JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang merupakan pemilik pusat penanaman cendawan dilaporkan maut dalam insiden letupan tong gas yang dipasang pada mesin stim.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 11.40 pagi (15 Disember 2020) di kawasan parkir sebuah pasaraya yang terletak di Ulu Tiram itu telah menyebabkan seorang individu berusia 52 tahun maut di tempat kejadian. Mangsa yang dikenali sebagai Ong Kim Hin maut akibat kesan kecederaan parah di bahagian muka dan kepala disebabkan oleh letupan tersebut.

Letupan gas di sebuah pasaraya di Ulu Tiram meragut nyawa pemilik pusat penanaman cendawan (Gambar: Johor Times | Facebook)

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Timbalan Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan bahawa ketika kejadian letupan itu berlaku, mangsa sedang berada di kawasan penanaman cendawan. Dia dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pemasangan tong gas untuk memanaskan air dan menjalankan proses stim.

Kawasan kejadian di mana letupan tong gas berlaku di hadapan mangsa (Gambar: Johor Times | Facebook)

“Ketika sedang melakukan kerja pemasangan tong gas itu, secara tiba-tiba sebuah tong gas yang berada di hadapan mangsa telah meletup. Letupan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan terbaring dengan kesan kecederaan parah di bahagian muka dan kepala. Dia kemudiannya telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Ulu Tiram”.

Kawasan kejadian selepas insiden letupan berlaku (Gambar: Johor Times | Facebook)

Jelas Shahrulanuar lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat.

“Polis menjalankan siasatan mengikut siasatan laporan Mati Mengejut. Sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) turut hadir ke tempat kejadian untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL NASIONAL

Video Popular