Satu laporan polis telah dibuat oleh sebuah klinik swasta di Rawang setelah mendapati keputusan COVID-19 yang dilakukan pihaknya telah dipalsukan.

Menurut pengasas SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan, pihaknya mengenalpasti hampir 20 kes pemalsuan keputusan COVID-19 sejak kliniknya melakukan ujian COVID-19 awal April lalu.

“Setiap kali kami lakukan ujian COVID-19 terhadap individu, keputusannya akan disalin dalam bentuk dokumen yang mempunyai maklumat individu serta nombor rujukan daripada klinik kami”.

Malaysiakini

Tambah beliau lagi, setiap individu mempunyai nombor rujukan yang berbeza.

“Sejak kebelakangan ini kami dapati terdapat pemalsuan dokumen, di mana beberapa pihak tidak bertanggungjawab memalsukan (tukar) nama individu dalam dokumen keputusan”.

Beliau juga tidak pasti pihak yang melakukan pemalsuan dokumen keputusan COVID-19 namun, dokumen kliniknya yang telah dipalsukan melibatkan para pekerja syarikat subkontraktor yang berurusan dengan kerajaan atau swasta.

“Kebanyakannya, syarikat ini diminta untuk membuat ujian terhadap semua pekerja tetapi mereka hanya melakukan ujian terhadap beberapa orang sahaja”.

Pemalsuan ini dilakukan dengan memasukkan nama pekerja lain yang tidak membuat ujian. Langkah itu dipercayai dapat mengurangkan kos ujian COVID-19 yang ditanggung syarikat.

Sehubungan dengan itu, pihaknya difahamkan telah membuat laporan polis sebanyak dua kali iaitu pada bulan Jun lalu dan juga pada bulan ini.

Ini kerana tindakan pemalsuan sebegini berupaya untuk menjadi penyebab terhadap kenaikan kes positif yang baru.

Polis Diraja Malaysia/Facebook
“Pemalsuan keputusan COVID-19 sangat serius dan angka kes positif boleh melonjak akibat tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pihak ini”.

Dalam pada itu, Dr Prakash menjelaskan bahawa pihaknya telah mengambil inisiatif sendiri untuk mengelak pemalsuan ini daripada terus berlaku.

“Setiap ujian yang dilakukan di klinik kami akan disertakan dengan kos QR khas dalam kertas keputusan”.

Pihak yang ingin memeriksa keputusan individu yang diuji hanya perlu imbas kod dan memasukkan nombor MyKad atau pasport individu itu sahaja, selain nombor rujukan klinik.

Penggunaan kod QR tersebut menambah ciri keselamatan dan dengan adanya kod QR berkenaan, keputusan tidak boleh dipalsukan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular