Kebocoran pangkalan data baru-baru ini telah mendedahkan bahawa 1.95 juta anggota Parti Komunis China (PKC) yang berdaftar telah bekerja di universiti, syarikat besar dan konsulat Britain di seluruh dunia.

Beberapa ahli juga difahamkan telah menjadi pegawai di syarikat pengeluar aeroangkasa Boeing dan pembuat farmasi Pfizer di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan The Mail pada 13 Disember, Inter-Parliamentary Alliance on China (IPAC) – sebuah gabungan penggubal undang-undang global, memperoleh pangkalan data daripada pihak penentang kerajaan China yang tidak dikenali, kemudian berkongsi data tersebut dengan empat organisasi media.

IPAC, dalam satu kenyataan pada 13 November mengatakan bahawa salah seorang perwakilannya menerima pangkalan data daripada gabungan ‘sumber bukan kerajaan’ dan meminta pakar mengesahkan senarai tersebut.

“IPAC akan meminta pemerintah dan syarikat untuk memberikan respon, bagi mengetahui bagaimana mereka mahu melindungi nilai-nilai mereka dalam menghadapi penyusupan”, kata IPAC.

Menurut sumber, pangkalan data tersebut berisi nama, tarikh lahir dan etnik, sementara ada beberapa yang mempunyai alamat dan nombor telefon. Pangkalan data pertama kali dibocorkan pada aplikasi pesanan pesanan ringkas Telegram, setelah didakwa diekstrak pada tahun 2016 oleh individu yang dipercayai menentang China, menerusi ‘server’ di Shanghai.

Sebilangan besar anggota PKC dalam pangkalan data berasal dari Shanghai.

The Mail mendapati bahawa syarikat aeroangkasa utama Airbus, Rolls-Royce dan Boeing telah menggaji ratusan anggota PKC. Selain itu, Pfizer dan pembuat ubat Britain, AstraZeneca mengupah seramai 123 ahli PKC. Pembuat kereta Britain, Jaguar Land Rover juga mengupah anggota PKC.

Pangkalan data juga menunjukkan bahawa lebih daripada 600 anggota PKC bekerja di 19 cawangan bank Britain iaitu HSBC dan Standard Chartered.

Tambah The Mail, ahli akademik China dengan keahlian PKC juga bekerja di universiti-universiti Britain, di mana mereka terlibat dalam penyelidikan sensitif termasuk kejuruteraan aeroangkasa dan kimia.

Beberapa anggota PKC juga bekerja untuk konsulat Britain. Di Shanghai, seorang anggota PKC adalah pegawai kanan di konsulat Britain yang tugasnya termasuk membuat lawatan sokongan pegawai Britain ke China.

Pandangan bahagian luar bangunan Konsulat Jeneral Britain di Hong Kong pada 20 Ogos 2019. (Anthony Wallace/AFP | Getty Images)

Seorang anggota PKC lain turut didapati bekerja hampir dengan pasukan pegawai MI6 – bahagian risikan di Britain, yang beroperasi di bawah perlindungan diplomatik.

The Mail menyimpulkan bahawa tiada bukti bahawa ada individu dalam senarai keanggotaan parti telah mengintip untuk China. Namun, sekumpulan individu yang terdiri daripada kira-kira 30 anggota parlimen mengatakan mereka akan mengajukan pertanyaan mendesak mengenai pangkalan data di House of Commons, ruang parlimen UK.

“Kerajaan (British) sekarang harus bertindak untuk mengusir dan menyingkirkan mana-mana anggota Parti Komunis dari Konsul kita di seluruh China. Mereka boleh jadi berkhidmat sama ada untuk UK atau Parti Komunis China. Mereka tidak boleh melakukan kedua-duanya”, kata Anggota Parlimen Britain, Duncan Smith kepada The Mail.

Bekas ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan penganalisis perisikan White House mengatakan bahawa pihak PKC tidak boleh dipercayai.

“Mereka (PKC) selalu mencari peluang di mana mereka dapat memanfaatkan hubungan, persahabatan, bahkan apa sahaja untuk memajukan kepentingan Parti Komunis”, kata bekas ejen CIA itu.

Anggota PKC diminta untuk berjanji setia kepada Parti. Untuk menjadi anggota, mereka harus terlebih dahulu bersumpah dengan mengangkat tangan, sambil menyebut bahawa mereka harus melaksanakan keputusan Parti, mematuhi ketat disiplin Parti, setia kepada Parti dan tidak akan mengkhianati Parti.

Berdasarkan laporan jabatan organisasi rejim PKC, terdapat lebih daripada 91 juta anggota PKC pada akhir tahun 2019. Majoriti 34.8% anggota adalah pekerja dan petani. China pada masa ini mempunyai penduduk sekitar 1.4 bilion.

PKC bukan satu-satunya organisasi Parti di China. Ratusan juta orang telah menyertai organisasi pemuda Parti di sekolah rendah dan menengah, Perintis Muda dan Liga Pemuda Komunis.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo sebelum ini telah berulang kali memberi amaran mengenai ancaman yang ditimbulkan oleh PKC. Awal bulan ini, ketika berbicara di Institut Teknologi Georgia, Pompeo menyatakan bahawa “Parti Komunis China meracuni institusi pendidikan tinggi kita untuk tujuannya sendiri dan tindakan itu menjatuhkan kebebasan kita dan keselamatan negara Amerika”.

Jabatan Negara AS pada 3 Disember mengumumkan sekatan visa baru terhadap anggota PKC dan keluarga mereka, selain mengurangkan visa perniagaan B-1 dan visa pelancong B-2 mereka menjadi satu bulan daripada maksimum 10 tahun sebelumnya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular