Minuman coklat malt kegemaran ramai yang mencapai tahap minuman kebangsaan di Malaysia, Milo nampaknya mencatat rekod permintaan luar biasa di Jepun sehingga menyebabkan pengeluarannya hampir kehabisan stok.

Nestlé Jepun menghentikan penjualan Milo buat sementara waktu selepas posting di Twitter yang tular oleh seorang netizen wanita mengenai maklum balasnya selepas meminum Milo, menyebabkan permintaan ke atas minuman itu melambung begitu tinggi sehingga telah mengatasi kemampuan syarikat dalam pengeluarannya.

Minuman coklat malt Milo adalah minuman kegemaran di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain, baru-baru ini mencapai tahap populariti di Jepun setelah satu posting di Twitter yang begitu memuji minuman itu telah menarik perhatian puluhan ribu warga Jepun.

Paparan Skrin/Twitter

Tweet tular oleh pengguna Twitter @ ren_3 berkata, meminum Milo membantunya dirinya berasa kurang letih dan memudahkannya bangun tidur pada waktu pagi.

“Sebulan setelah minum Milo setiap pagi, saya rasa lebih baik setelah bangun tidur,” tulisnya.

“Saya biasa berasa letih 24 jam sehari dan tiada motivasi untuk melakukan apa-apa, sekarang saya berasa sangat segar,” tulis @ ren_3 lagi.

Wanita ini turut menambah gejala keletihan itu disebabkan oleh anemia dan mendakwa bahawa kandungan zat besi dalam Milo membantu meringankan keadaan kesihatannya yang lemah.

Pujian melambung itu kemudian telah dikongsi lebih 32,400 kali dan mendapat lebih dari 92,700 tanda suka sejak ia ditulis pada 4 Ogos.

Pengguna Twitter bernama @ koroku6_ pula pada bulan Julai menulis lebih lanjut manfaat Milo terhadap kesihatan, dengan mendakwa setelah mengamalkan minum Milo, dia ‘tidak lagi berasa pening, kesihatan pundi kencing lebih baik, tidak mengantuk pada waktu siang hari, keadaan kulit yang lebih baik, mental lebih stabil, dan tidak lagi berasa lapar.’

Tweet itu telah mendapat perhatian lebih dari 11,400 perkongsian dan 31,300 tanda suka yang mana telah menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan warga Jepun mengenai khasiat minuman tersebut.

Akibatnya, produk minuman Milo tiba-tiba menjadi trend minuman kesihatan terlaris di semua pasar raya di Jepun dan Nestlé Jepun melaporkan permintaan terhadap Milo adalah tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding tahun 2019.

Nestlé Jepun mengimport bahan-bahan dari Singapura untuk membuat serbuk minuman tersebut dan terpaksa menghentikan penjualan Milo Original varian pek 240 gram, 700 gram, dan five-stick Milo Original sehingga awal bulan Mac 2021, dan sedang berusaha untuk menambah bekalan bagi membolehkan syarikat memenuhi permintaan yang terus meningkat.

Berikutan kekurangan stok Milo di Jepun, difahamkan pek Milo Original 200 gram yang dijual pada harga biasa antara 200 ke 300 yen atau RM7.80 ke RM11.70 telah dijual pada harga misteri yang dikatakan 5 kali ganda daripada harga asal.

Begitulah penangan Milo di Jepun. Jadi, bagi sesiapa yang mempunyai rakan dari Jepun, apa kata hadiahkan mereka dengan pek Milo yang paling besar, maka sudah pasti mereka akan tersenyum gembira hingga ke telinga kerana dapat memilikinya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES GAYA HIDUP

Video Popular