KUALA LUMPUR – Pihak polis akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemilik atau penunggang basikal yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan mengikut APJ 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, aktiviti berbasikal di jalan raya kini menjadi satu fenomena baharu dalam kalangan masyarakat Malaysia dan dilihat boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada penunggang basikal tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

Utusan Malaysia | Sekumpulan penunggang basikal melalui Jalan Ampang di Kuala Lumpur yang sibuk dengan kenderaan

“Aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran lalu lintas kerana kenderaan lain turut menggunakan laluan sama dan boleh mengundang risiko kemalangan”.

Jelas beliau, penunggang basikal perlu mengambil kira beberapa aspek sebelum melakukan perjalanan seperti memilih lokasi dan masa yang sesuai. Penunggang basikal adalah dinasihatkan untuk melakukan aktiviti tersebut di lokasi yang kurang kenderaan serta bukan di waktu puncak di mana terdapat ramai orang pergi dan balik kerja. Hal ini demikian kerana terdapat banyak kes kemalangan membabitkan penunggang basikal telah direkodkan bermula Januari hingga Oktober lalu. Sebanyak 137 kemalangan dengan 56 kes kematian, 18 cedera parah manakala 63 lagi cedera ringan telah dilaporkan. Sementara itu pada tahun 2019, sebanyak 201 kemalangan telah direkodkan.

Astro Awani | Beberapa atlet paralimpik yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan di lebuh raya LATAR

Di samping itu, pemilik basikal juga perlu mengambil berat akan peralatan dan memastikan basikal yang digunakan mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti menggunakan rak pembawa barang pada bumbung (roof rack carrier) kenderaan yang digunakan untuk membawa basikal.

“Mereka yang menunggang secara melulu dan membahayakan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 54(1) APJ 1987 dan boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 selain boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan. Bagi mereka yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) APJ 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM2,000”.

Remaja | Beberapa penunggang basikal di kawasan jalan raya yang sibuk

Berikut merupakan senarai denda yang bakal dikenakan terhadap mana-mana penunggang basikal yang gagal mematuhi undang-undang:

  • Menunggang secara berbahaya : Denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan penjara sehingga 12 bulan
  • Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya : Denda antara RM300 hingga RM2,000
  • Pegawai polis dan trafik boleh menahan mana-mana basikal, basikal elektrik atau basikal roda tiga yang didapati melakukan kesalahan lalu lintas
  • Basikal tanpa lampu depan dan belakang : Denda sehingga RM2,000 atau penjara 6 bulan
  • Basikal tanpa brek atau loceng : Denda sehingga RM2,000 atau penjara 6 bulan
  • Gagal berbasikal secara berbaris : Denda sehingga RM2,000 atau penjara 6 bulan

Maybe you're interested :

Share

Video Popular