FILIPINA – Seorang wanita dari Nueva Ecjia mengalami penyakit misteri sewaktu hamil apabila hidungnya membengkak seperti belon sehingga menjejaskan penglihatannya.

Mary Ann Regacho, 17 tahun mendakwa hidungnya mula membesar dan mengundang kesakitan selepas dia memicit jerawat di hidungnya sekitar tahun lalu. Pada awalnya, Mary Ann cuma beranggapan bengkak yang dialami itu adalah berpunca daripada gangguan ketidakstabilan hormon memandangkan dia sedang hamil pada ketika itu.

“Kulit saya bersih dan tiada jerawat. Ketika saya hamil, suami perasan bengkak kecil pada hidung saya. Ia membesar seiring dengan kehamilan saya dan lama-kelamaan, ia mengganggu penglihatan saya”.

Selepas melahirkan bayi lelakinya, Mary Ann mula memicit ‘jerawat’ tersebut dan selang beberapa hari, kawasan hidungnya mulai membengkak sehingga ke bahagian mata dan dahinya. Mary Ann juga mendakwa kawasan yang mengalami bengkak itu terasa sakit sehingga menyebabkannya sukar untuk tidur pada waktu malam.

“Saya sangka ia sekadar jerawat biasa tetapi ia sangat menyakitkan sehingga saya tidak boleh tidur malam. Saya sudah mencuba pelbagai rawatan namun tidak berhasil. Kini, saya merasakan saya tidak akan mendapatkan kembali wajah saya yang asal”.

Mary Ann juga pernah mencuba beberapa perubatan herba bagi merawat jangkitan berkenaan namun ia menyebabkan beberapa kesan sampingan. Suaminya Albert Salles yang bekerja sambilan di sebuah ladang tidak mampu menjana pendapatan yang tinggi sekali gus menyebabkan pasangan ini tidak mampu untuk mendapatkan rawatan perubatan yang lebih baik.

“Kami hanya mampu menyara diri kami dan bayi kami yang baru berusia setahun. Saya tidak mampu untuk membayar bil perubatan isteri saya,” kata Albert dalam sebuah video yang dirakamkan untuk meminta sumbangan ikhlas daripada orang ramai.

Mary Ann pernah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan daerah namun ketiadaan peralatan yang lengkap untuk memeriksa penyakit misterinya itu menyebabkan pihak klinik terpaksa meminta Mary Ann untuk pergi ke hospital. Bagaimanapun, kos rawatan yang tinggi mengekang peluang Mary Ann untuk sembuh.

“Menjelang Hari Natal ini, saya mahu kembali sihat seperti sedia kala supaya keluarga kami lebih bahagia”.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL KESIHATAN

Video Popular