Sempena musim pandemik ini, musim persekolahan pun nampaknya tidak akan dibuka dalam masa terdekat. Jadi, pasti ramai yang buntu dan bosan kerana tiada sebarang aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan di rumah. Tambahan pula, kita digalakkan untuk kekal berada di rumah memandangkan virus COVID-19 masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat.
Jadi, apa kata kalau anda cuba aktiviti baharu dengan bercucuk tanam? Selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, anda juga boleh berjimat cermat. Di sini kami akan kongsikan beberapa langkah mudah tentang kaedah menanam kubis bunga dan juga brokoli.
#1 Menyediakan medium
Sediakan tanah semaian menggunakan tanah cocopeat atau peatmoss. Sebelum menabur benih sayuran, pastikan medium dibasahkan terlebih dahulu.
#2 Menyemai biji benih
Taburkan 1 biji benih dalam bekas semaian. Benih akan bercambah sekitar 12 ke 15 hari. Pada waktu ini, anda perlu meletakkan bekas semaian di kawasan yang teduh dari hujan tetapi masih menerima cahaya matahari.
#3 Memindahkan anak semaian
Setelah semaian mengeluarkan 3 ke 4 helai daun, anda boleh memindahkan anak pokok ini ke dalam pasu besar atau polibeg 16×16 yang bersesuaian. Pastikan anda meletakkan hanya satu anak pokok dalam setiap pasu. Medium yang perlu digunakan adalah campuran tanah baja/sawit/5in1.
#4 Pencahayaan matahari
Anak pokok yang telah dipindahkan tidak boleh terus didedahkan kepada cahaya matahari selama seminggu. Anak pokok kubis bunga dan brokoli biasanya memerlukan cahaya matahari sekurang-kurangnya 5 ke 6 jam sehari bagi proses tumbesaran. Antara kaedah yang paling sesuai digunakan adalah kaedah rumah hijau.
#5 Menyiram tanaman
Pokok kubis memerlukan air yang banyak. Jadi, anda perlu menyiram tanaman kubis sekurang-kurangnya 2 ke 3 kali sehari bergantung kepada kelembapan medium..
#6 Pembajaan
Penggunaan baja yang baik akan mempengaruhi tumbesaran tanaman. Gunakan baja kompos tinja ayam sama ada dalam bentuk butir, cecair atau baja larut air bagi menambah nutrien kepada medium tanaman.
#7 Kawalan serangga
Musuh utama tanaman jenis ini dikenali sebagai Aphid dan juga looper. Bagi memastikan tanaman anda tidak diserang oleh serangga perosak ini, anda boleh menggunakan racun serangga tanpa kimia seperti cuka kayu dan juga minyak neem. Gunakan seminggu sekali bagi mengelakkan tanaman anda daripada rosak.
#8 Masa menuai
Brokoli dan kubis bunga boleh dituai sekitar tiga hingga empat bulan selepas ditanam.
Maybe you're interested :
- Kepetahan dua budak Nigeria cakap Melayu buat netizen terpana, sempat pula bergurau dengan tukang rakam
- Seronok betul mengajaknya bersembang, ada sahaja yang mahu diceritakan oleh kucing comel ini
- Enggan berdiam diri, pengamal Falun Dafa dedah penganiayaan selama 21 tahun oleh kerajaan Komunis China