerangan kepadanya mengenai staf tersebut pada tahun 2013. Ujar beliau, pekerja itu tidak mempunyai akses ke maklumat terperinci. Staf itu juga telah meninggalkan pejabatnya selepas taklimat.

Pengarah Perisikan Nasional, John Ratcliffe menulis dalam sebuah laporan baru-baru ini bahawa semasa pilihan raya tahun ini, rejim China terlibat dalam kempen pengaruh besar-besaran yang menyasarkan beberapa puluhan anggota Kongres dan pembantu kongres.

Ratcliffe mengatakan bahawa beliau telah memberi penerangan kepada jawatankuasa perisik Dewan dan Senat bahawa Beijing menyasarkan anggota Kongres dengan enam kali frekuensi Rusia dan 12 kali frekuensi Iran.

Dalam ucapan pada bulan September kepada penggubal undang-undang negeri Wisconsin, Setiausaha Negara, Mike Pompeo memberi amaran mengenai pengintipan dan pengaruh China dalam aktiviti pemerintahan di peringkat tempatan.

Beliau menekankan bahawa rejim China memandang pegawai di peringkat nasional sebagai ‘ikatan lemah’ yang dapat dieksploitasi, terutama ketika pemerintah persekutuan di bawah Presiden Donald Trump telah menguatkan pendiriannya terhadap Beijing.

Pompeo mengatakan tujuan utama aktiviti pengaruh jahat rejim adalah untuk membuatkan rakyat Amerika menerima bentuk autoritarianisme Beijing.

Swalwell memberitahu Politico bahawa beliau telah memutuskan hubungan dengan Fang setelah FBI memberitahunya tentang kegiatan mencurigakan itu pada tahun 2015 dan beliau telah menolak untuk berkongsi akan sejauh mana hubungannya dengan Fang. Beliau juga tidak dituduh melakukan kesalahan.

Sementara itu, Republikan meminta Swalwell untuk dikeluarkan daripada jawatankuasa House Intelligence, iaitu kedudukan yang membolehkannya mengakses maklumat sensitif yang boleh diketahui oleh anggota kongres yang lain.

Speaker Nancy Pelosi juga membela Swalwell, dengan mengatakan bahawa kepemimpinan House Democrat dan Republican, bersama-sama dengan para pemimpin Jawatankuasa House of Intelligence, diberi penerangan mengenai dakwaan perisik China pada tahun 2015.

Pemimpin Minoriti, Kevin McCarthy bagaimanapun mengatakan bahawa beliau tidak pernah diberi penerangan mengenai perkara itu.

Perangkap ‘Madu’

Penggunaan hubungan seksual atau romantis untuk memikat sasaran iaitu rakyat Amerika – disebut sebagai ‘honey trap’ adalah taktik biasa dalam buku permainan pengintipan China, menurut Eftimiades.

Sebagai contoh, pada tahun 2014, seorang bekas kontraktor tentera AS di Hawaii dijatuhi hukuman penjara 7 tahun kerana menyampaikan rahsia pertahanan nasional kepada teman wanitanya yang berasal dari China.

Benjamin Pierce Bishop adalah seorang Leftenan tentera darat yang telah bersara dan memegang akses terhadap keselamatan rahsia dan dia bekerja sebagai kontraktor di Komando Pasifik AS. Pada tahun 2014, lelaki berusia 60 tahun itu mengaku menghantar e-mel rahsia mengenai sesi latihan dan perancangan bersama antara AS dan Korea Selatan.

Penerima e-mel tersebut adalah seorang wanita China berusia 27 tahun yang tidak disebutkan namanya dan sedang mengikuti pengajian siswazah di AS.

Pasangan ini telah bertemu pada tahun 2011 di sebuah persidangan pertahanan antarabangsa di Hawaii. Mereka menjadi kawan, kemudian kekasih. Menurut afidavit FBI yang difailkan dalam kes itu, wanita itu mungkin menyasarkan individu yang mempunyai akses kepada maklumat rahsia pada persidangan tersebut.

Sepanjang tahun 1980-an hingga awal 2000-an, FBI didakwa telah dikompromikan oleh ‘double agent’, Katrina Leung iaitu seorang warganegara Amerika yang merupakan pemberi maklumat bernilai tinggi. Pada masa itu, dia menjadi kekasih kepada dua orang kakitangan FBI yang lain.

Salah seorang kekasihnya adalah ejen James J. Smith, di mana hubungan mereka berlangsung selama 20 tahun. FBI menuduh bahawa Leung mengambil maklumat daripada beg bimbit Smith, menyalin lalu menyerahkannya kepada perisik China.

Leung didakwa pada tahun 2005 dengan lima tuduhan memiliki dan menyalin bahan-bahan rahsia tanpa izin, tetapi hakim kemudian menolak kes tersebut kerana salah laku pendakwa.

Usaha yang diselaraskan

Kes Fang merupakan salah satu komponen alat risikan dan pengaruh luas yang disusun oleh rejim China. “Ini jauh lebih meluas daripada negara lain di planet ini”, kata Eftimiades.

Memisahkan usaha China daripada negara lain, rejim ini telah menyempurnakan pendekatan bersepadu dan holistik untuk menindas demokrasi Barat.

“Ini adalah usaha yang diselaraskan – upaya global yang menghubungkan pengintipan, pengaruh, propaganda dan diplomasi”, tambah Eftimiades.

“Usaha China mulai daripada segi diplomatiknya hingga pengumpulan dan mempengaruhi infrastruktur politik, hinggalah informasi dan ‘troll’ dalam talian”, katanya lagi.

Untuk mengatasi ini, Eftimiades mengatakan AS harus mengembangkan pendekatan dasar yang konsisten untuk menangani rejim China.

Kongres perlu memasukkan perkara ini ke dalam perundangan, yang meliputi isu-isu penting seperti bagaimana AS melihat hubungannya dengan rejim dan tujuan serta objektif hubungan itu selama beberapa dekad berikutnya.

Di samping itu, agensi risikan perlu bekerjasama dengan anggota dan pegawai Kongres di peringkat pemerintahan sub-nasional untuk mempersiapkan mereka berhadapan dengan kemungkinan interaksi dengan pengaruh China atau ejen perisik.

“Ini adalah masalah koordinasi dan perkongsian maklumat, berkongsi amalan terbaik, membuatkan orang memahami bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dalam melindungi keselamatan negara”, akhirinya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular