Hunter Biden menggelar bapanya, calon presiden Joe Biden, dan rakan perniagaan dari China sebagai ‘rakan pejabat’ pada 21 September 2017, menerusi e-melnya kepada pengurus besar pejabat lamanya di Washington DC.

“Mohon kunci disediakan untuk rakan pejabat baru,” Hunter Biden menulis dalam e-mel sebelum menyenaraikan Joe Biden, ibu tirinya Jill Biden, bapa saudaranya Jim Biden, dan Gongwen Dong, yang dikenalinya sebagai ‘utusan’ untuk pengerusi CEFC iaitu konglomerat tenaga China yang kini telah muflis.

Hunter Biden juga meminta tanda nama dibuat untuk pejabatnya dengan catatan ‘The Biden Foundation’ dan ‘Hudson West (CEFC US)’.

Hunter Biden ( DNCC / Getty Images)

Hunter Biden berurusan dengan CEFC pada tahun 2017 yang menjadi pusat pelbagai tuduhan daripada bekas rakan perniagaannya, Tony Bobulinksi, yang berkata pada bulan Oktober bahawa Joe Biden ‘jelas tidak asing’ dengan urusan perniagaan keluarganya di China.

Tony Bobulinski merupakan salah seorang penerima e-mel pada bulan Mei 2017 yang banyak dihebahkan kononnya merujuk Joe Biden sebagai ‘lelaki besar’ yang akan memegang 10 peratus kepentingan dalam perjanjian usaha sama antara Hunter Biden dan CEFC.

Hunter Biden mendedahkan pada minggu ini bahawa beliau telah diberitahu bahawa pendakwa raya persekutuan di Delaware sedang menyiasat ‘urusan cukainya’.

Beberapa saluran media melaporkan bahawa penyiasatan itu juga tertumpu pada aktiviti perniagaan asing Biden, termasuk dengan CEFC, yang merupakan konglomerat tenaga keempat terbesar di China sebelum syarikat itu terputus peluang perniagaan.

E-mel Hunter Biden kepada Cecilia Browning/ Paparan Skrin

Cecilia Browning yang merupakan pengurus besar bangunan pejabat, House of Sweden, membalas permintaan dalam e-mel Hunter Biden, dengan menyatakan bahawa beliau ‘sangat teruja dan berbesar hati untuk menyambut rakan baru anda!’.

Browning enggan mengulas lanjut berkenaan e-mel yang bocor itu ketika dihubungi melalui telefon pada 11 Disember. Beliau juga tidak mempertikaikan akan kesahihan e-mel itu setelah Daily Caller News Foundation (DCNF) menghantar dan mendedahkan kepadanya untuk diperiksa.

“Kami mempunyai penyewa yang menyewa ruang pejabat, dan memang benar bahawa Rosemont Seneca LLC menyewa pejabat di House of Sweden antara Februari 2017 hingga Februari 2018. Namun, harap maklum bahawa kami tidak berkongsi maklumat mengenai penyewa semasa dan sebelumnya.” kata Browning kepada DCNF dalam e-mel ketika ditanya sama ada e-mel itu adalah sahih.

E-mel maklum balas Cecilia Browning kepada Hunter Biden/Paparan Skrin

Jurucakap kempen Joe Biden, Andrew Bates, dalam kenyataannya  pada bulan Oktober bahawa bekas naib presiden itu “tidak pernah dianggap terlibat dalam perniagaan keluarganya, atau terbabit dalam apa-apa urusan perniagaan luar negara. Beliau juga tidak pernah memiliki saham dalam urusan perniagaan seperti itu, atau ahli keluarga atau mana-mana individu lain pernah menyimpan saham untuknya”.

Sementara adalah tidak diketahui sama ada Joe Biden pernah mengunjungi pejabat anak lelakinya di Washington DC, permintaan Hunter Biden agar bapanya diberi akses ke atau suite yang disewanya itu telah menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana pengetahuannya mengenai urusan perniagaan keluarga pada tahun 2017.

Baik pasukan peralihan Biden mahupun peguam Hunter Biden, George Mesires, memberi maklum balas di atas pelbagai permintaan untuk memberi komen.

Dalam e-melnya kepada Browning, Hunter Biden memberikan nombor telefon bimbit peribadi bapanya dan bapa saudaranya, dan mencadangkan agar rakan sekerja Browning memanggil mereka ‘jika beliau bertegas’.

CEFC telah membayar USD5 juta kepada syarikat Hunter Biden, Hudson West III, kurang dari dua bulan sebelum permintaan Hunter Biden kepada Browning agar kunci pejabat dibuat untuk bapanya dan utusan CEFC, menurut laporan jawatankuasa Senat yang dikeluarkan pada bulan September.

Hunter Biden dan bapanya, calon presiden Joe Biden (Jim Bourg/Reuters)

Bermula pada hari CEFC menyalurkan dana kepada syarikat Hunter Biden pada bulan Ogos 2017 hingga September 2018, Hudson West III mengirim sejumlah USD4.79 juta kepada firma guaman Hunter Biden, Owasco, untuk bayaran perundingan, menurut laporan itu.

Pengatur undang-undang AS mengenal pasti pemindahan wang pertama ke Owasco, bertarikh 4 Ogos 2017, dan menandakan ia sebagai ‘potensi aktiviti jenayah kewangan’, menurut laporan itu.

Juga antara bulan Ogos 2017 dan Ogos 2018, Owasco telah membayar sejumlah USD1.4 juta kepada firma perunding James Biden, Lion Hall Group, menurut laporan Senat. Transaksi urus niaga tersebut juga ditandakan sebagai kemungkinan aktiviti jenayah kewangan.

Sebagai tambahan kepada kerjasama Hunter Biden dengan CEFC, beliau juga mewakili Patrick Ho, yang bertugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dana Tenaga China, sebuah badan pemikir yang berpusat di Amerika Syarikat, yang dibiayai sepenuhnya oleh CEFC China Energy.

Ho ditahan pada bulan November 2017 dan kemudian disabitkan atas pertuduhan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) kerana memberi rasuah kepada pegawai atasan di Uganda dan Chad untuk mendapatkan hak keuntungan ke atas sumber minyak di negara-negara berkenaan.

CEFC membayar Hunter Biden USD1 juta untuk mewakili Ho, yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan untuk skim sogokan tersebut.

Tidak jelas apakah perkhidmatan undang-undang yang diberikan Biden kepada Ho kerana beliau tidak disenaraikan sebagai salah seorang peguam dalam mana-mana perbicaraan kes Ho.

Pendakwa Raya Persekutuan mendedahkan bahawa FBI memperoleh waran tangkap terhadap Ho di bawah Akta Pengawasan Perisikan Asing (FISA) di atas kepercayaan bahawa Ho beroperasi sebagai ejen negara asing, menurut dokumen mahkamah yang dibentangkan.

Hunter Biden menyatakan kebimbangan pada bulan Mei 2017 bahawa perkongsian dengan CEFC China Energy mungkin melanggar FCPA dan Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA).

“Kami tidak mahu mendaftar sebagai ejen asing di bawah FCPA yang jauh lebih luas daripada orang yang seharusnya mengetahui untuk memilih tidak mengambil tahu,” tulis Biden kepada Bobulinski pada 1 Mei 2017, menurut satu mesej yang diperolehi oleh DCNF.

“Tidak kira apa yang diperlukan menjadi syarikat di Amerika Syarikat pada tahap tertentu agar kami boleh membida dalam projek yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan dan negeri,” tambah Biden.

Hunter Biden juga memberikan maklumat hubungan kepada Browning, pengurus besar House of Sweden itu, untuk Gongwen Dong dan Mervyn Yan, yang merupakan rakan kongsi dalam urusannya dengan CEFC. Beliau juga mengesahkan Ye Jianming sebagai salah seorang rakan kongsinya dan memberikan senarai biografi berkaitan hubungannya dengan CEFC.

Dong dan Yan tidak memberi maklum balas berkaitan e-mel yang meminta mereka memberi komen.

Dalam satu laporan bulan September, Republikan menyatakan kebimbangan mengenai hubungan Biden dengan Ye dan CEFC. Laporan itu menyebut Ye telah berkhidmat dari tahun 2003 hingga 2005 sebagai timbalan setiausaha agung Persatuan China untuk Kenalan Mesra Antarabangsa (CAIFC).

Menurut laporan 24 Ogos 2018 dari Suruhanjaya Kajian Keselamatan dan Ekonomi AS-China, CAIFC berfungsi sebagai kelompok hadapan untuk Tentera Pembebasan Rakyat China dan ‘melakukan dua peranan pengumpulan perisikan dan melakukan kempen pengurusan propaganda dan persepsi’.

E-mel Hunter Biden kepada Browning diperolehi secara tidak sengaja dalam salinan komputer riba Hunter Biden yang didedahkan oleh bekas Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani dan peguam Trump kepada DCNF pada bulan Oktober. 

Hunter Biden tidak menafikan terlepas pandang meninggalkan komputer ribanya yang rosak pada April 2019 di sebuah kedai baik pulih komputer di Delaware.

Tony Bobulinski mendakwa pernah menjadi rakan sekutu perniagaan Hunter Biden (Mandel Ngan /AFP/Getty Images)

Pemilik kedai dikatakan telah menyerahkannya kepada Rudy Giuliani setelah Hunter Biden gagal mengambilnya selepas perkhidmatan baik pulih selesai.

Seorang pakar keselamatan siber secara kriptografi mengesahkan e-mel utama dalam pemacu komputer itu untuk DCNF pada akhir Oktober.

Syarikat hartanah komersial J Street Companies mengeluarkan kenyataan media mereka pada Februari 2017 yang mengumumkan bahawa syarikat Hunter Biden, Rosemont Seneca Advisers, telah menandatangani perjanjian pajakan seluas 2,852 kaki persegi di bangunan pejabat House of Sweden.

Hunter Biden menamatkan perjanjian sewa berkenaan dengan House of Sweden pada bulan Februari 2018, demikian menurut e-mel yang diterima oleh Hunter Biden dari Cecilia Browning pada bulan sebelumnya. Mesej itu juga terdapat di dalam cakera keras (hard disk) komputer riba peribadi milik Hunter Biden yang ditinggalkan di Delaware.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular